Cari Blog Ini

Selasa, Mei 27, 2014

Belajar, Tugasan, Laporan dan Peperiksaan

Di dalam pembelajaran sarjanaku kini, aku sedar bahawa perjalanan pembelajaran di kampus sebenarnya mencerminkan perjalanan kehidupan kita sebagai seorang muslim.

Bagaimana?

Kita ke kelas, untuk mendengar syarahan pensyarah kita. Orang Melayu kata 'tuntut ilmu'. Kalau kita lihat secara ringkas, kita selalu gunakan perkataan 'tuntut' apabila merujuk kepada perihal mendapatkan apa yang sepatutnya kita dapatkan. Contohnya, menuntut hadiah selepas cabutan bertuah, menuntut bela selepas diperlakukan yang tidak sepatutnya, dan sebagainya. Maka, ilmu itu adalah sesuatu yang kita sepatutnya ada.

Apabila kita sudah ke kelas mendengar syarahan, kita sudah berilmu, tiba masa kita diberi tugasan. Tugasan biasanya dikaitkan dengan usaha untuk memastikan ilmu yang kita pelajari melekat di dalam minda kita.

Setelah siap tugasan, selalunya kita diarahkan memberi laporan tentang tugasan kita kepada pensyarah. Laporan juga merupakan salah satu medium komunikasi antara pelajar dan pensyarah, bagi menjelaskan apakah kita berada di landasan yang tepat tentang sesuatu topik yang kita pelajari.

Akhir sekali, untuk menguji apakah kita benar-benar faham akan apa yang kita pelajari, kita akan menghadapi peperiksaan. Di sini, kita sebagai pelajar selalunya akan berusaha bersungguh-sungguh untuk memastikan kita lulus dengan cemerlang di dalam subjek yang kita ambil.

Kaitan.

Sebagai seorang muslim, kita sentiasa belajar untuk menjadi lebih baik pada hari esok. Kita digalakkan menuntut ilmu, malah menjadi kewajipan kita. Belajar.

Sebagai seorang muslim, kita digalakkan untuk mengamalkan ilmu yang kita pelajari. Di sinilah kita tunaikan rukun Islam, membuat perkara yang baik, mencegah perkara mungkar, dan sebagainya. Tugasan.

Setiap hari juga seorang muslim mengadakan komunikasi dengan Pencipta - Solat dan Doa. Di sinilah kita menyampaikan rasa terima kasih kepada Pencipta, juga menyatakan hasrat yang kita ingini, dan juga tempat kita mengadu. Laporan.

Di hujung kehidupan kita - samada kematian mahupun kiamat, akhirnya nanti kita akan dihisab, salah satunya bagi menilai apakah ilmu yang kita pelajari, apakah tugasan yang kita telah lakukan, sebaik manakah laporan kita, dan dari situ, kita dapat pastikan apakah kita cemerlang atau sebaliknya. Peperiksaan.

Cerminan diri.

Jika peperiksaan untuk subjek sarjana, aku sanggup tidak tidur malam bagi memastikan segala apa yang aku pelajari dapat kulangsaikan semasa menjawab kertas itu. Adakah aku sanggup melakukan lebih daripada itu untuk menghadapi peperikasaan hidup yang jauh lebih besar?

Azimin Elias
Perpustakaan Tun Seri Lanang,
UKM Bangi

Sabtu, Mei 17, 2014

Tentang Getaran dan Tun Seri Lanang

Aku kembali ke alam kampus. Ini jelas apabila aku pertama kali memasuki Perpustakaan Tun Seri Lanang, UKM. Mendaki tangga yang tinggi ke arah pintu masuk, melalui Dataran Tun Seri Lanang, aku melihat sangat ramai pelajar lelaki dan perempuan, tempatan dan antarabangsa duduk di meja-meja bulat yang ada di dataran itu. Hampir kesemuanya mata menghadap laptop masing-masing. Sedang menyiapkan tugasan kiranya. Tidak kurang juga yang ber-Facebook. Terdetik juga di fikiranku, kenapa saja mereka tidak menyiapkan tugasan mereka di dalam perpustakaan. Mungkin sahaja mereka ingin lebih bersuka ria bergedik ketawa di luar di dataran itu, dari menyiapkan tugasan mereka, agaknya, detikku.

Memasuki pintu masuk utama perpustakaan itu, memang pertama kali tiba, tapi aku tak mahu dilihat kekok. Ada ruangan menyimpan beg di tepi pintu masuk. Aku berhenti berfikir, apakah ini sebabnya mereka yang bergedik ketawa tadi tidak masuk ke dalam perpustakaan? Kerana tak boleh bawa laptop masuk? Aku kaku di depan pintu masuk mata melilau cuba mencari papan tanda arahan atau larangan sebelum masuk ke perpustakaan.

Mak Cik di kaunter resepsi sudah mula memerhatikan kekakuan aku. Aku tidak boleh dilihat kekok, lantas seperti sudah biasa, aku langsung ke bilik simpanan beg, meninggalkan beg aku, dan berhiruk pikuk mengangkat laptop, adaptor laptop, fail tugasanku, bekas alat tulisku, sehingga tak cukup tangan jadinya. Aku cuba buat muka biasa melintasi Mak Cik tadi. Tapi aku mencebik muka akhirnya, kerana ketika melintasi Mak Cik itu, ada seorang pelajar dengan pantas memintas aku, sambil membawa dan menyerahkan begnya kepada Mak Cik resepsi untuk diperiksa sebelum dibawa masuk. Oh, boleh bawa beg rupanya.

Aku menggagahkan jua kekuatan tanganku membibit pelbagai barang sambil mencari tempat sesuai yang boleh kududuk, berdekatan dengan sumber elektrik untuk laptopku. Ternyata zaman sudah berubah. Kalau tujuh tahun dulu aku ke perpustakaan di UIAM, aku tidak bawa laptop, begitu juga dengan majoriti pengunjungnya pada masa itu. Di Tun Seri Lanang, berani aku katakan, tidak sampai 10 orang pengunjungnya yang tidak menggunakan laptop dari hampir seratus orang yang sempat aku perhatikan ketika mencari tempat.

Akhirnya aku duduk di suatu sudut, di hujung aras lima, di situ sahaja yang aku boleh dapatkan plug elektrik yang kosong.

Nah, ayuh siapkan tugasan subjek getaran ini. Esok ada ujian pula. Perjalanan sudah jauh terasa, tapi juga masih jauh penghujungnya.

Indahnya pengalaman ini. Sudah lama tidak merasakan ini, menghabiskan masa di alma mater untuk belajar. Terima kasih keluarga yang berkorban kasih dan waktu buatku merasakan ini. Kucuba untuk tidak mensiakan peluang ini.

Bismillah. Ayuh ke depan!

Baru kutahu Tun Seri Lanang itu adalah bendahara kesultanan Johor suatu ketika dahulu!

Azimin Elias
Perpustakaan Tun Seri Lanang,
UKM Bangi

Ahad, Mei 11, 2014

Penantian

Benarlah orang kata, penantian itu satu penyeksaan. Apatah lagi bila kita ada sesuatu yang ingin sangat kita lakukan, tetapi tidak dapat kerana kita terpaksa menunggu sesuatu itu sebelum kita dapat melakukannya.

Aku sedang menunggu. Aku juga sedang ingin sangat untuk tidur. Tapi tidak boleh kerana aku sedang menunggu untuk pulang ke rumah, tak kiralah rumah mana.

Sudah lama aku tak merasai rasa mengantuk seperti ini pada waktu tengahari. Selalunya kalau ada pembentangan kerja yang aku perlu lakukan zaman mahasiswa dulu, terutamanya kalau pembentangan itu pagi, pasti aku akan terus pulang ke bilik asrama tengahari itu, beli makan tengahari yang sedap-sedap, lalu langsung ke tempat beradu setelah kekenyangan.

Tapi hari ini sedikit berbeza. Pembentanganku adalah yang terakhir di dalam sesi itu, dah nak masuk tengahari. Di mana pagi (atau malam tadi) aku hanya sempat melelapkan mata kurang dua jam. Di mana malam tadi aku berdiri, duduk, tertiarap di bilik tetamu BATC pulun menyiapkan tugasanku. Di mana malam tadi aku berulang kali menyesal kenapa aku harus lakukan ini semua. Semua kesukaran itu alangkah enaknya jika dapat dipadamkan jika aku dapat tidur sekarang. Kenyang memang sudah kenyang. Mengantuk? Belum lagi dapat dilayan.

Di luar tingkap di bilik di mana aku menaip ketika ini kelihatan hari semakin mendung. Membuatkan aku rasa, di dalam kehidupan ini, aku seakan tidak tahu apakah yang aku tunggu, apakah terik matahari, mahupun mendung hujan. Namun hidup tetap perlu diteruskan. Allah Maha Mengetahui apa yang terbaik buatku. Malah aku hanya berhak terima apa yang terbaik jika aku mengusahakannya.

Ayuh ke depan.

Jom lupakan penantian (dan penyeksaan) hari ini.

Azimin Elias
Kuala Lumpur

Khamis, Mei 08, 2014

2014

Jam sudah menunjukkan pukul 1.44 pagi. Aku masih lagi belum tidur di awal pagi hari bekerja. Teringat aku pada zaman bergelar mahasiswa di UIAM. Pukul satu atau dua pada pagi hari bekerja adalah biasa bagi kami mahasiswa untuk duduk berjaga. Adakala kerana menelaah pelajaran. Adakala kerana membuat kerja rumah. Adakala kerana perbincangan dengan rakan-rakan. Tapi biasanya kerana menghabiskan menonton siri-siri TV Inggeris, mahupun filem-filem terbaru yang dikongsi rakan.

Tapi kini setelah bergelar ayah, setelah hampir tiga tahun menjadi ayah, aku masih lagi belum tidur bila jam sudah menunjukkan pukul satu pagi. Safiyyah juga masih galak menyanyi pelbagai lagu kegemarannya di sisiku. Tiap kalanya aku tidak sampai hati untuk membiarkannya bergembira di awal pagi buta, lalu dilayannya Safiyyah sampai aku tertidur entah pukul berapa. Sejak bayi, Safiyyah telah tanpa sengaja dilatih untuk tidur lewat setiap malam. Padahnya aku masih lagi tidur lewat, walaupun tidak lagi bergelar mahasiswa UIAM.

Tapi (lagi) sejak tiga bulan lalu, aku kembali bergelar mahasiswa, kali ini di UTM. Walaupun kali ini sebenarnya mahasiswa separuh masa. Sepatutnya ketika ini aku sedang bertungkus-lumus menyiapkan tugasan salah satu subjek yang aku ambil semester ini di UTM. Oh, ternyata aku sudah kekok untuk melakukan itu dan ini sebagai mahasiswa.

Dahulu ada teman-teman sebilik. Teman-teman sekelas. Semuanya ada di sekeliling. Tak perlu Whatsapp. Tak perlu Facebook. Hanya perlu mengetuk pintu bilik, dan bertanyakan tentang, kau dah siap assignment tu? Kami bukan budak pandai. Bukan golongan yang teratas di dalam kelas, apatah lagi golongan yang banyak bertanya di dalam kelas. Kami cuma inginkan sekeping ijazah di hujung pengajian kami. Meniru bukan meniru bulat-bulat, tapi meniru sambil mengkaji, kerana kadang-kadang tak sempat hendak mulakan dari kosong.

Kini teman sebilikku ada. Cuma teman sebilikku kini adalah teman sehidup semati. Teman yang hanya boleh kasihankan aku bila aku termenung tak tahu apa yang aku belajar di kampus UTM bila aku ulangkaji malam-malam. Nak meniru sambil mengkaji tugasan pun, tak boleh hendak meniru siapa-siapa. Semuanya sendiri harus bikin.

Mari aku mulakan kembali tugasanku dengan kalimah Bismillah. Sambil diiringi nafas-nafas kenyenyakan teman-teman sebilikku yang sedang dibuai mimpi. Selamat tidur sayang. Ayah buat kerja dulu.

Azimin
Hill Park Homes