Cari Blog Ini

Ahad, Januari 10, 2010

Kerja dan Kehidupan Seharian

Bulan Januari 2010 ini adalah bulan kesepuluh aku dalam bidang kerjaya. 7 bulan setengah di SMEA, dan memasuki 2 bulan setengah di PRSB. Dunia kerjaya tak seindah seperti yang aku impi-impikan semasa aku masih di universiti. Aku saat itu hanya impikan saat-saat indah menerima gaji. Saat-saat indah menimba pengalaman dan ilmu. Aku masa itu belum lagi memikirkan jerit perih menyelesaikan masalah. Belum memikirkan bebanan kerja yang sangat banyak seperti memegang tiga projek sekali gus. Belum memikirkan keadaan mendesak di sana sini yang mahu kerja disiapkan segera seperti 'Siapkan kerja sekarang!'. Aduh. Banyak betul cabarannya.

Tapi, itulah kehidupan kerjaya. Dua syarikat aku telah dan sedang lalui. Secara kasarnya, hidup yang dilalui sama sahaja. Pagi ke pejabat seawal antara jam 7 - 7.30 pagi. Menjalani kerja di pejabat sehingga jam 6 ataupun 7 petang. Pulang ke rumah hari dah pun gelap. Bersihkan diri, solat, makan, jam dah pun pukul 10 malam, dah tiba masa untuk tidur. Begitulah sehari-hari selama 5 hari seminggu.

Sabtu, biasanya diisi dengan tidur sehingga tengahari, kononnya balas dendam tidur kurang 5 hari bekerja. Petang, aktiviti membasuh baju, mengemas apa yang patut. Malam, berehat, menonton movie kalau ada. Ahad, keluar ke mana yang dirasa patut, melihat alam dan orang, sekali dalam seminggu itulah masanya.

Nah, itulah kehidupan aku seharian sepanjang 10 bulan ini. Sangat orang kata, 'tak ada live', kan? Itu sebab aku kadang-kadang akan ajak teman-temanku untuk makan bersama, berborak apa-apa, bagi melengkapkan tanggungjawab sosial, sekaligus menghilangkan rasa bosan minggu itu. Teman AeroAwesomeness, selalunya malam hari kerja seperi Rabu. Teman serumah dulu di Shah Alam biasanya hujung minggu. Kini nak mula ajak teman-teman UIA di Bangi-Kajang pula.

Itu tanggungjawab sosial. Bagaimana dengan tanggungjawab untuk melihat alam dan berfikir? Bagaimana dengan tanggungjawab untuk memenuhi ilmu selain ilmu kerjaya di dalam dada? Aku rasa, 2 minggu sekali aku perlu lapangkan minda, melihat alam, melihat hijau. Dan sekali sekala, perlu mencari ilmu, yang dulu selalu aku cari semasa di universiti. Menunggu jadual kuliah-kuliah di surau-surau Bangi dari Juan dan Nadiah masih belum kunjung tiba. Bila lagi nak mula ke kuliah itu? Ayuh kita mulakan!

Sekali sekala perlu tengok alam, tengok sekeliling. Dapat tenangkan hati. Dapat lapangkan minda. Dapat pahala.


Tiada ulasan: