Cari Blog Ini

Jumaat, November 11, 2011

Hero

Hari ini aku sudah 57 hari bergelar bapa kepada anakku. Di sebalik kerisauan dan keresahan kami berdua suami isteri ketika membuat keputusan untuk melahirkannya secara pembedahan seminggu sebelum sepatutnya dia lahir, aku sangat bersyukur atas kelancaran proses dan atas kesempurnaan yang ada padanya. Takdir Allah telah menentukan segalanya. Alhamdulillah, semuanya selamat. Mun pun sudah tamat tempoh berpantangnya. Kami sudah pun kembali tinggal di rumah kami setelah sebulan setengah tinggal di rumah Mun.

Safiyyah, sejam selepas dilahirkan


Anakku namanya Safiyyah. Sekarang ini apa yang aku nampak, dia cuma tahu menangis, berak, kencing dan tidur. Oh, tak lupa menyusu sepanjang masa. Naik mengeluh emak dia bagi susu tak henti-henti tapi tak jemu. Sebenarnya dia juga sudah pandai fokus. Matanya mengekoriku ke mana sahaja aku pergi bilamana aku berjaya menarik perhatiannya. Kata sesetengah buku, sekarang ini dia juga sudah pandai membezakan warna primier. Sebentar lagi dia akan tahu meniarap. Percakapannya akan mula ada butirnya. Semakin pandai.

Aku pula semakin bertambah tanggungjawabku. Tanggungjawab yang mana Allah Maha Tahu yang aku mampu mengendalikannya dengan baik. Cuma terpulang kepadaku. Untuk menyahutnya dengan bersemangat. Atau sekadar melepaskan batuk di tangga.


Siapa yang akan menjaganya setelah Mun mula bekerja tak lama lagi? Bolehkah dia ditinggalkan dengan orang lain? Baju dia cukup? Sabun, losyen dia cukup? Lampin dia cukup? Susu? Susu emak dia ada. Apa lagi keperluan yang perlu ada untuk dia? Cukupkah duit aku untuk semua itu? Nak sambung belajar lagi, cukup ke duit? Nak kerja lewat malam lagi, cukup ke masa dengan dia? Sakit, demam dia bagaimana? Demam dia sedikit ke banyak? Nak hantar ke klinik ke hospital? Aku kerja di pejabat, siapa nak hantar dia ke hospital? Aku? Mainan dia pula? Mainan penting untuk perkembangan otak. Umur macam dia sudah boleh main mainan bunyi-bunyi ke? Atau mainan warna-warni? Stroller? Car seat? Botol susu? Pam susu?

Safiyyah demam kuning lama, sampai umurnya sebulan. 3, 4 hari sekali Ayah dengan Mak pergi klinik periksa tahap demam Safiyyah.

Keputusan hidupku kini bukan lagi boleh diambil sesuka hatiku. Kalau dulu, aku seorang. Aku boleh buat keputusan dengan hanya mengambil kira keadaan aku sahaja. Tapi selepas itu, hadir diri Mun di dalam hidupku. Aku harus memasukkanya dalam pertimbanganku membuat keputusan. Adakah dia setuju. Adakah dia sesuai. Kini, Safiyyah datang memberi penyeri kepada warna keh
idupanku. Walau tak perlu persetujuannya untuk mengambil keputusan, tapi aku yakin, dia punyai kuasa veto yang bakal sebahagian besar mempengaruhi apa-apa keputusan aku nanti.

Begitu besar kesan kehadiran Safiyyah kepada Ayah. Kain putih yang Safiyyah diibaratkan itu, Ayahlah yang akan mencorakkannya. Ayah harus kuat. Ayah harus tahu tanggungjawab Ayah. Iman Ayah turun naik. Sama seperti iman kebanyakan orang. Tapi Ayah harus pastikan, yang Ayah akan berusaha mencorakkan kain putih itu, menjadi Islam. Supaya Safiyyah tahu Allah itu Tuh
an yang Esa. Yang tak boleh disyirikkan. Supaya Safiyyah tahu dan amalkan perbuatan Rasul-Nya. Dan menyebarkannya kepada semua orang. Supaya Safiyyah menjadi anak yang mendoakan emak ayahnya. Anak yang berbakti kepada emak dan ayahnya.

Ayah tahu Ayah tak selamanya baik. Adakala Ayah juga t
ewas dengan nafsu dan bisikan syaitan yang direjam. Tapi Ayah akan pastikan, Ayah akan terus berusaha menjadi contoh yang baik kepada Safiyyah, menjadi hero kepada Safiyyah.

Dan Ayah akan mulakan usaha itu sekarang.

Menjadi Hero Safiyyah.




Abu Safiyyah.
68000 Ampang.