Cari Blog Ini

Khamis, April 12, 2012

Ketinggalan?

Tahun 2003 dulu, masa mula-mula aku menulis blog, aku berani mengatakan aku antara ratusan yang pertama menulis blog Melayu di alam maya. Ketika itu, tidak banyak blog yang aktif memekik tentang politik Malaysia. Tidak banyak blog tentang artis. Tidak banyak juga blog tentang perkongsian ilmu agama. Ketika itu, banyak blog tentang peribadi. Cerita tentang pengalaman hidup. Berkongsi kepada pembaca tentang pendapat peribadi.

Tetapi sekarang, ada beratus ribu blog Melayu. Yang popular, tentunya tentang politik dan hiburan. Kebanyakan blog peribadi juga lebih kepada penceritaan 'review' sesuatu barang (tak dinafikan ada beberapa blog juga yang telah membantu aku untuk membeli beberapa barang, antaranya 'stroller' Safiyyah - Halford Fliplite yang aku dapati dari blog-blog itu, tidak semua kedai yang menawarkan potongan 20%. Tak lupa juga, banyak mengetahui tentang selok belok membeli rumah dari kisah pengalaman para penulis blog).

Selebihnya, kini semakin menginjak popular, adalah blog-blog keagamaan, terutamanya blog milik 'ustaz selebriti' seperti Sham Kamikaze dan Dr Asri. Bagi aku, ini semua merupakan perkembangan sihat untuk masyrakat kita. Kini kita boleh lihat, orang yang tak bertudung pun sudah tidak malu untuk bersama-sama memeriahkan majlis agama.

Kalau semasa kecil dahulu, aku cuma tahu majlis agama ini adalah majlis maulidur Rasul, majlis maal Hijrah, majlis baca Yassin tiap-tiap malam Jumaat dan sebagainya. Aku tak tahu apa itu kuliah agama, sehingga aku melanjutkan pelajaranku di Matrikulasi UIAM. Di sana, ada satu nama yang selalu aku dengar - Ustaz Maszlee, yang berkuliah tentang Hadith 40. Ya, aku pernah belajar tentang Hadith 40 di sekolah agama Johor. Jadi ada apa dengan kuliah ini pula? Pergi kuliah ini untuk ambil exam ke? Aku tak faham.

Tapi alhamdulillah, bermula kali pertama aku ke kuliah mingguan itu, aku terasa tak sabar untuk ke kuliah seterusnya, dan seterusnya. Sehingga aku melanjutkan pelajaran ke Main Campus di Gombak, aku teruskan ke kuliah Hadith 40 Ustaz Maszlee yang aktif tentang politik semasa tempatan dan global.

Terbit pula nama Brother Norazman yang berkuliah tentang Tazkiyyatu an-Nafsu. Belajar tentant muhasabah diri. Berkongsi pengalamannya yang aktif ber'social responsibility'. Pernah ke Acheh pasca tsunami dan ke Palestin bersama Marvi Marmara.

Seperti rezeki mencurah-curah, terima kasih kepada Allah yang mengurniakan teman-teman yang boleh aku kata 'soleh', aku rasa jarang sekali aku tertinggal mengikuti kuliah bulanan Riyadhu as-Solihin oleh Ustaz Asri (kini Dr. Asri). Cara aku melihat sesuatu isu di dalam hukum hakam kini banyak dipengaruhi oleh kuliah-kuliahnya.

Tidak lupa juga kuliah tentang ibrah (pengajaran) dari kisah al-Quran oleh Ustaz Hasrizal. Siri-siri ibrah dari buku 'Kenapa saya memeluk Islam' oleh Fathi Yakan dan ibrah kisah dari surah Yusuf, surah al-Kahf yang berlanjutan bertahun-tahun lamanya tidak pernah memalit rasa jemu aku.

Itu ketika aku masih belajar di UIAM. Kini, cabaran semakin besar. Aku sudah tak ingat bila kali terakhir aku menghadiri mana-mana kuliah agama. Adakah aku menjadikan kesibukan kerjaku sebagai alasan? Adakah aku menjadikan kesibukan sebagai ketua keluargaku sebagai alasan? Sibuk sangatkah menjadi ketua keluarga?

Oh. Aku sudah tidak ingat bila kali terakhir aku duduk bersama isteriku seusai solat berjemaah dan membaca al-Quran dan tafsirnya, membaca hadith-hadith dari Riyadhu as-Sholihin. Sejak kehadiran Safiyyah, rasanya tak pernah aku lakukan sedemikian.

Oh. Kini nak salahkan Safiyyah pula?

Tidak.

Bak kata Prof. Dr. Muhaya, jangan cari kesalahan orang lain. Jangan salahkan keadaan. Salahkan diri sendiri. Baru kita boleh memperbaiki diri, kerana kita salahkan yang lain, kita sukar untuk memperbaiki yang lain itu. Lebih mudah untuk kita perbaiki diri.

Kalau aku rasa aku malas, maka aku harus rajinkan diri sendiri, tinggalkan perkara yang tak penting. Kalau masa menghalang aku, maka aku harus sediakan masa untuknya, pastikan aku tak membuang masa untuk perkara yang tak penting. Hatta kalau aku rasa keluarga aku sendiri yang menghalang, maka bukan ke kuliah sahaja yang boleh aku buat. Kini sudah banyak jualan CD dan VCD agama. Youtube. Search sahaja. Aku boleh. Jika Safiyyah merengek minta dibelai manja, oh, di pejabat boleh sahaja aku baca Quran. Aku boleh.

Jika ditangguh lagi, hanya satu perkataan boleh aku huraikan tentang diri aku.

Ketinggalan.