Cari Blog Ini

Jumaat, November 28, 2014

Tiada Tujuan

Tiba-tiba teringat suatu ketika tidak lama dahulu, semasa Safiyyah umur 2 tahun, bernusery di Taska Ubudiyyah. Masa itu Safiyyah kerap menangis bila mana ayahnya menghantarnya ke taska itu. Kadang-kadang Safiyyah termenung, jauh renungannya seakan merenung dalam, memikirkan masa hadapannya. Mungkin juga memang memikirkan masa hadapannya, masa hadapannya sesampai di taska nanti.

Taska itu tidak menarik gamaknya untuk Safiyyah. Tidaklah juga seteruk sehingga tidak sesuai untuk Safiyyah. Mungkin rindunya kepada Cikgu Hawa di Taska Sara Ceria, yang dah menjaganya sejak usia belum setahun, terbawa-bawa sehingga di taska ini.

Teringat satu ketika, masa sudah menyerahkan Safiyyah pada Cikgu Tikah di Ubudiyyah, dan aku di dalam perjalanan ke keretaku. Cikgu Tikah juga telahpun menutup sliding door taska. Terdengar kuat teriakan tangis Safiyyah. Tiba di keretaku, aku terkilas ke arah taska, Safiyyah menolak kuat sliding door ketepi, dan tangannya memegang begi grill yang terkunci menangis merayu-rayu supaya mengambilnya semula. Walaupun belum pandai sangat berkata-kata, tapi, dapat kudengar rayuannya itu.

Ayah nak pergi kerja Safiyyah. Safiyyah duduk dengan cikgu dulu, petang nanti emak ambil Safiyyah, boleh? Itu sahaja yang boleh kudetikkan di dalam hatiku sambil senyum melambai ke arah Safiyyah.

Pernah juga bila mood Safiyyah baik. Kena pula aku sedang menunggu di luar pintu taska, menunggu Cikgu Tikah menguruskan yuran bulanan yang aku hendak selesaikan. Pintu terbuka luas, nampak Safiyyah dipimpin cikgunya ke belakang, sempadan ruang makan dan dapur. Cikgunya membuka beg Safiyyah dan menyemak apakah semua barangnya cukup. Sambil Safiyyah yang menyedari dari awal aku memerhatikannya, tersipu-sipu dan malu-malu. Satu persatu barang-barang sekitarnya, kebanyakannya permainan, diangkat sambil menunjukkannya ke arahku, jauh dia di dapur dan aku di luar pintu hadapan.

Ayah tahu, Safiyyah nak tunjuk barang-barang itu yang Safiyyah selalu main. Ayah tahu, yang memang rutin, tiap-tiap kali sampai taska, di sempadan dapur itu tempat Safiyyah tunggu cikgu pastikan barang Safiyyah cukup. Dan kadang-kadang, terus mandi dengan cikgu.

Cukup teruja, walaupun muka malu, Safiyyah tunjuk apa yang Safiyyah selalu buat di taska, di sela masa yang singkat aku menunggu urusanku selesai. Lalu kuangguk dan senyum tanda faham, oh, itu ke yang selalu Safiyyah main.

Itu dulu, masa Safiyyah belum petah bercakap. Masa belum pandai luahkan isi hati dan perasaan. Sekarang Safiyyah dah pandai bercakap, petah. Banyak soalan Safiyyah tanya. Bagus. Tanyalah lagi Safiyyah. Ayah selalu doakan Safiyyah, mudah-mudahan dilindungi Allah dari segala keburukan, dan mudah-mudahan Safiyyah banyak belajar di taska dan sentiasa ceria dan gembira di taska.

P/S - Bila Ayah baca komik bawah ini satu ketika dulu, Allah bukakan hati Ayah untuk doakan Safiyyah tiap-tiap kali lepas hantar Safiyyah ke taska. Moga-moga satu hari nanti Safiyyah pula akan selalu doakan untuk kesejahteraan anak-anak Safiyyah.

P/S2 - Masa Safiyyah dah ada anak nanti pasti Safiyyah faham betapa sayangnya ibu ayah terhadap anak-anak. Ayah pun baru faham bila ada Safiyyah.


Azimin Elias
Hill Park Homes

Selasa, Mei 27, 2014

Belajar, Tugasan, Laporan dan Peperiksaan

Di dalam pembelajaran sarjanaku kini, aku sedar bahawa perjalanan pembelajaran di kampus sebenarnya mencerminkan perjalanan kehidupan kita sebagai seorang muslim.

Bagaimana?

Kita ke kelas, untuk mendengar syarahan pensyarah kita. Orang Melayu kata 'tuntut ilmu'. Kalau kita lihat secara ringkas, kita selalu gunakan perkataan 'tuntut' apabila merujuk kepada perihal mendapatkan apa yang sepatutnya kita dapatkan. Contohnya, menuntut hadiah selepas cabutan bertuah, menuntut bela selepas diperlakukan yang tidak sepatutnya, dan sebagainya. Maka, ilmu itu adalah sesuatu yang kita sepatutnya ada.

Apabila kita sudah ke kelas mendengar syarahan, kita sudah berilmu, tiba masa kita diberi tugasan. Tugasan biasanya dikaitkan dengan usaha untuk memastikan ilmu yang kita pelajari melekat di dalam minda kita.

Setelah siap tugasan, selalunya kita diarahkan memberi laporan tentang tugasan kita kepada pensyarah. Laporan juga merupakan salah satu medium komunikasi antara pelajar dan pensyarah, bagi menjelaskan apakah kita berada di landasan yang tepat tentang sesuatu topik yang kita pelajari.

Akhir sekali, untuk menguji apakah kita benar-benar faham akan apa yang kita pelajari, kita akan menghadapi peperiksaan. Di sini, kita sebagai pelajar selalunya akan berusaha bersungguh-sungguh untuk memastikan kita lulus dengan cemerlang di dalam subjek yang kita ambil.

Kaitan.

Sebagai seorang muslim, kita sentiasa belajar untuk menjadi lebih baik pada hari esok. Kita digalakkan menuntut ilmu, malah menjadi kewajipan kita. Belajar.

Sebagai seorang muslim, kita digalakkan untuk mengamalkan ilmu yang kita pelajari. Di sinilah kita tunaikan rukun Islam, membuat perkara yang baik, mencegah perkara mungkar, dan sebagainya. Tugasan.

Setiap hari juga seorang muslim mengadakan komunikasi dengan Pencipta - Solat dan Doa. Di sinilah kita menyampaikan rasa terima kasih kepada Pencipta, juga menyatakan hasrat yang kita ingini, dan juga tempat kita mengadu. Laporan.

Di hujung kehidupan kita - samada kematian mahupun kiamat, akhirnya nanti kita akan dihisab, salah satunya bagi menilai apakah ilmu yang kita pelajari, apakah tugasan yang kita telah lakukan, sebaik manakah laporan kita, dan dari situ, kita dapat pastikan apakah kita cemerlang atau sebaliknya. Peperiksaan.

Cerminan diri.

Jika peperiksaan untuk subjek sarjana, aku sanggup tidak tidur malam bagi memastikan segala apa yang aku pelajari dapat kulangsaikan semasa menjawab kertas itu. Adakah aku sanggup melakukan lebih daripada itu untuk menghadapi peperikasaan hidup yang jauh lebih besar?

Azimin Elias
Perpustakaan Tun Seri Lanang,
UKM Bangi

Sabtu, Mei 17, 2014

Tentang Getaran dan Tun Seri Lanang

Aku kembali ke alam kampus. Ini jelas apabila aku pertama kali memasuki Perpustakaan Tun Seri Lanang, UKM. Mendaki tangga yang tinggi ke arah pintu masuk, melalui Dataran Tun Seri Lanang, aku melihat sangat ramai pelajar lelaki dan perempuan, tempatan dan antarabangsa duduk di meja-meja bulat yang ada di dataran itu. Hampir kesemuanya mata menghadap laptop masing-masing. Sedang menyiapkan tugasan kiranya. Tidak kurang juga yang ber-Facebook. Terdetik juga di fikiranku, kenapa saja mereka tidak menyiapkan tugasan mereka di dalam perpustakaan. Mungkin sahaja mereka ingin lebih bersuka ria bergedik ketawa di luar di dataran itu, dari menyiapkan tugasan mereka, agaknya, detikku.

Memasuki pintu masuk utama perpustakaan itu, memang pertama kali tiba, tapi aku tak mahu dilihat kekok. Ada ruangan menyimpan beg di tepi pintu masuk. Aku berhenti berfikir, apakah ini sebabnya mereka yang bergedik ketawa tadi tidak masuk ke dalam perpustakaan? Kerana tak boleh bawa laptop masuk? Aku kaku di depan pintu masuk mata melilau cuba mencari papan tanda arahan atau larangan sebelum masuk ke perpustakaan.

Mak Cik di kaunter resepsi sudah mula memerhatikan kekakuan aku. Aku tidak boleh dilihat kekok, lantas seperti sudah biasa, aku langsung ke bilik simpanan beg, meninggalkan beg aku, dan berhiruk pikuk mengangkat laptop, adaptor laptop, fail tugasanku, bekas alat tulisku, sehingga tak cukup tangan jadinya. Aku cuba buat muka biasa melintasi Mak Cik tadi. Tapi aku mencebik muka akhirnya, kerana ketika melintasi Mak Cik itu, ada seorang pelajar dengan pantas memintas aku, sambil membawa dan menyerahkan begnya kepada Mak Cik resepsi untuk diperiksa sebelum dibawa masuk. Oh, boleh bawa beg rupanya.

Aku menggagahkan jua kekuatan tanganku membibit pelbagai barang sambil mencari tempat sesuai yang boleh kududuk, berdekatan dengan sumber elektrik untuk laptopku. Ternyata zaman sudah berubah. Kalau tujuh tahun dulu aku ke perpustakaan di UIAM, aku tidak bawa laptop, begitu juga dengan majoriti pengunjungnya pada masa itu. Di Tun Seri Lanang, berani aku katakan, tidak sampai 10 orang pengunjungnya yang tidak menggunakan laptop dari hampir seratus orang yang sempat aku perhatikan ketika mencari tempat.

Akhirnya aku duduk di suatu sudut, di hujung aras lima, di situ sahaja yang aku boleh dapatkan plug elektrik yang kosong.

Nah, ayuh siapkan tugasan subjek getaran ini. Esok ada ujian pula. Perjalanan sudah jauh terasa, tapi juga masih jauh penghujungnya.

Indahnya pengalaman ini. Sudah lama tidak merasakan ini, menghabiskan masa di alma mater untuk belajar. Terima kasih keluarga yang berkorban kasih dan waktu buatku merasakan ini. Kucuba untuk tidak mensiakan peluang ini.

Bismillah. Ayuh ke depan!

Baru kutahu Tun Seri Lanang itu adalah bendahara kesultanan Johor suatu ketika dahulu!

Azimin Elias
Perpustakaan Tun Seri Lanang,
UKM Bangi

Ahad, Mei 11, 2014

Penantian

Benarlah orang kata, penantian itu satu penyeksaan. Apatah lagi bila kita ada sesuatu yang ingin sangat kita lakukan, tetapi tidak dapat kerana kita terpaksa menunggu sesuatu itu sebelum kita dapat melakukannya.

Aku sedang menunggu. Aku juga sedang ingin sangat untuk tidur. Tapi tidak boleh kerana aku sedang menunggu untuk pulang ke rumah, tak kiralah rumah mana.

Sudah lama aku tak merasai rasa mengantuk seperti ini pada waktu tengahari. Selalunya kalau ada pembentangan kerja yang aku perlu lakukan zaman mahasiswa dulu, terutamanya kalau pembentangan itu pagi, pasti aku akan terus pulang ke bilik asrama tengahari itu, beli makan tengahari yang sedap-sedap, lalu langsung ke tempat beradu setelah kekenyangan.

Tapi hari ini sedikit berbeza. Pembentanganku adalah yang terakhir di dalam sesi itu, dah nak masuk tengahari. Di mana pagi (atau malam tadi) aku hanya sempat melelapkan mata kurang dua jam. Di mana malam tadi aku berdiri, duduk, tertiarap di bilik tetamu BATC pulun menyiapkan tugasanku. Di mana malam tadi aku berulang kali menyesal kenapa aku harus lakukan ini semua. Semua kesukaran itu alangkah enaknya jika dapat dipadamkan jika aku dapat tidur sekarang. Kenyang memang sudah kenyang. Mengantuk? Belum lagi dapat dilayan.

Di luar tingkap di bilik di mana aku menaip ketika ini kelihatan hari semakin mendung. Membuatkan aku rasa, di dalam kehidupan ini, aku seakan tidak tahu apakah yang aku tunggu, apakah terik matahari, mahupun mendung hujan. Namun hidup tetap perlu diteruskan. Allah Maha Mengetahui apa yang terbaik buatku. Malah aku hanya berhak terima apa yang terbaik jika aku mengusahakannya.

Ayuh ke depan.

Jom lupakan penantian (dan penyeksaan) hari ini.

Azimin Elias
Kuala Lumpur

Khamis, Mei 08, 2014

2014

Jam sudah menunjukkan pukul 1.44 pagi. Aku masih lagi belum tidur di awal pagi hari bekerja. Teringat aku pada zaman bergelar mahasiswa di UIAM. Pukul satu atau dua pada pagi hari bekerja adalah biasa bagi kami mahasiswa untuk duduk berjaga. Adakala kerana menelaah pelajaran. Adakala kerana membuat kerja rumah. Adakala kerana perbincangan dengan rakan-rakan. Tapi biasanya kerana menghabiskan menonton siri-siri TV Inggeris, mahupun filem-filem terbaru yang dikongsi rakan.

Tapi kini setelah bergelar ayah, setelah hampir tiga tahun menjadi ayah, aku masih lagi belum tidur bila jam sudah menunjukkan pukul satu pagi. Safiyyah juga masih galak menyanyi pelbagai lagu kegemarannya di sisiku. Tiap kalanya aku tidak sampai hati untuk membiarkannya bergembira di awal pagi buta, lalu dilayannya Safiyyah sampai aku tertidur entah pukul berapa. Sejak bayi, Safiyyah telah tanpa sengaja dilatih untuk tidur lewat setiap malam. Padahnya aku masih lagi tidur lewat, walaupun tidak lagi bergelar mahasiswa UIAM.

Tapi (lagi) sejak tiga bulan lalu, aku kembali bergelar mahasiswa, kali ini di UTM. Walaupun kali ini sebenarnya mahasiswa separuh masa. Sepatutnya ketika ini aku sedang bertungkus-lumus menyiapkan tugasan salah satu subjek yang aku ambil semester ini di UTM. Oh, ternyata aku sudah kekok untuk melakukan itu dan ini sebagai mahasiswa.

Dahulu ada teman-teman sebilik. Teman-teman sekelas. Semuanya ada di sekeliling. Tak perlu Whatsapp. Tak perlu Facebook. Hanya perlu mengetuk pintu bilik, dan bertanyakan tentang, kau dah siap assignment tu? Kami bukan budak pandai. Bukan golongan yang teratas di dalam kelas, apatah lagi golongan yang banyak bertanya di dalam kelas. Kami cuma inginkan sekeping ijazah di hujung pengajian kami. Meniru bukan meniru bulat-bulat, tapi meniru sambil mengkaji, kerana kadang-kadang tak sempat hendak mulakan dari kosong.

Kini teman sebilikku ada. Cuma teman sebilikku kini adalah teman sehidup semati. Teman yang hanya boleh kasihankan aku bila aku termenung tak tahu apa yang aku belajar di kampus UTM bila aku ulangkaji malam-malam. Nak meniru sambil mengkaji tugasan pun, tak boleh hendak meniru siapa-siapa. Semuanya sendiri harus bikin.

Mari aku mulakan kembali tugasanku dengan kalimah Bismillah. Sambil diiringi nafas-nafas kenyenyakan teman-teman sebilikku yang sedang dibuai mimpi. Selamat tidur sayang. Ayah buat kerja dulu.

Azimin
Hill Park Homes

Khamis, April 12, 2012

Ketinggalan?

Tahun 2003 dulu, masa mula-mula aku menulis blog, aku berani mengatakan aku antara ratusan yang pertama menulis blog Melayu di alam maya. Ketika itu, tidak banyak blog yang aktif memekik tentang politik Malaysia. Tidak banyak blog tentang artis. Tidak banyak juga blog tentang perkongsian ilmu agama. Ketika itu, banyak blog tentang peribadi. Cerita tentang pengalaman hidup. Berkongsi kepada pembaca tentang pendapat peribadi.

Tetapi sekarang, ada beratus ribu blog Melayu. Yang popular, tentunya tentang politik dan hiburan. Kebanyakan blog peribadi juga lebih kepada penceritaan 'review' sesuatu barang (tak dinafikan ada beberapa blog juga yang telah membantu aku untuk membeli beberapa barang, antaranya 'stroller' Safiyyah - Halford Fliplite yang aku dapati dari blog-blog itu, tidak semua kedai yang menawarkan potongan 20%. Tak lupa juga, banyak mengetahui tentang selok belok membeli rumah dari kisah pengalaman para penulis blog).

Selebihnya, kini semakin menginjak popular, adalah blog-blog keagamaan, terutamanya blog milik 'ustaz selebriti' seperti Sham Kamikaze dan Dr Asri. Bagi aku, ini semua merupakan perkembangan sihat untuk masyrakat kita. Kini kita boleh lihat, orang yang tak bertudung pun sudah tidak malu untuk bersama-sama memeriahkan majlis agama.

Kalau semasa kecil dahulu, aku cuma tahu majlis agama ini adalah majlis maulidur Rasul, majlis maal Hijrah, majlis baca Yassin tiap-tiap malam Jumaat dan sebagainya. Aku tak tahu apa itu kuliah agama, sehingga aku melanjutkan pelajaranku di Matrikulasi UIAM. Di sana, ada satu nama yang selalu aku dengar - Ustaz Maszlee, yang berkuliah tentang Hadith 40. Ya, aku pernah belajar tentang Hadith 40 di sekolah agama Johor. Jadi ada apa dengan kuliah ini pula? Pergi kuliah ini untuk ambil exam ke? Aku tak faham.

Tapi alhamdulillah, bermula kali pertama aku ke kuliah mingguan itu, aku terasa tak sabar untuk ke kuliah seterusnya, dan seterusnya. Sehingga aku melanjutkan pelajaran ke Main Campus di Gombak, aku teruskan ke kuliah Hadith 40 Ustaz Maszlee yang aktif tentang politik semasa tempatan dan global.

Terbit pula nama Brother Norazman yang berkuliah tentang Tazkiyyatu an-Nafsu. Belajar tentant muhasabah diri. Berkongsi pengalamannya yang aktif ber'social responsibility'. Pernah ke Acheh pasca tsunami dan ke Palestin bersama Marvi Marmara.

Seperti rezeki mencurah-curah, terima kasih kepada Allah yang mengurniakan teman-teman yang boleh aku kata 'soleh', aku rasa jarang sekali aku tertinggal mengikuti kuliah bulanan Riyadhu as-Solihin oleh Ustaz Asri (kini Dr. Asri). Cara aku melihat sesuatu isu di dalam hukum hakam kini banyak dipengaruhi oleh kuliah-kuliahnya.

Tidak lupa juga kuliah tentang ibrah (pengajaran) dari kisah al-Quran oleh Ustaz Hasrizal. Siri-siri ibrah dari buku 'Kenapa saya memeluk Islam' oleh Fathi Yakan dan ibrah kisah dari surah Yusuf, surah al-Kahf yang berlanjutan bertahun-tahun lamanya tidak pernah memalit rasa jemu aku.

Itu ketika aku masih belajar di UIAM. Kini, cabaran semakin besar. Aku sudah tak ingat bila kali terakhir aku menghadiri mana-mana kuliah agama. Adakah aku menjadikan kesibukan kerjaku sebagai alasan? Adakah aku menjadikan kesibukan sebagai ketua keluargaku sebagai alasan? Sibuk sangatkah menjadi ketua keluarga?

Oh. Aku sudah tidak ingat bila kali terakhir aku duduk bersama isteriku seusai solat berjemaah dan membaca al-Quran dan tafsirnya, membaca hadith-hadith dari Riyadhu as-Sholihin. Sejak kehadiran Safiyyah, rasanya tak pernah aku lakukan sedemikian.

Oh. Kini nak salahkan Safiyyah pula?

Tidak.

Bak kata Prof. Dr. Muhaya, jangan cari kesalahan orang lain. Jangan salahkan keadaan. Salahkan diri sendiri. Baru kita boleh memperbaiki diri, kerana kita salahkan yang lain, kita sukar untuk memperbaiki yang lain itu. Lebih mudah untuk kita perbaiki diri.

Kalau aku rasa aku malas, maka aku harus rajinkan diri sendiri, tinggalkan perkara yang tak penting. Kalau masa menghalang aku, maka aku harus sediakan masa untuknya, pastikan aku tak membuang masa untuk perkara yang tak penting. Hatta kalau aku rasa keluarga aku sendiri yang menghalang, maka bukan ke kuliah sahaja yang boleh aku buat. Kini sudah banyak jualan CD dan VCD agama. Youtube. Search sahaja. Aku boleh. Jika Safiyyah merengek minta dibelai manja, oh, di pejabat boleh sahaja aku baca Quran. Aku boleh.

Jika ditangguh lagi, hanya satu perkataan boleh aku huraikan tentang diri aku.

Ketinggalan.

Jumaat, November 11, 2011

Hero

Hari ini aku sudah 57 hari bergelar bapa kepada anakku. Di sebalik kerisauan dan keresahan kami berdua suami isteri ketika membuat keputusan untuk melahirkannya secara pembedahan seminggu sebelum sepatutnya dia lahir, aku sangat bersyukur atas kelancaran proses dan atas kesempurnaan yang ada padanya. Takdir Allah telah menentukan segalanya. Alhamdulillah, semuanya selamat. Mun pun sudah tamat tempoh berpantangnya. Kami sudah pun kembali tinggal di rumah kami setelah sebulan setengah tinggal di rumah Mun.

Safiyyah, sejam selepas dilahirkan


Anakku namanya Safiyyah. Sekarang ini apa yang aku nampak, dia cuma tahu menangis, berak, kencing dan tidur. Oh, tak lupa menyusu sepanjang masa. Naik mengeluh emak dia bagi susu tak henti-henti tapi tak jemu. Sebenarnya dia juga sudah pandai fokus. Matanya mengekoriku ke mana sahaja aku pergi bilamana aku berjaya menarik perhatiannya. Kata sesetengah buku, sekarang ini dia juga sudah pandai membezakan warna primier. Sebentar lagi dia akan tahu meniarap. Percakapannya akan mula ada butirnya. Semakin pandai.

Aku pula semakin bertambah tanggungjawabku. Tanggungjawab yang mana Allah Maha Tahu yang aku mampu mengendalikannya dengan baik. Cuma terpulang kepadaku. Untuk menyahutnya dengan bersemangat. Atau sekadar melepaskan batuk di tangga.


Siapa yang akan menjaganya setelah Mun mula bekerja tak lama lagi? Bolehkah dia ditinggalkan dengan orang lain? Baju dia cukup? Sabun, losyen dia cukup? Lampin dia cukup? Susu? Susu emak dia ada. Apa lagi keperluan yang perlu ada untuk dia? Cukupkah duit aku untuk semua itu? Nak sambung belajar lagi, cukup ke duit? Nak kerja lewat malam lagi, cukup ke masa dengan dia? Sakit, demam dia bagaimana? Demam dia sedikit ke banyak? Nak hantar ke klinik ke hospital? Aku kerja di pejabat, siapa nak hantar dia ke hospital? Aku? Mainan dia pula? Mainan penting untuk perkembangan otak. Umur macam dia sudah boleh main mainan bunyi-bunyi ke? Atau mainan warna-warni? Stroller? Car seat? Botol susu? Pam susu?

Safiyyah demam kuning lama, sampai umurnya sebulan. 3, 4 hari sekali Ayah dengan Mak pergi klinik periksa tahap demam Safiyyah.

Keputusan hidupku kini bukan lagi boleh diambil sesuka hatiku. Kalau dulu, aku seorang. Aku boleh buat keputusan dengan hanya mengambil kira keadaan aku sahaja. Tapi selepas itu, hadir diri Mun di dalam hidupku. Aku harus memasukkanya dalam pertimbanganku membuat keputusan. Adakah dia setuju. Adakah dia sesuai. Kini, Safiyyah datang memberi penyeri kepada warna keh
idupanku. Walau tak perlu persetujuannya untuk mengambil keputusan, tapi aku yakin, dia punyai kuasa veto yang bakal sebahagian besar mempengaruhi apa-apa keputusan aku nanti.

Begitu besar kesan kehadiran Safiyyah kepada Ayah. Kain putih yang Safiyyah diibaratkan itu, Ayahlah yang akan mencorakkannya. Ayah harus kuat. Ayah harus tahu tanggungjawab Ayah. Iman Ayah turun naik. Sama seperti iman kebanyakan orang. Tapi Ayah harus pastikan, yang Ayah akan berusaha mencorakkan kain putih itu, menjadi Islam. Supaya Safiyyah tahu Allah itu Tuh
an yang Esa. Yang tak boleh disyirikkan. Supaya Safiyyah tahu dan amalkan perbuatan Rasul-Nya. Dan menyebarkannya kepada semua orang. Supaya Safiyyah menjadi anak yang mendoakan emak ayahnya. Anak yang berbakti kepada emak dan ayahnya.

Ayah tahu Ayah tak selamanya baik. Adakala Ayah juga t
ewas dengan nafsu dan bisikan syaitan yang direjam. Tapi Ayah akan pastikan, Ayah akan terus berusaha menjadi contoh yang baik kepada Safiyyah, menjadi hero kepada Safiyyah.

Dan Ayah akan mulakan usaha itu sekarang.

Menjadi Hero Safiyyah.




Abu Safiyyah.
68000 Ampang.

Sabtu, Ogos 20, 2011

Sejarah Baru

Aku terbaca di dalam sebuah tulisan aku di blog aku ini yang entah tahun bila, aku menghadiri kuliah Ustaz Hasrizal. Ustaz Hasrizal yang sarjana di UIA beliau adalah di dalam bidang sejarah, ada menyatakan di dalam kuliah itu, 'Sejarah adalah subjek paling susah. Kerana setiap hari yang berlalu, akan menambahkan satu lagi hari untuk dikaji di dalam subjek itu,'. Aku rasa, memang benar sekali pendapat beliau itu. Lihat sahajalah apa yang jadi pada blog ini, telah beratus hari berlalu dari entri yang terakhir. Amat sukarlah bagi aku untuk mengkaji satu persatu hari. Malah ada peristiwa atau perkara yang aku sendiri telah lupa.

Kesempatan untuk membaca sebahagian daripada entri aku yang terawal baru-baru ini, membuatkan aku jatuh rindu. Jatuh rindu kepada keseronokanku menulis apa yang aku lihat dan apa yang aku rasa sehari-hari ketika itu. Ada sebahagiannya, bagi aku, dapat memberi panduan kepada diri sendiri, dan sebahagiannya menjadi antara kenangan yang terindah. Zaman aku belajar. Belajar tentang kejuruteraan. Belajar tentang berpersatuan. Belajar tentang rakan dan teman. Belajar tentang suasana. Belajar tentang hidup. Blog ini menjadi rekod. Rekod tentang langkah kehidupan aku yang pernah aku lalui suatu ketika dahulu. Rekod tentang sejarah diri yang boleh dibaca dan dikaji pada masa hadapan.

Diam tak diam sudah hampir lapan tahun aku menulis (walaupun setahun terakhir ini amat sedikit yang aku nukilkan). Pelbagai yang telah kulalui sepanjang lapan tahun itu. Pelbagai jua yang bakal dilalui untuk tahun-tahun yang akan datang, jika umur panjang. Semua itu adalah sejarah. Termasuk yang bakal dilalui. Itupun bakal menjadi sejarah apabila kita telah tempuhinya.

Sepanjang setahun yang lalu, aku telah bekerja di PETRONAS sebagai jurutera pesawat terbang tanpa pemandu, antara yang pertama di Malaysia. Aku telahpun berhenti atas banyak sebab. Antaranya kerana aku tidak senang dengan keperluan tugasku untuk ke seluruh Malaysia bagi memastikan dari udara, saluran paip gas PETRONAS selamat untuk rakyat sekitarnya. Aku tidak tahan, penat. Ramai yang pelik dengan tindakanku berhenti dari salah sebuah daripada 100 syarikat terbesar di dunia itu. Tapi, aku ada cita-cita aku sendiri, dan aku yakin dengan cita-citaku itu.

Kini aku seorang jurutera di sebuah syarikat yang memastikan struktur pesawat selamat untuk terbang nun jauh di udara.

Aku juga telah bertunang awal tahun lepas dengan dia. Aku menikahi dia 7 bulan selepas itu. Sangat banyak yang telah kami lalui bersama. Suka dan duka bersama. Banyak lagi yang akan dilalui bersama. Tak sabar untuk sama-sama menempuhinya. Segala-galanya bersama

Kini dia sedang sarat mengandung anak pertama kami yang dijadual lahir kira-kira sebulan lagi.

Aku juga sedang berusaha untuk melanjutkan pelajaranku di peringkat lebih tinggi, atau sekurang-kurangnya itu cadangan aku. Banyak cadangan yang pernah ternukil di blog ini. Ada antaranya yang telah tercapai, termasuk menikahi isteriku. Ada juga cadangan yang hangat-hangat tahi ayam. Tapi, buat masa ini, itulah sasaranku sejak setahun yang lalu. Untuk melanjutkan pelajaran walau sesusah mana.

Kini aku sedang berusaha untuk isteriku yang juga ingin melanjutkan pelajarannya.

Begitulah sejarahku ringkas sepanjang setahun yang lalu.

Masa lalu hanyalah untuk dikenang dan diambil pengajaran. Masa akan datanglah yang akan membentuk diri kita berdasarkan tindakan kita. Walaupun kita tak tahu apa yang bakal datang, kita harus sentiasa bersedia. Perjalanan masih jauh. Kita harus laluinya. Moga Allah memberi kita panduan.

Mari membina sejarah baru!




Perjalanan Masih Jauh
Aras 86, Menara 2, Menara Berkembar PETRONAS
20 Jun 2011






Selasa, Ogos 16, 2011

Seperti Itu


Kenapa...?
Kenapa ..?

Aku tak paham dengan hidup aku sendiri
Kenapa aku seperti ini?
Kenapa aku begitu senang seperti ini
Sedangkan hakikatnya aku tidak inginkan seperti ini?
Kenapa aku begitu gemar seperti ini?
Dari dulu lagi gemar seperti ini?
Bilakah akan habis gemarku terhadap seperti ini?

Perlukah aku teruskan seperti ini?
Apakah natijahnya jika aku teruskan seperti ini?
Natijahnya pada diri aku?
Natijahnya pada hidup aku?
Akan gembirakah aku di akhir nanti?
Akan sedihkah aku di akhir nanti?
Aku sendiri tidak pasti

Kenapa jua aku ingin menjadi seperti mereka?
Apakah aku tidak seperti mereka?
Ya, mereka lain, aku lain
Sedarlah, sesungguhnya mereka adalah sama
Sedarlah, yang membezakan hanyalah cara
Mereka di sana ikut cara di sana
Aku di sini ikut cara di sini

Ah..
Benarlah jua garapannya sebelum ini*
Aku keseorangan sendiri
Aku hakikatnya sepi
Barang bagaimana dapat kulupakan 'seperti ini'?
Sedang tiada yang tampil menolak jauh 'seperti ini'
Atau aku yang tidak sedari?
Mungkin jua aku yang tidak sedari

Ah...
'Seperti ini' itu dapat digugurkan
Seperti gugurnya daun-daun kekeringan
Bersama kisah-kisahnya
Bersama fiil-fiilnya
Terima kasih tidak terhingga kepada seorang teman
Kupasti dengan sentuhannya
Yang tidak jemu-jemu menemani aku

Dapat menjadikan aku Seperti Itu.


Azimin Elias
ITD, IIUM
26 Januari 2005

Selasa, Disember 28, 2010

Sabtu, Jun 12, 2010

Bahagian Ketiga

Oktober

Workstation aku di PPO

Di pejabat, aku diberikan sebuah tugas yang nampak mudah pada awalnya, aku bertungkus-lumus di pertengahannya, dan akhirnya aku berpuas hati dan gembira dengan tugas itu. Tugasnya adalah untuk mengenal pasti dan mengira bilangan rivet dan jenis-jenisnya di bahagian lantai atas dan bawah ekor Boeing 747 di atas drawing sebesar 12 keping A3 yang dicantum-cantum. Senang aja kan bunyinya?

Tapi susah siot. Nak kira rivet satu hal, nak tau diameter dia satu hal, nak tau panjang dia satu hal, nak tau jenis dia satu hal, nak tau yang mana satu yang client minta SMEA buat satu hal lagi. 12 kertas A3 yang tercantum itu aku tampal di dinding, bagaikan penyiasat FBI yang sedang menjejaki penjenayah di peta, aku menanda-nanda drawing itu dengan pelbagai warna. Aku perlu bertemu dengan ramai jurutera lain meminta nasihat. Pak Deni selaku jurutera yang pernah meng-assemble ekor F-16 (literally meng-assemble) semasa di Bandung, Kak Aishah di Sheet Metal Working bagi mengenal pasti sheet metal yang dirivet itu, En Mahzan Assembly Engineer yang membantu aku memberikan bayangan bagaimana proses riveting itu bakal dijalankan nanti.

Besar, komponen itu bakal didirikan lebih dari satu tingkat bangunan. Bos aku pula dah awal-awal cakap, lepas siap kira rivet, aku bakal diberikan tugas untuk menyusun proses riveting bagi projek ini. Aku semakin teruja. Kerana akhirnya, aku berasa sangat selesa dan suka dengan kerja yang diberikan kepada aku. Banyak sangat benda aku belajar, dan banyak lagi benda yang harus dipelajari.

Tapi keselesaan bekerja itu tak lama. Apabila aku menanti kehadiran kegembiraan yang lebih daripada Petronas yang menghubungi aku untuk melapor diri pada 16 November 2009 di PERMATA. Seronok tak terkata ketika itu. . . . . . . . . Memang tak terkata. Hehe. Alhamdulillah.

Aku tender resignation tidak lama selepas panggilan itu. Banyak urusan yang perlu diselesaikan sebelum aku berhenti dengan notis 2 minggu.


November

Antaranya, selesaikan masalah heat treatment dalam projek Hawker Beechcraft. Masalah itu telah ada sejak Hafzil memegang penuh projek itu. Aku membantunya setelah 4 bulan bekerja. Tak banyak yang boleh aku lakukan pun, memandangkan fasiliti yang ada di SMEA ketika itu memang tidak boleh menampung spesifikasi yang klien mahukan. Banyak juga belajar dari projek ini. Tentang besi d
an cara-cara untuk menguatkan besi itu. Secara asasnya, sesetengah komponen kapal terbang yang kritikal dan terdedah kepada vibration dan load yang sangati tinggi, sesuatu perlu dilakukan kepada bahan mentah komponen itu sebelum dan selepas dimesin menjadi bentuknya. Oh. Cukup dengan kata-kata teknikal!

Aku tinggalkan projek itu dengan sebuah laporan penuh tentang perjalanan projek itu yang nampaknya menemui kegagalan demi kegagalan. Akhirnya aku dengar dari Hadi yang juga mengendalikan projek itu dari segi pengurusan, projek itu telah pun dibatalkan oleh CEO.

Di hari terakhir aku di SMEA, aku diraikan dengan jamuan ringkas oleh pejabat aku yang disertai beberapa rakan dari pejabat lain juga. Beberapa jam terakhir di SMEA, aku ke seluruh kilang untuk bertemu dengan seramai mungkin pekerja yang kukenali (sekurang-kurangnya, pekerja yang aku kenal mukanya) dan mengucapkan salam terima kasih, kemaafan, dan selamat tinggal. Sebak juga bila mengucapkannya kepada orang-orang yang sering membantu aku ketika menjalankan tugas. Terima kasih semua di SMEA! Banyak yang aku belajar di situ.

Sebelum Hafzil pulang pada hari terakhir aku itu, aku serahkan kepadanya hasil kerja mengira rivet aku. Hasilnya, lebihkurang 2000 rivet pelbagai jenis diperlukan untuk projek itu. Ini cukup mengajar aku untuk menghargai, betapa jurutera itu bukan hanya duduk di depan komputer dan membuat analisis struktur atau pun design, malah, lebih dari itu. Untuk rivet juga memerlukan jurutera untuk dikira dan disusun. Keduanya, 2000 rivet itu adalah hanya untuk sebahagian kecil lantai atas dan bawah bahagian ekor pesawat. Jadi, keseluruhan pesawat ada berapa rivet? Oh. Sungguh banyak.

Warga PPO di hari terakhirku di SMEA

Terima kasih semua di SMEA yang banyak memberi pendedahan awal dunia pekerjaan kepadaku. Terima kasih juga teman-teman serumah di Bukit Saga, Shah Alam.

Bersambung di Setahun Bekerja, Bahagian Keempat
(Kini dah pun 14 bulan bekerja)

Ahad, Mei 16, 2010

Bahagian kedua

Pada bulan Ogos juga aku telah menghadiri Ujian Penilaian PTD di SMK TTDI Jaya, Shah Alam. Suatu pengalaman yang mengerikan apabila mengenangkan diri perlu duduk seharian menghadap kertas peperiksaan. SPM pun tak dahsyat macam ni, detik hati aku. Kali terakhir aku menduduki peperiksaan rasmi adalah semasa Final Exam di UIA, bulan 11 2008, hampir setahun ketika itu.

Tapi hakikatnya, seronok juga bila tangan tidak henti-henti menulis, mengira, menconteng untuk menjawab soalan. Terdetik lagi, ah, seronoknya jadi student macam dulu-dulu. Haish.

Alhamdulillah, kira-kira sebulan selepas itu, aku dapat tahu aku lulus peperiksaan itu.

Hujung bulan Ogos, seperti yang telah panjang diceritakan di blog ini, aku dan beberapa orang kawan aku telah berkembara Ramadhan di Bandung. Suatu pengalaman yang rasanya tidak jemu-jemu untuk diraih, teringin untuk ke sana lagi untuk kali keempat.

September

Hari Raya Aidilfitri. Apabila pertama kali menyambut Aidilfitri setelah bekerja, perkara pertama yang tertuju di minda aku adalah duit raya yang nak diberi pada sesiapa yang patut. Berapa nak bagi? RM 1? RM 2? RM 5?? Mujur di pejabat aku semasa itu, Kak Ida kerani pejabatku menawarkan untuk menukar wang melalui kakaknya yang bekerja di CIMB Bank. Aku tukar RM 150. RM 50 dan tamba lagi sendiri RM 10 untuk 6 anak buah aku, selebihnya untuk sepupu sepapat yang ada nanti. Sehingga kini, masih lagi ada baki (ramai saudara mara yang tidak dapat pulang ke Muar tahun itu) banyak juga, ada dalam RM 30 macam itu. Boleh simpan untuk tahun ini pulak! Yay!

Balik kampung untuk hari raya. Selama ini dah berpuluh kali aku balik kampung, termasuk 3, 4 kali balik beraya di kampung menaiki kereta aku dari KL. Tapi kali ini, sungguh terasa seperti suasana di dalam lagu Sudirman, 'Balik Kampung'. Mungkin kerana ini pertama kali aku balik kampung betul-betul sehari sebelum hari raya. Semangat.

Semangat di mana pada awalnya aku bertekad mahu pulang seawal jam 3 pagi bagi mengelak kesesakan. Tapi akhirnya aku tertidur malam itu, dan terjaga jam 5 pagi. Jam 6.30 pagi aku solat Subuh di Masjid Sg Ramal Dalam setelah menagih perhatian Nadiah untuk menyiapkan 80 biji muffin coklat sebelum Subuh itu. Berkain pelekat Juan keluar pagi-pagi buta itu untuk menyerahkan muffin yang masih panas yang aku tempah buat disajikan di rumah sempena hari raya. Terima kasih banyak la yeh. Tahun ni boleh tempah lagi. Or is it? Ke, tahun ni tak payah nak tempah, sebab ada orang pun boleh buat.... lagi sedap?? Haaa.

Dengan keadaan hujan renyai-renyai mengiringi separuh perjalanan aku hari itu, terasa sungguh teruja hendak pulang ke kampung halaman. Alhamdulillah, keadaan ketika itu tidak terlalu sesak, malah lebih seronok dari biasa memandu sambil melihat kenderaan di kiri dan kanan, ada yang bekeluarga, ada yang dengan anak-anak kecil, ada yang pasangan muda, ada juga yang bujang keseorangan, semuanya dengan satu matlamat murni - pulang beraya bersama keluarga. Oh, sungguh berbeza pengalaman pulang beraya ke kampung kali ini!

Di hari raya pula, seperti tahun yang sebelumnya, hanya satu soalan yang kerap ditujukan kepada aku, 'Bila lagi?'. Haish. Aku hanya menjawab dengan senyuman...

Pulang kembali ke Shah Alam, aku mendapat panggilan dari nombor KLCC. Oh, mereka memanggilku untuk menghadiri Structured Interview (SI), susulan daripada Technical Interview yang telah aku hadiri lebih 5 bulan sebelum itu. Alasan apa lagi mahu aku beri pada bos aku untuk cuti interview? 'Urusan di pejabat kerajaan'. KLCC ada pejabat kerajaan juga kan? Huhu!

SI terdiri daripada Case Study seperti biasa, dan Role Playing di mana kita perlu berlakon mengikut beberapa situasi yang diberikan, contohnya berlakon sebagai Manager yang mengendalikan masalah pekerja di bawahnya. Setelah SI, diberikan pula sekeping kertas untuk ditulis esei tentang kejayaan/kegagalan yang kita pernah alami. Dan selepas itu, aku duduki sekali lagi ujian online yang pernah aku duduki sebelum ini dari rumah, tapi kali ini, di bawah pemerhatian pemeriksa.



Bersambung.

Rabu, April 07, 2010

Setahun Bekerja

Bahagian 1

1 April lalu genap setahun aku bekerja. Walaupun singkat, pelbagai kenangan telah aku lalui. Bak kata Chief (gelaran yang diberi kepada penyelia pejabat aku di SMEA, En Akram) 'You are all more of family to me than my own family. I spend 2/3 of my day in the office with you guys,'. Memang betul. Dari pagi hingga ke petang, dan banyak juga hingga ke malam kita bekerja di pejabat. Itukah kehidupan kita yang dicari-cari sejak dulu? Yang masa di universiti dulu kita bertungkus-lumus belajar? Tak tahu?

Apa-apa pun, saja aku nak sorotkan apa yang telah aku lalui sepanjang setahun bekerja ini. Jom.

April 2009.

Hari pertama bekerja. Takut. Tak dapat nak bayangkan apa yang akan aku lalui selepas bergelar 'jurutera' ini. Memang itu cita-cita aku sejak darjah 1 - jurutera. Tapi aku memang tidak ada banyak idea akan apa yang bakal aku lakukan sebagai Jurutera Perancang Proses di SMEA, kilang memproses komponen kapal terbang di Sungai Buloh.

Sebelum hari melapor diri itu, aku tercari-cari, oh, di mana patut aku menginap sepanjang aku bekerja di Sungai Buloh nanti? Tercari-cari aku bilik kosong di Damansara Damai. Ada. Murah. Tapi takut jugak. Orang tak kenal. Tempat tak biasa. Macam mana nih?

Mujur ada kawan-kawan seperjuangan di UIA dulu duduk serumah di Shah Alam, kira-kira 30 km dari SMEA. Kenal lama. 30km pun 30 km lah, detik hati aku. Terima kasih warga rumah Taman Bukit Saga yang telah memberi tumpang aku selama 6 bulan.

Berbalik kisah di pejabat. Alhamdulillah, aku telah ditempatkan di Process Planning Office (PPO) di mana semua pekerjanya sangat-sangat hangat dan peramah. Tak perlu lama aku untuk menyesuaikan diri di pejabat itu. Aku berasa selesa.

Hari ketiga bekerja, aku ke Bangi - menghadiri temuduga di PRSB. Tempat aku bekerja sekarang. Masa itu, aku sendiri tidak tahu bagaimana peluang aku untuk bekerja di PRSB.

Minggu keempat bulan April aku sekali lagi menghadiri temuduga kerja (kita dah dapat kerja baru orang lain nak interview kita kan?). Kali ini di ADC. Aircraft Design Centre. Dari websitenya aku faham yang ADC ini menawarkan perkhidmatan analisis struktur bagi ubahsuai pada pesawat. Aku meminta bantuan Lemek yang berkerja di CAE (Computer Aided Engineering) Proton yang sememangnya bidang tugas Lemek. Lemek dengan penuh minat mengajar aku, malah memberi pinjam aku buku teksnya pada malam sebelum aku temuduga yang entah bila sempat ke tak aku nak membacanya.

Hari temuduga, adalah hari bersejarah, kerana temuduga itu adalah yang paling ringkas dan pantas pernah aku lalui - sepuluh minit. 10 minit. Temuduga bersama CEO ADC. Aku rasa bila dia melihat aku telah pun bekerja di SMEA (yang merupakan sister company dengan ADC), CEO itu terus tidak berminat nak mengambil aku. Agaknya lah. Selepas memperkenalkan diri masing-masing, aku ditanya mengapa aku berminat nak bekerja di ADC, temuduga diakhiri dengan soalan dibuka kepada aku dan aku pun setelah bertanya sedikit sebanyak, dah tak tahu nak tanya apa lagi. 10 minit. Itu sahaja.

Hujung bulan April, tatkala aku masih terkial-kial mencari rentak menyiapkan tugas-tugas RFQ (Request For Quotation) aku, aku diserang demam teruk. Demam viral, kata doktor. Aku sangat risau, gundah gulana. Yalah, masa itu sedang hangat isu penularan wabak H1N1. Siapa tak risau kalau masa tu kena demam teruk? Aku disuspek denggi. 3 hari aku MC, terlantar di rumah Bukit Saga. Nasib baik jugak ada Astro, tak la kebosanan. Alhamdulillah, setelah diperiksa darah aku, demam itu hanya demam viral biasa.

Mei 2009

Gaji pertama. Seronok juga ya dapat duit sendiri. Apatah lagi bila tengok di ATM duit anda adalah sebanyak 4 digit. Wah!Alhamdulillah.

Aku semakin mula merasa seperti berada di dalam keluarga di PPO. Walaupun kadang-kadang aku agak bosan dengan kerja aku menyiapkan RFQ, tapi setiap hari aku tidak sabar untuk ke pejabat kerana dapat bersama dengan rakan-rakan sekerjaku. Macam masa di sekolah dulu, seronok nak ke sekolah sebab boleh main-main. Macam itulah rasanya. Alhamdulillah.

Jun 2009

Dipanggil temuduga sekali lagi. SCOMI, propulsion engineer. Tempatnya adalah di ibu pejabat SCOMI di Bangunan Shell di Damansara Utama. Aku memang tak reti nak ke sana. Sesat teruk. Aku akhirnya lambat 40 minit tiba. Malu. Penemuduga dari HR SCOMI dah pun meninggalkan bilik temuduga. Hanya juruteranya sahaja yang menunggu aku. Soalan-soalan sangat teknikal. Nyata aku perlu memerah otak aku untuk mengingatkan kembali asas-asas elektrik, statik dan dinamik ketika tahun pertama di universiti dulu. Alhamdulillah jurutera itu berpuas hati dengan aku. Tapi nyata first impression aku - datang lambat; tidak akan memberi impresi yang sempurna. Tiada jawapan sehingga sekarang - boleh dianggap gagal.

Aku dah masuk bulan ketiga bekerja. Tapi aku masih merasa ketinggalan. Aku takut. Takut tak dapat menepati sasaran bos aku. Kadang-kadang aku rasa, betulkah Puan Zuraida memilih aku? Sesuaikah aku bekerja di kilang pembuatan ini yang mementingkan membuat keputusan pantas?

Walaupun aku belum lagi setakat ini turun ke line production, tapi aku dah terasa bahangnya bila kadang-kadang ada masa aku mengikut senior-senior ke meeting-meeting, memeriksa komponen dan sebagainya. Dimarah, dituduh, ditengking, disuruh, macam-macam. Ah, aku harus cepat bersedia!

Julai 2009

Pertama kali keluar bersama rakan sekerja hujung minggu - menonton Man U menentang Malaysia di Bukit Jalil. Seronok. Macam ni rupanya keluar dengan officemate, detik hati ku.

Kadang-kadang waktu rehat tengahari, makan juga bersama di luar. Tapi biasanya aku memilih untuk makan pagi di pejabat. Itu tradisi PPO, terutamanya bagi kakak-kakak kerani. Pukul 9.45 pagi - 10.00 pagi adalah waktu rehat SMEA. Biasanya itu waktu yang ditunggu-tunggu setiap hari. Jam 9.20 pagi hati dah mula malas nak buat kerja. 9.30 pagi kepala mula memanjang-manjang menjenguk workstation orang lain sambil mengangkat kepala tanda bertanya 'Gi kantin tak?'.

Tapau dan makan berjemaah di dalam PPO. Biasanya tempat Syakilla. Kadang-kadang tempat Kak Ida. Tarik kerusi buruk beramai-ramai, kadang-kadang tak muat nak duduk, duduk atas meja. Ada yang bawa bekal sendiri. Ada yang beli di luar semasa datang kerja tadi. Aku pun kadang-kadang bawa bekal - roti telur goreng di rumah Bukit Saga. Makan sambil bergosip-umpat sana sini. Selalunya Arni dengan Ita tak habis. Hafzil dan aku suka habiskan. Aimi pula jarang sekali terlepas bawa bekal ibunya dari rumah, setiap hari makanan menarik. Wah. Mat Kentang, mereka panggil aku sebab aku suka ambil kentang bekal Aimi. Sedap gile. Kadang-kadang sampai ke 10.30 pagi hingga boss-boss lain datang lalu menjenguk, baru nak berhenti.

Itulah makanan kami hingga ke petang. Tengahari kami rehat. Tidur. Melayari internet. Duduk bersandar.

Jam 1.45, maka mulalah kembali kerja menyiapkan RFQ (masih lagi, saat itu. Belum ke bidang tugas yang lain bagi aku sehingga ke petang.

Ogos 2009

5S. Selalu melihat poster-poster 5s di pejabat aku. Aku cuma tau yang 5S bertujuan memastikan perjalanan kerja yang lancar dengan mengekalkan tempat kerja yang bersih. Saat ini, pengurusan SMEA sedang bertungkus-lumus cuba memberi wajah baru kepada SMEA. Mereka bermula dengan 5S.

Aku antara angkatan awal yang dipanggil untuk mengikuti kursus Toyota Production System. Kursus yang menyedarkan betapa pentingnya mengamalkan 5S dalam menjana keuntungan syarikat. Aku masih ingat contoh mudah yang diberikan; seorang pekerja tertumpah beberapa titis minyak pelincir di atas lantai. Tiada siapa yang membersihkannya. Pekerja lain datang dan memijak minyak itu. Kotoran minyak tersebar. Datang pekerja lain pijak. Makin tersebar. Datang pekerja lain pijak, tergelincir jatuh. Akibat: Orang cedera; ambil masa nak membersihkan. Kan bagus kalau lepas tumpah terus bersihkan?

Contoh lain; Aku nak ke meeting dengan Business Development membincangkan RFQ Airbus. Aku perlu membawa dokumen yang diterima dari Airbus. Ada 5 fail di depan aku. Tiada label. Aku terpaksa mencari satu persatu. Aku menghabiskan masa setengah jam mencari tak jumpa. Rupanya dokumen itu pada orang lain. Akibat: membuang masa setengah jam; perjalanan dokumen tak diketahui. Kan bagus kalau ada label, dan borang yang membolehkan kite mengetahui ke mana dokumen itu pergi?

Bulan Ogos juga aku menempuh Ramadhan pertama kali sebagai pekerja. Seronok juga. Balik awal setengah jam (di atas kertas. Hakikatnya balik macam biasa juga. Ya lah, awal lah sedikit dalam 10 minit). Berbuka beramai-ramai di rumah Bukit Saga, teringat berbuka beramai-ramai di universiti dulu. Mana lagi beli makanan kalau tak di bazaar Ramadhan. Sana sini bazaar kami cuba di sekitar Shah Alam. Kadang-kadang masak juga di dapur. Sedap ke? Sedap tak sedap, yang pasti habis juga. Hehe.

Bahagian 1 berakhir di sini...



Ahad, Januari 10, 2010

Kerja dan Kehidupan Seharian

Bulan Januari 2010 ini adalah bulan kesepuluh aku dalam bidang kerjaya. 7 bulan setengah di SMEA, dan memasuki 2 bulan setengah di PRSB. Dunia kerjaya tak seindah seperti yang aku impi-impikan semasa aku masih di universiti. Aku saat itu hanya impikan saat-saat indah menerima gaji. Saat-saat indah menimba pengalaman dan ilmu. Aku masa itu belum lagi memikirkan jerit perih menyelesaikan masalah. Belum memikirkan bebanan kerja yang sangat banyak seperti memegang tiga projek sekali gus. Belum memikirkan keadaan mendesak di sana sini yang mahu kerja disiapkan segera seperti 'Siapkan kerja sekarang!'. Aduh. Banyak betul cabarannya.

Tapi, itulah kehidupan kerjaya. Dua syarikat aku telah dan sedang lalui. Secara kasarnya, hidup yang dilalui sama sahaja. Pagi ke pejabat seawal antara jam 7 - 7.30 pagi. Menjalani kerja di pejabat sehingga jam 6 ataupun 7 petang. Pulang ke rumah hari dah pun gelap. Bersihkan diri, solat, makan, jam dah pun pukul 10 malam, dah tiba masa untuk tidur. Begitulah sehari-hari selama 5 hari seminggu.

Sabtu, biasanya diisi dengan tidur sehingga tengahari, kononnya balas dendam tidur kurang 5 hari bekerja. Petang, aktiviti membasuh baju, mengemas apa yang patut. Malam, berehat, menonton movie kalau ada. Ahad, keluar ke mana yang dirasa patut, melihat alam dan orang, sekali dalam seminggu itulah masanya.

Nah, itulah kehidupan aku seharian sepanjang 10 bulan ini. Sangat orang kata, 'tak ada live', kan? Itu sebab aku kadang-kadang akan ajak teman-temanku untuk makan bersama, berborak apa-apa, bagi melengkapkan tanggungjawab sosial, sekaligus menghilangkan rasa bosan minggu itu. Teman AeroAwesomeness, selalunya malam hari kerja seperi Rabu. Teman serumah dulu di Shah Alam biasanya hujung minggu. Kini nak mula ajak teman-teman UIA di Bangi-Kajang pula.

Itu tanggungjawab sosial. Bagaimana dengan tanggungjawab untuk melihat alam dan berfikir? Bagaimana dengan tanggungjawab untuk memenuhi ilmu selain ilmu kerjaya di dalam dada? Aku rasa, 2 minggu sekali aku perlu lapangkan minda, melihat alam, melihat hijau. Dan sekali sekala, perlu mencari ilmu, yang dulu selalu aku cari semasa di universiti. Menunggu jadual kuliah-kuliah di surau-surau Bangi dari Juan dan Nadiah masih belum kunjung tiba. Bila lagi nak mula ke kuliah itu? Ayuh kita mulakan!

Sekali sekala perlu tengok alam, tengok sekeliling. Dapat tenangkan hati. Dapat lapangkan minda. Dapat pahala.


Sabtu, Januari 09, 2010

Masa

Semalam sekitar jam 6.30 petang aku pulang ke rumah dari pejabat melalui Jalan Sungai Ramal Dalam. Hujan renyai-renyai. Baru sebentar tadi hujan lebat dan ribut. Keadaan jalan yang sempit itu sangat sibuk. Orang ramai berpusu-pusu pulang ke rumah dari tempat kerja. Dalam kesesakan itu, aku nampak seorang budak sekolah. Kecil saja badannya. Berjalan kaki di pinggir jalan raya sambil cuba mengelak kereta-kereta yang melalui di sebelahnya, maklumlah, jalan sempit. Dengan beg sekolahnya yang kelihatan lagi besar darinya, dengan baju yang basah dek hujan renyai. Kesian budak tu, detik hati aku.

Aku teringat dulu sewaktu kecil, aku juga seperti itu. Teringat dulu di Sekolah Ismail Dua, selalu Mak akan jemput aku pulang dari sekolah. Kadang-kadang, Mak ada meeting, dan terlupa nak beritahu aku yang dia akan jemput aku lewat sedikit, aku akan jadi tak keruan. Mana Mak ni? Mak lupa nak amek ke? Aku jadi cuak. Lebih cuak bila di sekolah dah tak ada budak lagi, semua dah balik. Satu saja perkara yang aku akan lakukan masa itu - berjalan kaki. Nak ke mana? Sekolah itu jaraknya 5 km dari rumah aku. Huh. Aku akan berjalan kaki ke sekolah tempat Mak mengajar - Sekolah Kebangsaan Convent. Jaraknya? Aku pun tak pasti, sebab setakat ini aku belum pernah berjaya jalan kaki ke sekolah itu kerana dalam perjalanan, pasti akan kelihatan Proton Saga '87 milik Mak berhenti di depan aku untuk menjemput aku.

Itu adalah 16 tahun dahulu. Tak sangka dah 16 tahun berlalu. Terasa masih segar dalam ingatan. Peluh menitis di dahi berjalan tengah panas ke Sekolah Convent itu masih terasa. Kini aku dah lama tak berpeluh. Jalan kaki pun kurang. Padanlah gemuk. Geleng kepala.

Macam-macam dah yang berlaku sepanjang 16 tahun itu. Terbaru, masuk ke tahun baru 2010. 31 Disember 2008 yang lalu aku sedang berada di bilik aku di UIA. Masih terkapai-kapai nak menyiapkan FYP yang tak kunjung tiba ke penamat, ketika itu. Aku tak kisah pun pada malam tahun baru 2009 itu, seperti bagi sesetengah orang lain, mereka perlu meraikan malam itu. Sama seperti tahun baru 2010 yang lalu. Aku seperti tiada apa. Hampir seperti hari-hari biasa yang lain. Perlukah aku kasihan pada diri sendiri? Aku pun tak tahu. Yang aku tahu, esok adalah sepatutnya menjadi hari yang lebih baik untuk aku, tak kira apa.

Terbaru lagi, isu kalimah Allah yang mahu digunakan oleh pihak gereja. Aku tak tahu secara mendalam apa tujuan sebenar mereka mahu menggunakan kalimah suci itu. Bagi aku, dulu pernah ke kursus Comparative Religion, belajar yang Allah adalah tuhan kepada seluruh umat manusia. Yang menjadikan Islam itu agama benar adalah aqidah kita percaya yang Allah itu Maha Esa. Aku kecewa bila dengar ada orang buat kenyataan di TV 'Allah adalah eksklusif untuk orang Islam'. Mungkin die tak bermaksud sedemikian.

Tapi, entahlah. Apa niat sebenar pihak gereja nak gunakan kalimah suci itu, aku pun tak pasti. Kalau tiada apa niat kotor, bagi aku, tak ada salahnya, malah, kita akan menemui perkara yang serupa dalam kedua-dua ajaran agama ini seperti semasa Raja Kristian Habsyah menyelamatkan golongan hijrah muslim, sedar agama yang dianutinya sendiri dan agama Islam adalah 'seperti satu sumber cahaya yang dipisahkan oleh dua lubang'. Kalau nak katakan kita takut generasi muda kita nanti keliru, kita tanya balik pada diri kita, kenapa kita perlu takut kalau kita selama ini dan tanamkan aqidah dan kepercayaan kepada anak-anak sejak kecil lagi? Kita orang Melayu cepat sangat melatah dengan perkara yang kita sendiri tak perlu takut. Kita cepat sangat menuduh meluru dan merusuh tanpa usul periksa dan tanpa memikirkan apa langkah bijak yang boleh kita ambil.

Tapi kalau ada niat kotor seperti nak memburukkan nama Allah, dan sebagainya, perkara ini harus dilarang dan ditentang. Pemimpin agama Islam negara harus bersikap tegas. Perkara ini memang tidak boleh dibiarkan dan harus disiasat. Pokoknya, kita harus bertindak berdasarkan fakta, bukannya berdasarkan perasaan memberontak.

Mungkin pendapat tiga pihak berikut dapat menjelaskan lagi apa yang harus difahamkan dan dilakukan:

  1. Allah untuk semua!
  2. ISNA Commends Malaysian Court Ruling that Affirms Religious Freedom of Christians
  3. Isu Nama Allah: Garis Panduan Penggunaan Nama Allah

Itu cuma pendapat aku. Mungkin salah, mungkin betul. Aku bercakap berdasarkan apa yang aku belajar dan fikir. Mungkin dulu pendapat aku lain. Mungkin masa depan nanti pendapat aku lain. Masa memberi banyak ruang kepada kita untuk menambah ilmu, menambah pengalaman. Gunakanlah semua itu dengan baik.

Oh, sudah masuk waktu Maghrib. Lebih baik aku solat dahulu. Jom!




Ahad, Disember 27, 2009

Soalan Selalu Ditanya (Frequently Asked Questions - FAQ)


Dah sebulan aku di pejabat di Bangi. Alhamdulillah, walaupun terkontang-kanting nak catch up dengan pace kerja yang pantas, setakat ini inshaAllah aku boleh bertahan dan cuba untuk menggerakkan diri lebih aktif lagi.


Bila jumpa kawan-kawan, ramai yang tanya pasal Petronas. Soalan-soalan yang dulu aku pun akan tanya, kalau berpeluang, pada orang yang kerja Petronas. Aku akan cuba menjawab di sini, beberapa soalan yang aku rasa selalu ditanya.

Tahun 2019 (atau sekitar tahun itu) dikatakan sumber minyak dan gas akan habis di dunia. Jadi, apa Petronas akan buat untuk bertahan sebagai sebuah syarikat?

Sejak tahun 1980-an, pelbagai anggaran berapa tahun sumber minyak akan bertahan di dunia ini. Di dalam tahun 1980-an, telah dianggarkan kira-kira 15 tahun lagi minyak akan habis. Tapi, kini telahpun lebih dari 20 ta
hun kita melewati dekat 80-an, alhamdulillah, minyak masih lagi ada. Anggaran-anggaran ini dibuat berdasarkan telaga minyak semasa yang ada. Sememangnya banyak lagi simpanan minyak yang belum dicarigali lagi di bumi ini. Anggaran ini akan sentiasa berubah bila simpanan minyak baru ditemui di bumi ini.

Walau bagaimanapun, Petronas sentiasa mencari tenaga alternatif. Petronas juga sentiasa mencari jalan untuk mengurangkan penggunaan minyak/tenaga oleh pengguna. Untuk pengetahuan, antara minyak dan gas asli, gas asli adalah lebih kritikal penggunaannya di Malaysia kerana gas asli adalah sumber utama (selain dari arang batu) untuk menjana elektrik di negara kita.

Petroleum negara kita adalah sangat berkualiti, mempunyai kandungan sulfur yang rendah, tapi, kenapa kita ekspot ke luar negara minyak kita, dan kemudiannya kita impot semula ke negara kita minyak yang tinggi kandungan sulfur, yang kurang berkualiti?


Apabila kita mengekspot minyak kita yang berkualiti itu ke luar negara, kita menjual dengan harga pasaran yang sangat tinggi. Kos bagi memproses minyak kandungan sulfur tinggi ini adalah sangat tinggi, di mana adalah lebih menguntungkan jika kita menjualnya dengan harga yang mahal, dan membeli minyak yang kualiti lebih rendah, tetapi jauh lebih murah. Di sini kita mendapat untung yang banyak.

Apakah perniagaan Petronas selain dari minyak dan gas?


Petronas mempunyai lebih daripada 200 anak syarikat, samada milik penuh, milik sebahagian ataupun yang berkaitan. Milik penuh bermaksud 100% adalah milik Petronas. Milik sebahagian, 50% saham adalah milik Petronas. Berkaitan, Petronas mempunyai saham di bawah 50% di syarikat itu. Antara anak syarikatnya;

Petronas Carigali Sdn Bhd
Petronas Dagangan Bhd
Petronas Gas Bhd
Petronas Research Sdn Bhd
Petronas Ammonia
Petronas Methanol
Petronas Penapisan Melaka Sdn Bhd
Petronas Penapisan Terengganu Sdn Bhd

Petronas International
MISC
Universiti Teknologi Petronas
Petronas Management Training Sdn Bhd
KLCC Holdings
Prince Court Medical Centre
Asean Bintulu Fertelizer

Petronas Fertelizer Kedah
Klang Valley Distribution Terminal
Gas District Cooling (GDC) KLCC
GDC Putrajaya
GDC UTP

MITCO
Terbaru, Mercedes GP Petronas

Dan lebih 200 lagi anak syarikatnya. Dari nama-nama beberapa syarikat di atas, dapat kita lihat Petronas terlibat dengan banyak perniagaan; Carigali minyak dan gas; pemprosesan minyak dan gas; kimia; baja; pemasaran; tenaga alternatif; sukan permotoran; pendidikan; kesihatan; perdagangan (termasuklah perdagangan bukan minyak dan gas seperti beras, makanan da sebagainya); dan banyak lagi.




Di manakah Petronas di dunia?

Petronas beroperasi di lebih 30 buah negara di seluruh dunia.

Petronas telah ditubuhkan pada 17 Ogos 1974. Setelah lebih 35 tahun, Petronas kini adalah syarikat minyak dan gas keenam terbesar di dunia, di belakang syarikat gergasi seperti ExxonMobil, Shell, Chevron, BP. Kita juga telah dikelaskan sebagai 'The Seven Sisters' - sekumpulan 7 syarikat minyak dan gas nasional yang menguasai pasaran global; Gaspron (Russia), Saudi Aramco (Arab Saudi), CNPC (China), NIOC (Iran), PDVSA (Venezuela), Petrobras (Brazil) dan Petronas.

Di manakah letaknya simpanan minyak terbesar di dunia?

Arab Saudi, Kanada, Iran, Iraq dan UAE adalah 5 negara yang mempunyai simpanan minyak terbanyak di dunia (Jumlah kelima-lima negara itu adalah lebih dari 800 billion tong). Malaysia adalah di tangga ke 23. Iran dan Iraq adalah antara negara di mana Petronas beroperasi. (berdasarkan statistik 2007)

Simpanan gas terbesar di dunia?

Hampir 60% simpanan gas dunia terletak di Russia, Iran dan Qatar. Malaysia di tangga ke 16 dunia.

Berapakah kadar pengeluaran minyak oleh Petronas?

Kira-kira 700 ribu tong sehari (tahun 2007).

Berapakah harga pasaran semasa setong minyak?

Turun naik. Sekitar USD 70 setong.

1 tong bersamaan dengan apa?

1 tong = 42 gelen. Kalau nak dibandingkan, minyak sekitar USD 70 setong, Coca Cola kalau 42 gelen juga, harganya USD 160. Kalau susu setong, USD 335. Minyak hanya USD 70. Pada harga puncak pun minyak cuma USD 150. Bayangkan proses nak dapatkan susu. Bayangkan proses nak dapatkan minyak. Berbaloikah?


Sabtu, Disember 19, 2009

Selamat Tahun Baru 1431 H

Banyak perkara yang berlaku sepanjang 57 hari tak menulis apa-apa di sini. Dari perkara rutin harian, sehinggalah perkara yang tak aku sangka akan berlaku. Aku telah pun meninggalkan SMEA 13 November lalu. 7 bulan 13 hari aku di situ. Sedih. Hati baru mula rasa seronok bekerja di situ. Suasana kekeluargaan yang ada di dalam pejabat tidak akan aku lupakan.

Hujung bulan Oktober aku mendapat panggilan dari Pn Mohainita di KLCC. 'Surat tawaran awak dah tersedia. Nak datang ambil?' tanyanya. Gembira tak terkata sehingga aku terlupa nak bertanya apa jawatan yang ditawarkan, tarikh, di mana dan sebagainya, terpaksa aku hubungi Kak Nita berkali-kali selepas itu - asyik terlupa soalan yang nak ditanya.

Peluang yang diberikan tidak datang selalu. Aku perlu dan harus terima tawaran ini.

Sejarah aku memohon untuk Petronas dah bermula sejak 2003 lagi. Ada dulu pernah aku tulis tentang itu di blog ini;

28.03.03
PERMATA, Kajang
12.30 pm

"...About the reccomandation to ban cars entering the city to avoid traffic jams, I think I would say yes. I agree. There are some problems will occur, as our friend here said just now. He said, what if there is an emergency that need someone has to enter the city with their own vehicle, like to the hospital? That's right. But the government could transfer hospital to rural or suburban place..."

Aduh... kene interview dengan Petronas. Mencabar betul. Sebenarnya yang susah tu nak cakap Inggeris. Kene pulak masuk group dengan bebudak elit KL. Giler ah die orang... speakingmacam Mat Saleh. Huhu! Tajuk yang AKU kene ringan jek.. pasal traffic jam. Start interviewpukul 10 lebih. Tapi aku kene pukul 12.20. Sebelum tuh, pukul 8 ade briefing pasal ESU dengan UTP. Breakfast free, makan kuew tiau. Lunch kene beli. AKU pun tatau makan ape. Hi tea free, makan bee hoon dengan roti letak sosej.

Pegi sembahyang naik kete member, same group dengan aku. Patutnye ade bas yang bawak, tapi group kite orang abes pukul 1.15. Kelam kabut betul mase interview. Time sorang² cakap ok... tapi bile discussion, tak berape ok. Mase dah suntuk. Patutnye 40 minit. Interviewer tu pendekkan kepada 15 minit jek. Aiseh... susah betul nak nyampuk cakap. Nyampuk pun, nyampuk sikit². Kire macam aku ni pengerusi forum aar... tanye² sket.. ulas² sket.. hahah! Ntah la... doa dan tawakkal aje la...

Hehe. Mentahnya aku dulu. Aku masih ingat, aku tak cakap banyak dalam interview itu, malah kerap kali aku tergagap-gagap mencari isi untuk diperkatakan. Akhirnya setelah 3 bulan menanti, aku tidak dapat jawapan apa-apa dari Petronas. Aku teruskan pelajaranku ke UIAM.

Bulan November 2008 aku ke Karnival Kerjaya Kebangsaan di UKM. Aku beratur panjang di walk-in interview di booth Petronas. Ramai orang, sangat ramai. Satu jam aku tunggu. Bila tiba giliranku, aku terkelu. Mindaku tiba-tiba jadi beku, tak tahu apa nak cakap. 'Tell me about yourself'. Pendek saja aku jawab. 'Why do you think Petronas should hire you?'. Serius, aku sangat tiada idea untuk menjawab. Di hujung interview itu orang yang interview aku tamatkan dengan "Let me give you my personal advice... Your CGPA is just at par. A lot of people with better CGPAs are applying for the job. You should improve your CGPA. Secondly, please learn to talk,". I took that as a challenge, bilangku dalam hati.

Januari 2009. Rumah Acap di Bandar Tun Razak. Ada makan-makan bersama teman-teman UIAM. Aku yang selalunya banyak mulut bila bersama teman-teman bertanya kepada Dayana "Dayana, kat tempat ko prektikel takde keje kosong ke?". Masa itu aku telah menerima conditional offer dari Perodua, aku perlu menunggu final result memandangkan aku extend final project aku untuk 2 bulan. Tapi aku tak boleh tunggu dan lihat saja, aku perlu mencari alternatif lain andai Perodua menarik balik condition itu. "Aku tatau la Jimin." pendek saja jawapan Dayana. Jawapannya itu diteruskan dengan pengalamannya yang sedang prektikel di Petronas Research di Bangi. 2,3 minggu lepas itu Dayana sms aku, "Jimin, kalo ko nak apply tempat aku keje, ko bg resume ko, nanti aku forwardkan pade boss aku,".

Februari 2009 aku menduduki Ability Test secara online, langkah pertama untuk Structural Interview.

April 2009, permintaan dari Petronas Research, aku menduduki Technical Interview (TI) di Bangi. Interview yang paling lama pernah aku duduki. Satu jam setengah. I enjoyed the interview. Sangat tenang dan menyenangkan, tak seperti interview di UKM. Alhamdulillah, aku selesa.

September 2009. Penantian yang sangat lama. Akhirnya dipanggil ke KLCC untuk Structural Interview (SI). Secara asasnya, calon hanya perlu melepasi SI untuk layak diterima bekerja. Sebelum dipanggil untuk SI, calon perlu melepasi Ability Test. Bila berjaya di SI, terpulang kepada Petronas untuk menawarkan mana-mana jawatan di mana-mana 200++ anak syarikatnya. Kadang-kadang, sesetengah anak syarikat atau jabatan yang ingin mengambil calon itu akan mengadakan satu sesi dipanggil 'chit-chat' untuk mengenali calon. Kadang-kadang, lebih formal, TI akan diadakan. Aku dahpun menduduki TI, tapi masa itu aku sendiri tak tahu apa keputusannya, samada aku dapat atau tidak. Dapat atau tidak di TI, aku perlu melepasi SI ini dulu untuk layak diterima oleh Petronas secara am.

Untuk SI, terdapat banyak tips di internet. Malah, ada yang memberi contoh soalan di blog mereka. Kirun banyak membantu aku untuk ini. Banyak tips yang Kirun berikan. Pengalaman bekerja dan training di SMEA juga banyak membantu untuk aku menjawab. Aku merasa yakin. Alhamdulillah. Aku tidak pernah berasa seyakin ini.

Akhirnya 16 November lalu aku buat pertama kalinya sejak 28.03.03 ke PERMATA, kali ini untuk kursus induksi selama 16 hari.

"Why Petronas?" antara soalan awal yang dilontarkan di dalam kursus. Kerana duit? Kerana nama? Kerana apa? Kebanyakan peserta kursus kali ini seramai 49 orang terdiri daripada scholarship Petronas, ramai dari UTP. Sejak 3, 4 tahun dulu mereka telah didedahkan luas tentang dunia Petronas dan dunia oil and gas. Sebahagian dari mereka ada yang dah mendapat tawaran dari syarikat gergasi oil and gas seperti Schlumberger, ExxonMobil, yang menawarkan gaji berkali ganda lebih besar dari Petronas tawarkan. Tapi, kenapa pilih Petronas?

Secara peribadi, masa dilontarkan soalan itu, aku teringat kata-kata Firs bila aku tanya dia kenapa dia tak nak minta kerja di syarikat asing seperti Shell, "Sejak kecik dulu kita berkobar-kobar nak bantu negara, nak bantu rakyat, tapi lepas grad, ramai yang kerja syarikat luar,". Sepanjang 16 hari kursus itu, aku banyak tahu tentang Petronas. Cogan kata Petronas ialah "Energy Receive, Energy Return, Aspiring People Everywhere". Petronas bayar cukai RM 40 billion pada kerajaan taun 2008, duit yang akan kembali semula kepada rakyat, bayangkan kalau nilai itu dibahagikan kepada semua 40,000 pekerja Petronas seluruh dunia, setiap seorang akan dapat bonus RM 1 juta. Tapi duit itu adalah juga hak rakyat. Petronas ada PetroSains untuk rakyat. Petronas tubuhkan beberapa sekolah di Sudan dan Myanmar. Petronas telah bangunkan Bintulu. Petronas kini sedang bangunkan ECER di Pahang. Energy Return. Aku telah belajar sejak darjah 1 sehingga tamat pengajian ijazah menggunakan subsidi kerajaan. Subsidi kerajaan = duit rakyat. Bila lagi boleh aku balas kepada rakyat seluruh Malaysia? Sekarang, di Petronas. Alhamdulillah, syukur pada Nya, aku dapat peluang ini.

Tapi, of course bukan itu sahaja sebab kenapa Petronas. Dan pelbagai lagilah, itu yang boleh aku katakan. Hehe.

Sebelum menyertai Petronas aku telah mendengar banyak khabar angin tentang budaya kerjanya. Ada yang mengatakan selalu tak ada kerja, goyang kaki saja. Dah 2 minggu aku di pejabat di Bangi ini, dan dapat aku katakan, memang aku goyang kaki, tapi itu kerana memang aku suka goyang kaki sambil buat kerja. Kerja sangat banyak, ditambah pula dengan persaingan sihat di kalangan officemate. Performance adalah sangat penting. Pekerja harus exceed expectation. Itu cabarannya. Dan aku saat ini sangat-sangat risau, mampukah aku untuk kekal di sini, mampukah aku untuk exceed expectation? Mampukah aku untuk at least meet the expectation? Takut. Ya Allah, berikanlahku kekuatan agar aku dapat menunaikan tanggungjawabku dengan sangat baik.

Berusahalah! Berusahalah! Berusahalah!

Menurut Fortune 500 2009 (Senarai 500 syarikat terbesar di dunia berdasarkan hasil), Petronas kini adalah syarikat yang ke-80 terbesar di dunia, satu-satunya syarikat Malaysia yang tersenarai. ExxonMobil adalah syarikat terbesar dunia ketika ini. Diikuti WalMart dan Royal Dutch Shell.

Khamis, Oktober 22, 2009

Sejauh Mana?

Petang tadi sedang tekun (sambil berkerut kening) menghadap skrin komputer ribaku di pejabat membuat report barang, azan di radio pejabat berkumandang. Azan Asar. Seperti biasa, keadaan yang sebelum itu hiruk pikuk dan bising dengan pelbagai suara menjadi senyap menghormati azan berkumandang. Selesai azan, perhatianku kepada kerja yang sedang dilakukan tersentak, dengan satu tingkah seorang rakan sekerjaku, yang mejanya di sebelahku, Pak Deni.

Beliau dengan tidak semena mengangkat tangan tinggi dan berdoa dengan suara yang dapat didengar jelas (ala-ala angkat tangan berdoa macam dalam sinetron Indonesia), 'Ya Allah, aku bersyukur kepada Mu karena azan yang telah berkumandang, untuk aku menghentikan segala kerja yang sedang kulakukan, dan pergi menunaikan shalat dan beribadah kepada Mu,'.

Keningku berhenti berkerut. Mulutku membentuk senyum. 'Nak perli ke ape nih Pak Deni?' detikku di hati. Aku memandang Sara yang duduk berdepanan denganku lalu berkata, 'Ko tak terkesan ke dengan doa Pak Deni tadi?'. Aku tak menunggu jawapan Sara, terus aku bangun dan tinggalkan kerja aku dan ke surau menunaikan solat Asar.

Sejauh mana kita patuh kepada perintahNya? Cheong pernah memuji sikap umat Islam yang berdisiplin untuk solat berjemaah lima waktu sehari bila dia tinggal bersama kami di asrama Masjid Salman sepanjang 2 bulan. Adakah aku dapat mengekalkan amalan solat di awal waktu? Adakah aku dapat meninggalkan kerja yang sedang kulakukan bagi menyahut seruan azan? Bagi menunaikan solat bila masuk sahaja waktunya?

Pak Deni suka ajar aku bahasa Sunda,

'Abdi parangtos natepan. Anjeun te achan, mangga anjeun natepan,'

'Saya sudah solat. Kamu belum, silakan kamu tunaikan solat,'

Ahad, Oktober 18, 2009

'Cross all the t's, dot all the i's ',

Kata Craig pada aku dan Hafzil masa ada discussion dengan dia di pejabatnya. Aku pun tak pasti apa yang dia cuba katakan, dengan loghat Southern States pekat dia, suka dengar, tapi kena dengar dengan teliti nak faham. Apa agaknya maksud idiom ni? English idioms pun aku dah lama tinggalkan. Kalau dulu dekat sekolah aku suka guna idioms dalam essay aku.

Agaknya maksudnya melengkapkan. Kita dah siap semua kerja, tapi kita perlu pastikan yang kita dah cross all the t's and dot all the i's. Jangan buat kerja asal siap saja. Buat kerja, sampai siap, lengkap semuanya, dan mestilah buat dengan baik, jangan ada tertinggal cacat cela pada kerja kita.

Aku dah pun mengakhiri hubungan aku dengan UIA dengan majlis konvokesyen aku seminggu lepas. Alhamdulillah. Walaupun dah grad hampir setahun yang lalu, tapi UIA terasa dekat di hati di sebalik pelbagai komplen, rungutan dan kritikan aku pada universiti antarabangsa ini. UIA telah memberi banyak peluang kepada aku melalui pelbagai ruang dan acara. UIA telah mengajar aku erti kehidupan seorang pelajar universiti, erti kehidupan seorang Muslim, erti keterbukaan minda, dan pelbagai erti lain.

UIA telahpun memberi ruang untuk aku untuk cross all the t's and dot all the i's dalam lembaran aku sebagai seorang pelajar di universiti Islam dan universiti antarabangsa. Terima kasih Allah telah melimpahkan kurnia dan memberi peluang kepada aku menuntut di universiti ini. Terima kasih UIA dan warganya dengan pelbagai ruang yang telah diberikan. Pengalaman yang telah dilalui sepanjang hampir 6 tahun, setahun setengah di Petaling Jaya dan hampir 4 tahun setengah di Gombak, sangat-sangat berharga.


Mudah-mudahan aku akan terus menjadi lebih baik.

Craig kini telah pun pulang ke Kansas. Aku amat menghargai Mat Saleh yang baik dan berbudi bahasa dan mempunyai kata-kata yang ringkas, tapi tepat. Ingin aku mencontohi budaya ringkas tapi tepat itu.

Ahad, Oktober 04, 2009

Kembara Ramadhan di Bandung

Kembara Ramadhan di Bandung

Lima hari di Bandung semasa Ramadhan hari itu terasa sangat padat dan penuh dengan aktiviti. Pagi pukul 7 dah pun keluar, balik malam dah pun waktu berbuka, setiap hari. 'Capek (penat), tapi bahgia, kan?' kata Adan.

Hari pertama kami tiba pagi pukul 10.30 pagi waktu Indonesia Barat (WIB). Khabarnya Juan dan Nadiah yang telah tiba sehari lebih awal telahpun sedang di Pasar Baru sendirian menaiki angkot, atas tunjuk ajar Adan. 'Wah, laju betul die orang nak shopping,'. Tiba di asrama Salman, Institut Teknologi Bandung di sebelah utara bandar, kami di bawah ke lantai tiga, tempat aku dan dua rakan yang lain tinggal semasa program pertukaran pelajar di sini dua tahun dulu. Sangat rindu dengan tempat ini. Suasananya. Persekitarannya. Sampaikan baunya pun dapat menggamit.

Tengahari itu aku membawa rakan-rakan aku yang sebahagiannya baru pertama kali ke Bandung, melawat sekitar kampus ITB. Diperkenalkan dengan Mukmin, pelajar Malaysia yang sedang menuntut ilmu farmasi di ITB ini. Kelmarin dua tahun lepas Mukmin masih belum ke ITB lagi. Alhamdulillah, bertambah lagi kenalan.

Berjalan di kampus bersama Mukmin

Menuju petang, kami ke Dago Bawah, melawat Gedung Merdeka, satu lagi gedung FOS, dan juga ke pasaraya BIP (Bandung Indah Plaza) membeli bekalan air mineral sepanjang kami lima hari di Bandung.

Di dalam angkot Kalapa-Dago menuju ke BIP

Nadiah tenang duduk di hujung pintu angkot yang sedang bergerak menikmati suasana di Kota Bandung

Malam itu kami berbuka puasa western. Cadangnya nak ke Javan Steak, tapi oleh sebab masalah tempahan, kami terpaksa ke Waroeng Steak. Alhamdulillah, Mukmin berjaya mengumpulkan hampir 30 orang pelajar Malaysia (dalam notis yang begitu singkat) untuk sama-sama memeriahkan saat berbuka puasa bersama kami. Bertemu kembali dengan Afifi, Ayraf, Syazzni, yang pernah kami saling bantu membantu sepanjang 2 bulan kami di Bandung 2 tahun lepas. Oleh kerana terlalu ramai pelanggan lain di Waroeng Steak itu, aku turut membantu mengambil pesanan dari lebih 30 orang antara kami. Hehe. Kami solat Maghrib dulu sambil menunggu meja kosong. Sebahagiannya solat di Hotel Sawunggaling yang terletak di depan Waroeng Steak itu. Rindu makanan di sini. Rindu suasana ukhwah seperti malam itu. Penat, tapi bahagia.

Tenderloin Double. Terbaik.

Kami di Waroeng Steak. Dua meja Brothers. Dua meja Sisters di belakang. Dah buat macam kedai sendiri dah, ramai orang Malaysia berkumpul.

Malam itu kami sahur murtabak. Di Indonesia, murtabak manis itu sama dengan apam balik kita. Kami beli di tempat biasa kami beli murtabak saat kami di Bandung 2 tahun dulu. Di sebelah warong murtabak itu adalah warong nasi goreng mawut (mawut = complicated), tempat makan rutin kami setiap malam. Hehe.

Esoknya kami ke Jakarta. Menaiki kereta sewa (MPV) dengan harga Rp. 275 ribu (Sekitar tak sampai RM 100) bersama dengan Supir (pemandu kereta) seharian. Kami tiada plan yang baik sebenarnya untuk ke Jakarta, kerana Aiman, orang yang beria-ia nak ke Jakarta tidak dapat bersama kami ke Indonesia waktu itu. Aku sendiri tidak mahir dengan Jakarta, tidak tahu ke mana yang harus dituju, ke mana yang boleh dituju, bila yang sesuai untuk menuju bagi mengelak macet (jalan raya sibuk). Jadi, kami serahkan kepada Supir. Tapi, yang pasti, kami mahu ke Taman Mini Indonesia Indah (TMII). Di TMII, perasaan seronok dan kecewa bercampur. Seronok kerana boleh ke seluruh Indonesia di TMII ini - rumah budaya seluruh Indonesia ada di sini. Kecewa kerana masa terlalu singkat (rasanya perlu sekurang-kurangnya seharian nak melawat semua rumah budaya di sini).

Pintu masuk ke Rumah Jawa Timur di TMII.

Kami solat Jumaat di Masjid at-Tin, masjid agung TMII. Gah masjid ini. Cantik dan besar. Setelah solat, kami tertanya-tanya, ke mana kita selepas ini? Kalau ada Nadiah, pastinya kami nak ke Tanah Abang, pusat penjualan barang. Kami bertanya kepada Supir, Kang Dudi boleh tak kami ke Kota Jakarta (TMII ini di pinggir kota) untuk melihat-lihat suasana kota. Kang Dudi menolak kerana tak sanggup menghadapi kemacetan Jakarta yang maha dahsyat. Aku memahami Kang Dudi. 3 tahun dulu aku pernah ke Jakarta dan pernah tersekat dalam kemacetan selama hampir 3 jam. Kang Dudi mencadangkan kami ke Puncak, kawasan peranginan di perbukitan dalam perjalanan pulang ke Bandung dari Jakarta. Kami setuju.
Puncak

Pulang ke Bandung kami melalui jalan biasa (berbanding jalan lebuhraya yang kami lalui untuk ke Jakarta dari Bandung). Kami melalui kawasan pergunungan yang indah. Struktur dan contour tanah yang aku belum pernah jumpa di mana-mana kawasan yang aku pernah pergi di Malaysia. Subhanallah, cantik. Cianjur nama kawasan yang kami lalui. Kalau dua tahun dulu, kami pernah ke Cianjur juga, ke rumah Teh Rateh di majlis pernikahannya dengan Masri. Aku tidur sepanjang perjalanan itu dan tak sempat nak menikmati keindahan Cianjur. Kali ini, aku mencelikkan mata aku yang sangat mengantuk dan letih ketika itu.
Landasan keretapi yang melintasi kawasan padi bukit dapat dilihat dari lebuhraya Jakarta-Bandung, melalui tol PadalarangKawasan Cianjur yang mempunyai banyak lembah dan gunung.

Kami singgah di sebuah tasik, Situ Ciburuy namanya. Dalam bahasa Sunda (Sunda adalah kaum majoriti di Jawa Barat, wilayah terletaknya Bandung), Situ adalah tasik, Ci adalah air, dan Buruy adalah berudu. Kalaulah ada masa lebih banyak, sudah pasti akan aku luangkan untuk menikmati kawasan-kawasan pergunungan di sekitar Bandung ini. Cantik. Kawasannya asli. Orang-orang Sundanya pun masih asli Sunda, cantik-cantik. Hehe.


Situ Ciburuy, banyak diadakan pesta air di sini, menurut Kand Dudi.

Malam itu kami berbuka di BR. Black Romantik di Jalan Gelap Nyawang. Tempat makan rutin kami semasa 2 bulan kami di ITB 2 tahun lepas. Tempat yang dulu, pada awalnya kami amat takut untuk cuba kerana keadaannya yang sangat warong. Tapi makanannya memang sedap-sedap. Rindu makanannya! Rindu saat makan sambil diiringi alunan petikan gitar dan gesekan biola pengamin yang silih berganti! Hehe.

BR

Malam itu kami berjalan kaki sekitar Dago. Bersahur di Roti Bakar Madtari, satu lagi specialty Bandung. Makanan khas Bandung. Roti bakar yang dihidangkan dengan pelbagai cara. Ada dengan keju. Ada dengan coklat. Ada dengan pisang. Ada dengan macam-macam lagi.

Hari ketiga kami ke kawasan pergunungan lagi. Bandung, sebahagian orang mengatakan di'jaga' oleh 2 penjaga; Gunung Tangkuban Perahu di utara dan Ciwidey di Selatan. Memang kota Bandung ini diibaratkan seperti sebuah kota yang terletak di dasar sebuah mangkuk seperti lembah, kelilingnya adalah dinding mangkuk, di kelilingi kawasan pergunungan tinggi. Pada sebelah pagi kami ke selatan, ke Ciwidey.

2 tahun dulu, semasa kami belajar di ITB, Cordova dan rakan-rakannya telahpun membawa kami ke Ciwidey, tapi malang bagi kami di pertengahan jalan mendaki ke Kawah Putih itu, salah satu kereta kami mengalami kemalangan serius tapi alhamdulillah tiada yang cedera fizikal, cuma trauma bagi Wika, pemandu kereta malang itu, dan juga penumpang-penumpang wanitanya. Kami pulang semula ke kota Bandung setelah kemalangan itu tanpa ke Kawah Putih. Cordova dan rakan-rakannya itu aku kenal semasa mereka menyertai lawatan ke universiti kami anjuran fakultinya di ITB pada Januari 2007.

Kereta yang dipandu Wika terjerumus ke pinggir jalan lantas tersangkut di atas batu besar. Harga memperbaiki keretanya selepas itu: +/- RM 2,000. Harga pengalaman sewaktu itu: tidak ternilai.

Tapi alhamdulillah, kali ini kami berjaya jua sampai ke Kawah Putih. Hehe. Kalau ke Kawah Putih lagi, pasti aku akan teringat Cordova dan kawan-kawannya itu. Saja nak tampal di sini kata-kata Wika di Facebook aku bila dia tahu akhirnya aku ke Ciwidey juga baru-baru ini, 'haha...ke ciwidey ya..bad experience :( kalo ingat itu sekarang jadi ingin ketawa haha...' dan bila aku berpesan kalau ke Ciwidey lagi, ajaklah aku, katanya 'ya, asal bukan aku yang nyetir (memandu)...haha... eh kalo ke bandung lagi kasi tahu dong'. Hehe. Pasti dia tak akan mahu memandu lagi ke Ciwidey. Wika kini telahpun berkahwin. Hehe. Cordova? Tak tahu cerita. Entah-entah dah kahwin juga. Eh, dah jauh menyimpang cerita nih...

Kawah Putih. Kalau di Tangkuban Perahu, bak kata Syazzni, sangat ramai orang. Ditambah pula dengan penjual-penjual cendermata yang agak anoying mengejar dan memaksa kita membelinya. Tapi di Kawah Putih, orang tak ramai, tiada langsung penjual dan penjaja. Yang ada cuma sebuah kawah gunung berapi, seperti sebuah tasik, tasik sulfur berwarna putih kebiru-hijauan. Di Tangkuban Perahu, kita cuma boleh melihat kawahnya dari suatu jarak, tetapi di Kawah Putih, kita sampai boleh merasa, mencicah, memercik cecair sulfur di kawahnya.



Sulfur bagus untuk kesihatan kulit. Tapi kalau banyak, sulfur boleh membahayakan kesihatan. Di Kawah Putih ini pernah menjadi tempat untuk mengilang barangan kesihatan kulit semasa pendudukan Belanda dan Jepun di Bandung. Sulfur juga katanya berupaya untuk menghilangkan warna fabrik?? Betul, tak betul, kena cubalah sendiri di Kawah Putih ini. Caranya; celupkan kaki anda bersama kasut dan seluar berwarna anda ke dalam tasik itu. Keputusannya; lihatlah dalam masa seminggu lagi. Hehe.

Lumpur sulfur.

Dari Kawah Putih, kami bergerak menuju ke utara pulang ke Bandung. Dalam perjalanan, kami singgah lagi di sebuah tasik, Situ Petengan namanya. Terdapat sebuah lagenda di sebalik nama tasik ini;

'Situ Patengan; Berasal dari bahasa Sunda bermaksud 'Pencarian' (Situ = tasik, patengan = pencarian). Mengisahkan cinta Putra Prabu, kiSantang dengan Putri Titisan Dewi Rengganis. Setelah sekian lama berpisah, mereka bertemu juga di sebuah tempat. Dewi Rengganis pun meminta kiSantang membina sebuah tasik dan sebuah perahu untuk berlayar bersama. Perahu inilah kini telah menjadi pulau berbentuk hati di tasik ini, Pulau Asmara. Menurut lagenda, sesiapa yang mengelilingi Pulau Asmara ini, pasti akan menemui cinta abadi, sama seperti cinta Dewi Rengganis dan Putra Prabu.'

- Dipetik dan diterjemah dari batu asas pelancongan di Situ Patengan.

Memang banyak bot dan sampan disediakan di tasik ini. Khas untuk sesiapa yang nak mencari cinta. Hehe. Buat yang nak menikmati alam pun boleh. Cantik tempatnya. Sejuk. Luas mata memandang. Tasik luas, dan tiba-tiba ada sebuah pulau kecil comel berbentuk hati (kalau dilihat dari udara) di tengah-tengah tasik. Aku berseloroh 'Kalau macam tu, bapak yang tukang bawak bot dengan sampan tu hari-hari la jumpa cinta abadi, dah dia hari-hari bawa orang keliling Pulau Asmara tu,' Hehe. Jangan keliling pulau tu sebab nak cari cinta ya, keliling pulau itu sebab nak tengok alam aja. Tapi malangnya kami tak sempat nak bersampan di situ. Kami solat di situ, dan terus kembali menaiki kereta sambil melarikan diri dari ibu-ibu yang menjual dan menjaja strawberi segar dari ladang. Hehe.

Sebagai makluman, untuk memasuki Kawah Putih dan Situ Patengan ini, kita perlu membayar yuran masuk, untuk setiap seorang dan setiap kenderaan yang dibawa masuk. Tak ingat secara tepat harganya, tetapi tidak lebih dari RM 5 untuk setiap seorang dan sekitar RM 5 untuk setiap kenderaan.

Kami singgah berhenti di tepi jalan di kawasan pergunungan itu kerana tidak tahan melihat keindahan ladang teh yang seluas mata memandang. Indah! Dingin! Allahu Akbar.
Destinasi seterusnya adalah ke Lembang di utara Bandung. 3 jam perjalanan dari Ciwidey. Singgah sebentar di Salman ITB, Adan dan Mbak Dhani ingin menyertai ke rumah Pak Moedji. Kami melalui Jalan Sukajadi dan terus ke utara. Dalam perjalanan melihat ke kiri dan ke kanan sambil-sambil sekali sekala mencuri dengar sembang antara Mbak Dhani, Loli, Nadiah dan Syazzni tentang menutup aurat di Malaysia dan Indonesia. Aku dan Juan hanya diam dan mendengar. Hehe. Perbincangan dan perbandingan antara dua budaya yang sangat menarik. Bagus.

Tiba di Bosscha Observatorium Centre, Pak dan Bu Moedji belum ada di rumah. Melawat sekitar pusat mencerap ini. Alhamdulillah, sudah 4 kali aku ke sini. Kali pertama Disember 2006, dua kali dalam tahun 2007. Kali ini tahun 2009. Alhamdulillah, masih rasa senang dan seronok berada di sini. Rasa macam nak ada rumah dan tinggal terus di sini. Cuaca yang dingin, suasana yang aman, pemandangan yang cantik. Subhanallah.
Kami di Bosscha.

Pak Moedji dan Bu Moedji pulang hampir waktu berbuka puasa. Bergotong royong menyiapkan menyediakan makanan berbuka dengan Bu Moedji. Pak Moedji, seperti sebelum-sebelum ini apabila bertemu dengannya, pasti akan berbicara tentang aliran politik semasa di Malaysia sambil sekali sekala membandingkan dengan negaranya dan bercerita tentang kisahnya yang pernah sama-sama membesar dengan tokoh politik Malaysia. Kami berbuka dengan juadah Sunda malam itu - nasi timbel. Seakan nasi ambeng bagi orang Jawa, nasi timbel dihidangkan dengan ayam madu, tahu, tempe, sayur asem, lalab (ulaman). Sedap gile!

'Pak, mao liat teropong pak...' Mbak Dhani malu-malu meminta Pak Moedji membawa kami melawat sekitar pusat mencerap ini. Rupanya Mbak Dhani dan Loli juga belum pernah melawat sekitar pusat ini. Alhamdulillah, aku pun masih seronok nak jakun bila Pak Moedji tanpa jemu-jemu menjelaskan tentang teropong-teropong yang ada dan tentang bulan dan bintang. 'Supervisor saya semasa di Jepang sudah suruh saya berhenti membikin thesis, karena bilangnya, kalao tidak berhenti, emang tidak akan berakhir untuk mencari ilmu astronomi ini,' kata Pak Moedji yang pernah membuat sebuah thesis yang memakan masa bertahun-tahun untuk disiapkan; hanya untuk mengkaji sebutir bintang.

Pak Moedji dan salah satu teropongnya yang terletak di bawah kubah seperti gambar di atas. Ini teropongnya yang terbesar dari segi saiz fizikalnya.


'Wiluejeng enjing deui, Bu!' begitu yakin aku berkata sedemikian pada Ibu. Seingat aku waktu itu, Pak Dadang di pejabat aku pernah mengajar aku untuk mengucapkan 'Jumpa lagi' dalam bahasa Sunda ada perkataan deui deui macam tu. Tapi aku tak ingat ayat seluruhnya, lalu dengan yakin aku ber wiluejeng enjing deui dengan Ibu Moedji. Tercengang Bu Moedji mendengar aku. 'Kok wiluejeng enjing?'. Semua orang yang faham, gelakkan aku masa tu. 'Tependak deui' yang betulnya. Wiluejeng enjing = Selamat Pagi. Baru aku ingat yang Pak Dadang ajar aku 'Tependak deui enjing' = Jumpa lagi esok pagi. Aaaa. Malu. Malu. Ibu ada ajar aku malam itu, 'jumpa lagi suatu saat akan datang'. Tapi skarang aku dah lupa apa bahasa Sundanya. Hisk. Sejak tu, apa-apa bahasa aku belajar pun, aku akan teruss tulis di mana-mana agar tidak aku lupa.

Kami bersama Pak dan Bu Moedji. Rasa macam nak tiap-tiap tahun nak datang sini. Kalau dapat tiap-tiap bulan lagi best.

Malam itu, setelah pulang dari Lembang, kami sahur nasi goreng mawut. Tak habis. Banyak sangat.

Hari keempat adalah hari untuk shopping. Kami ke FOS di Jalan Dago melihat-lihat barangan. Dan berjaya menemukan dengan Raja Farah dan Mila AF yang sedang membeli belah di situ (Hehe. Mereka sedang ada show bersama Astro di Bandung). Kecil comel sungguh Mila. Hehe. Sebelah tengahari kami ke Pasar Baru di mana pemergian itu adalah yang ketiga buat Juan dan Nadiah sepanjang baru 4 hari di Bandung. Secara total mereka telah menghabiskan RM 1,500 di Pasar Baru. Syurga membeli-belah. Misi membeli belah di sini: mukena (telekung), baju batik Jawab baju koko (baju muslim, macam baju melayu, tapi cantik ada corak-corak di bahagian dada), kain batik, kain pasang, dan sangat banyak lagilah yang boleh dijadikan misi membeli belah di sini. Pastikan anda mempunyai tujuan membeli apa sebelum ke sini, jika tidak, akan habislah beratus-ratus, malah beribu ringgit anda di Pasar Baru.

Sampai ada di antara kami yang terpaksa berbuka di dalam angkot dalam perjalanan pulang ke ITB dari Pasar Baru. Pasar Baru tutup pukul 5 petang, dan sehingga pukul 5 petanglah kami masih di dalam Pasar Baru sejak pukul 12 tengahari. Itupun belum puas bagi kami. Best melampau shopping kat sini. Dah tak masuk akal dah dia punya best. Geleng kepala.

Malam itu, kami berbuka besar di Waroeng Bebek Borromeus. Borromeus adalah nama Rumah Sakit (hospital) berhampiran ITB. Waroeng Bebek ini terletak betul-betul depan hospital itu. Bebek adalah itik. Specialty di sini; nasi itik, yang sangat sukar ditemui dijual oleh peniaga muslim di Malaysia. Sangat warong. InshaAllah selamat untuk dimakan, yang penting, bagi yang kurang berani (kerana khuatir dengan kebersihan), ambillah suntikan typhoid sebelum ke Indonesia. Sekadar untuk pengetahuan, Mat Saleh dari Eropah yang melawat Malaysia pun ambil suntikan typhoid itu. Maknanya, di negara kita pun tak bersih, kita rasa OK sebab kita dah immune dengan keadaan sekeliling kita. Sama saja di Indonesia, inshaAllah selamat, yang penting kita jaga diet kita - cukup vitamin, cukup immuniti.

Nasi itik. Sangat sedap. Daging itik lembut, teksturnya berbeza dari ayam. Perlu pandai untuk menyediakan juadahnya, jika tidak, bau kurang menyenangkan dari daging itik masih kekal walau setelah dimasak. 'Kapan mao buka cabang di Malaysia?' seloroh aku pada Kang Ali, pemilik warong bebek itu. 'Tak kuasa euh,' selorohnya kembali. Hehe. Terbaik ah. Sedap! Harga = RP 11 ribu. Tak sampai RM 4.

Bersama Kang Ali, pemilik Waroeng Bebek Borromeus di hadapan warongnya.

Setelah selesai makan, kami menaiki angkot ke Kedai Kek dan Kue Amanda untuk membeli brownies Bandung. Tapi dah tutup. Baru sahaja tutup, kata Pak Guard di situ. Pukul 9 malam waktu itu. Kami terus jalan kaki menuju ke Simpang Dago di Dago Atas tidak jauh dari Amanda dan menaiki angkot menuju ke Cihampelas, bersiar-siar mengambil angin malam di situ.

Malam itu kami pulang, dan aku dan Adan menghantar Juan dan Nadiah ke Mass yang mereka tinggal berhampiran ITB. Mass itu kepunyaan himpunan mahasiswa di ITB. Sewanya adalah sekitar Rp. 175 ribu satu malam. Juan dan Nadiah sewa di situ, segan nak tinggal di asrama, katanya, yelah kan, orang dah berkahwin. Hehe. Juan dan Nadiah pulang ke Malaysia Subuh keesokannya.

Kami menghadiri Farewell selepas solat Subuh di Masjid Salman bersama anak-anak asrama sambil berkongsi pengalaman singkat selama 4 hari sudah di Bandung. Setelah itu kami langsung ke rumah Ibu Tatik, seorang lagi pembina asrama (bersama Pak Moedji) yang letaknya di Kebun Bibit, melalui Taman Pelisiran dengan berjalan kaki dari Asrama Salman. Hampir menitis air mata Ibu Tatik seronok melihat kehadiran anak-anak Malaysianya ke rumahnya itu. Ibu Tatik kini tinggal sendirian, bersama anak-anak kos (rumah/bilik sewa) miliknya. Anak dan cucunya kini berada di perantauan. Hanya anak-anak asrama menjadi pengubat rindu. Ibu Tatik juga adalah pembangun Lembaga Muslimah Salman, sebuah organisasi 'mencari jodoh yang baik' untuk ahli-ahlinya. Hehe. Harus ada 'Spirit of getting married' kata Bu Tatik. Iya Bu! Saya sahut saranan Ibu itu! Mohon doanya Ibu ya!

'Spirit of getting married'

Pulang dari rumah Ibu Tatik, masing-masing punyai misi hari terakhir masing-masing. Ada yang ke Pasar Baru lagi. Ada yang ke Cihampelas lagi. Aku memilih untuk ke Amanda dan ke Cihamelas sebentar, lalu mengambil masa untuk bersendiri di kampus ITB melihat suasana tempat belajar yang sangat aku suka. Pusing satu kampus aku hari itu sehingga sangat letih macam nak berbuka. Pulang ke asrama, dan berkemas, siap kirim kepada Petet untuk membeli extra beg. Dah penuh, tak muat. Huhu.

Petang itu selepas solat Zuhur kami ke Bandara (Bandar Udara) bersama Adan yang menghantar kami. Adan ajar, 'Mugi-mugi saget kepanggeh meleh. Titip salam kagem rencang-rencang teng mriko. Matur nuwun dumateng pitulunganipun!' Bahasa Jawa halus. Semoga bertemu lagi. Sampaikan salam kepada kawan-kawan. Terima kasih atas pertolongannya!

Terima kasih semua di Bandung. Datanglah ke Malaysia pula. Doakan kami akan ke sana lagi. Rasa macam nak buat acara tahunan ke Bandung. Silaturrahim sesama kita. Malaysia-Indonesia Mahabbah Intergration. Jom semua!