Cari Blog Ini

Rabu, April 07, 2010

Setahun Bekerja

Bahagian 1

1 April lalu genap setahun aku bekerja. Walaupun singkat, pelbagai kenangan telah aku lalui. Bak kata Chief (gelaran yang diberi kepada penyelia pejabat aku di SMEA, En Akram) 'You are all more of family to me than my own family. I spend 2/3 of my day in the office with you guys,'. Memang betul. Dari pagi hingga ke petang, dan banyak juga hingga ke malam kita bekerja di pejabat. Itukah kehidupan kita yang dicari-cari sejak dulu? Yang masa di universiti dulu kita bertungkus-lumus belajar? Tak tahu?

Apa-apa pun, saja aku nak sorotkan apa yang telah aku lalui sepanjang setahun bekerja ini. Jom.

April 2009.

Hari pertama bekerja. Takut. Tak dapat nak bayangkan apa yang akan aku lalui selepas bergelar 'jurutera' ini. Memang itu cita-cita aku sejak darjah 1 - jurutera. Tapi aku memang tidak ada banyak idea akan apa yang bakal aku lakukan sebagai Jurutera Perancang Proses di SMEA, kilang memproses komponen kapal terbang di Sungai Buloh.

Sebelum hari melapor diri itu, aku tercari-cari, oh, di mana patut aku menginap sepanjang aku bekerja di Sungai Buloh nanti? Tercari-cari aku bilik kosong di Damansara Damai. Ada. Murah. Tapi takut jugak. Orang tak kenal. Tempat tak biasa. Macam mana nih?

Mujur ada kawan-kawan seperjuangan di UIA dulu duduk serumah di Shah Alam, kira-kira 30 km dari SMEA. Kenal lama. 30km pun 30 km lah, detik hati aku. Terima kasih warga rumah Taman Bukit Saga yang telah memberi tumpang aku selama 6 bulan.

Berbalik kisah di pejabat. Alhamdulillah, aku telah ditempatkan di Process Planning Office (PPO) di mana semua pekerjanya sangat-sangat hangat dan peramah. Tak perlu lama aku untuk menyesuaikan diri di pejabat itu. Aku berasa selesa.

Hari ketiga bekerja, aku ke Bangi - menghadiri temuduga di PRSB. Tempat aku bekerja sekarang. Masa itu, aku sendiri tidak tahu bagaimana peluang aku untuk bekerja di PRSB.

Minggu keempat bulan April aku sekali lagi menghadiri temuduga kerja (kita dah dapat kerja baru orang lain nak interview kita kan?). Kali ini di ADC. Aircraft Design Centre. Dari websitenya aku faham yang ADC ini menawarkan perkhidmatan analisis struktur bagi ubahsuai pada pesawat. Aku meminta bantuan Lemek yang berkerja di CAE (Computer Aided Engineering) Proton yang sememangnya bidang tugas Lemek. Lemek dengan penuh minat mengajar aku, malah memberi pinjam aku buku teksnya pada malam sebelum aku temuduga yang entah bila sempat ke tak aku nak membacanya.

Hari temuduga, adalah hari bersejarah, kerana temuduga itu adalah yang paling ringkas dan pantas pernah aku lalui - sepuluh minit. 10 minit. Temuduga bersama CEO ADC. Aku rasa bila dia melihat aku telah pun bekerja di SMEA (yang merupakan sister company dengan ADC), CEO itu terus tidak berminat nak mengambil aku. Agaknya lah. Selepas memperkenalkan diri masing-masing, aku ditanya mengapa aku berminat nak bekerja di ADC, temuduga diakhiri dengan soalan dibuka kepada aku dan aku pun setelah bertanya sedikit sebanyak, dah tak tahu nak tanya apa lagi. 10 minit. Itu sahaja.

Hujung bulan April, tatkala aku masih terkial-kial mencari rentak menyiapkan tugas-tugas RFQ (Request For Quotation) aku, aku diserang demam teruk. Demam viral, kata doktor. Aku sangat risau, gundah gulana. Yalah, masa itu sedang hangat isu penularan wabak H1N1. Siapa tak risau kalau masa tu kena demam teruk? Aku disuspek denggi. 3 hari aku MC, terlantar di rumah Bukit Saga. Nasib baik jugak ada Astro, tak la kebosanan. Alhamdulillah, setelah diperiksa darah aku, demam itu hanya demam viral biasa.

Mei 2009

Gaji pertama. Seronok juga ya dapat duit sendiri. Apatah lagi bila tengok di ATM duit anda adalah sebanyak 4 digit. Wah!Alhamdulillah.

Aku semakin mula merasa seperti berada di dalam keluarga di PPO. Walaupun kadang-kadang aku agak bosan dengan kerja aku menyiapkan RFQ, tapi setiap hari aku tidak sabar untuk ke pejabat kerana dapat bersama dengan rakan-rakan sekerjaku. Macam masa di sekolah dulu, seronok nak ke sekolah sebab boleh main-main. Macam itulah rasanya. Alhamdulillah.

Jun 2009

Dipanggil temuduga sekali lagi. SCOMI, propulsion engineer. Tempatnya adalah di ibu pejabat SCOMI di Bangunan Shell di Damansara Utama. Aku memang tak reti nak ke sana. Sesat teruk. Aku akhirnya lambat 40 minit tiba. Malu. Penemuduga dari HR SCOMI dah pun meninggalkan bilik temuduga. Hanya juruteranya sahaja yang menunggu aku. Soalan-soalan sangat teknikal. Nyata aku perlu memerah otak aku untuk mengingatkan kembali asas-asas elektrik, statik dan dinamik ketika tahun pertama di universiti dulu. Alhamdulillah jurutera itu berpuas hati dengan aku. Tapi nyata first impression aku - datang lambat; tidak akan memberi impresi yang sempurna. Tiada jawapan sehingga sekarang - boleh dianggap gagal.

Aku dah masuk bulan ketiga bekerja. Tapi aku masih merasa ketinggalan. Aku takut. Takut tak dapat menepati sasaran bos aku. Kadang-kadang aku rasa, betulkah Puan Zuraida memilih aku? Sesuaikah aku bekerja di kilang pembuatan ini yang mementingkan membuat keputusan pantas?

Walaupun aku belum lagi setakat ini turun ke line production, tapi aku dah terasa bahangnya bila kadang-kadang ada masa aku mengikut senior-senior ke meeting-meeting, memeriksa komponen dan sebagainya. Dimarah, dituduh, ditengking, disuruh, macam-macam. Ah, aku harus cepat bersedia!

Julai 2009

Pertama kali keluar bersama rakan sekerja hujung minggu - menonton Man U menentang Malaysia di Bukit Jalil. Seronok. Macam ni rupanya keluar dengan officemate, detik hati ku.

Kadang-kadang waktu rehat tengahari, makan juga bersama di luar. Tapi biasanya aku memilih untuk makan pagi di pejabat. Itu tradisi PPO, terutamanya bagi kakak-kakak kerani. Pukul 9.45 pagi - 10.00 pagi adalah waktu rehat SMEA. Biasanya itu waktu yang ditunggu-tunggu setiap hari. Jam 9.20 pagi hati dah mula malas nak buat kerja. 9.30 pagi kepala mula memanjang-manjang menjenguk workstation orang lain sambil mengangkat kepala tanda bertanya 'Gi kantin tak?'.

Tapau dan makan berjemaah di dalam PPO. Biasanya tempat Syakilla. Kadang-kadang tempat Kak Ida. Tarik kerusi buruk beramai-ramai, kadang-kadang tak muat nak duduk, duduk atas meja. Ada yang bawa bekal sendiri. Ada yang beli di luar semasa datang kerja tadi. Aku pun kadang-kadang bawa bekal - roti telur goreng di rumah Bukit Saga. Makan sambil bergosip-umpat sana sini. Selalunya Arni dengan Ita tak habis. Hafzil dan aku suka habiskan. Aimi pula jarang sekali terlepas bawa bekal ibunya dari rumah, setiap hari makanan menarik. Wah. Mat Kentang, mereka panggil aku sebab aku suka ambil kentang bekal Aimi. Sedap gile. Kadang-kadang sampai ke 10.30 pagi hingga boss-boss lain datang lalu menjenguk, baru nak berhenti.

Itulah makanan kami hingga ke petang. Tengahari kami rehat. Tidur. Melayari internet. Duduk bersandar.

Jam 1.45, maka mulalah kembali kerja menyiapkan RFQ (masih lagi, saat itu. Belum ke bidang tugas yang lain bagi aku sehingga ke petang.

Ogos 2009

5S. Selalu melihat poster-poster 5s di pejabat aku. Aku cuma tau yang 5S bertujuan memastikan perjalanan kerja yang lancar dengan mengekalkan tempat kerja yang bersih. Saat ini, pengurusan SMEA sedang bertungkus-lumus cuba memberi wajah baru kepada SMEA. Mereka bermula dengan 5S.

Aku antara angkatan awal yang dipanggil untuk mengikuti kursus Toyota Production System. Kursus yang menyedarkan betapa pentingnya mengamalkan 5S dalam menjana keuntungan syarikat. Aku masih ingat contoh mudah yang diberikan; seorang pekerja tertumpah beberapa titis minyak pelincir di atas lantai. Tiada siapa yang membersihkannya. Pekerja lain datang dan memijak minyak itu. Kotoran minyak tersebar. Datang pekerja lain pijak. Makin tersebar. Datang pekerja lain pijak, tergelincir jatuh. Akibat: Orang cedera; ambil masa nak membersihkan. Kan bagus kalau lepas tumpah terus bersihkan?

Contoh lain; Aku nak ke meeting dengan Business Development membincangkan RFQ Airbus. Aku perlu membawa dokumen yang diterima dari Airbus. Ada 5 fail di depan aku. Tiada label. Aku terpaksa mencari satu persatu. Aku menghabiskan masa setengah jam mencari tak jumpa. Rupanya dokumen itu pada orang lain. Akibat: membuang masa setengah jam; perjalanan dokumen tak diketahui. Kan bagus kalau ada label, dan borang yang membolehkan kite mengetahui ke mana dokumen itu pergi?

Bulan Ogos juga aku menempuh Ramadhan pertama kali sebagai pekerja. Seronok juga. Balik awal setengah jam (di atas kertas. Hakikatnya balik macam biasa juga. Ya lah, awal lah sedikit dalam 10 minit). Berbuka beramai-ramai di rumah Bukit Saga, teringat berbuka beramai-ramai di universiti dulu. Mana lagi beli makanan kalau tak di bazaar Ramadhan. Sana sini bazaar kami cuba di sekitar Shah Alam. Kadang-kadang masak juga di dapur. Sedap ke? Sedap tak sedap, yang pasti habis juga. Hehe.

Bahagian 1 berakhir di sini...



Tiada ulasan: