Taska itu tidak menarik gamaknya untuk Safiyyah. Tidaklah juga seteruk sehingga tidak sesuai untuk Safiyyah. Mungkin rindunya kepada Cikgu Hawa di Taska Sara Ceria, yang dah menjaganya sejak usia belum setahun, terbawa-bawa sehingga di taska ini.
Teringat satu ketika, masa sudah menyerahkan Safiyyah pada Cikgu Tikah di Ubudiyyah, dan aku di dalam perjalanan ke keretaku. Cikgu Tikah juga telahpun menutup sliding door taska. Terdengar kuat teriakan tangis Safiyyah. Tiba di keretaku, aku terkilas ke arah taska, Safiyyah menolak kuat sliding door ketepi, dan tangannya memegang begi grill yang terkunci menangis merayu-rayu supaya mengambilnya semula. Walaupun belum pandai sangat berkata-kata, tapi, dapat kudengar rayuannya itu.
Ayah nak pergi kerja Safiyyah. Safiyyah duduk dengan cikgu dulu, petang nanti emak ambil Safiyyah, boleh? Itu sahaja yang boleh kudetikkan di dalam hatiku sambil senyum melambai ke arah Safiyyah.
Pernah juga bila mood Safiyyah baik. Kena pula aku sedang menunggu di luar pintu taska, menunggu Cikgu Tikah menguruskan yuran bulanan yang aku hendak selesaikan. Pintu terbuka luas, nampak Safiyyah dipimpin cikgunya ke belakang, sempadan ruang makan dan dapur. Cikgunya membuka beg Safiyyah dan menyemak apakah semua barangnya cukup. Sambil Safiyyah yang menyedari dari awal aku memerhatikannya, tersipu-sipu dan malu-malu. Satu persatu barang-barang sekitarnya, kebanyakannya permainan, diangkat sambil menunjukkannya ke arahku, jauh dia di dapur dan aku di luar pintu hadapan.
Ayah tahu, Safiyyah nak tunjuk barang-barang itu yang Safiyyah selalu main. Ayah tahu, yang memang rutin, tiap-tiap kali sampai taska, di sempadan dapur itu tempat Safiyyah tunggu cikgu pastikan barang Safiyyah cukup. Dan kadang-kadang, terus mandi dengan cikgu.
Cukup teruja, walaupun muka malu, Safiyyah tunjuk apa yang Safiyyah selalu buat di taska, di sela masa yang singkat aku menunggu urusanku selesai. Lalu kuangguk dan senyum tanda faham, oh, itu ke yang selalu Safiyyah main.
Itu dulu, masa Safiyyah belum petah bercakap. Masa belum pandai luahkan isi hati dan perasaan. Sekarang Safiyyah dah pandai bercakap, petah. Banyak soalan Safiyyah tanya. Bagus. Tanyalah lagi Safiyyah. Ayah selalu doakan Safiyyah, mudah-mudahan dilindungi Allah dari segala keburukan, dan mudah-mudahan Safiyyah banyak belajar di taska dan sentiasa ceria dan gembira di taska.
P/S - Bila Ayah baca komik bawah ini satu ketika dulu, Allah bukakan hati Ayah untuk doakan Safiyyah tiap-tiap kali lepas hantar Safiyyah ke taska. Moga-moga satu hari nanti Safiyyah pula akan selalu doakan untuk kesejahteraan anak-anak Safiyyah.
P/S2 - Masa Safiyyah dah ada anak nanti pasti Safiyyah faham betapa sayangnya ibu ayah terhadap anak-anak. Ayah pun baru faham bila ada Safiyyah.
Azimin Elias
Hill Park Homes
Tiada ulasan:
Catat Ulasan