Cari Blog Ini

Ahad, Januari 10, 2010

Kerja dan Kehidupan Seharian

Bulan Januari 2010 ini adalah bulan kesepuluh aku dalam bidang kerjaya. 7 bulan setengah di SMEA, dan memasuki 2 bulan setengah di PRSB. Dunia kerjaya tak seindah seperti yang aku impi-impikan semasa aku masih di universiti. Aku saat itu hanya impikan saat-saat indah menerima gaji. Saat-saat indah menimba pengalaman dan ilmu. Aku masa itu belum lagi memikirkan jerit perih menyelesaikan masalah. Belum memikirkan bebanan kerja yang sangat banyak seperti memegang tiga projek sekali gus. Belum memikirkan keadaan mendesak di sana sini yang mahu kerja disiapkan segera seperti 'Siapkan kerja sekarang!'. Aduh. Banyak betul cabarannya.

Tapi, itulah kehidupan kerjaya. Dua syarikat aku telah dan sedang lalui. Secara kasarnya, hidup yang dilalui sama sahaja. Pagi ke pejabat seawal antara jam 7 - 7.30 pagi. Menjalani kerja di pejabat sehingga jam 6 ataupun 7 petang. Pulang ke rumah hari dah pun gelap. Bersihkan diri, solat, makan, jam dah pun pukul 10 malam, dah tiba masa untuk tidur. Begitulah sehari-hari selama 5 hari seminggu.

Sabtu, biasanya diisi dengan tidur sehingga tengahari, kononnya balas dendam tidur kurang 5 hari bekerja. Petang, aktiviti membasuh baju, mengemas apa yang patut. Malam, berehat, menonton movie kalau ada. Ahad, keluar ke mana yang dirasa patut, melihat alam dan orang, sekali dalam seminggu itulah masanya.

Nah, itulah kehidupan aku seharian sepanjang 10 bulan ini. Sangat orang kata, 'tak ada live', kan? Itu sebab aku kadang-kadang akan ajak teman-temanku untuk makan bersama, berborak apa-apa, bagi melengkapkan tanggungjawab sosial, sekaligus menghilangkan rasa bosan minggu itu. Teman AeroAwesomeness, selalunya malam hari kerja seperi Rabu. Teman serumah dulu di Shah Alam biasanya hujung minggu. Kini nak mula ajak teman-teman UIA di Bangi-Kajang pula.

Itu tanggungjawab sosial. Bagaimana dengan tanggungjawab untuk melihat alam dan berfikir? Bagaimana dengan tanggungjawab untuk memenuhi ilmu selain ilmu kerjaya di dalam dada? Aku rasa, 2 minggu sekali aku perlu lapangkan minda, melihat alam, melihat hijau. Dan sekali sekala, perlu mencari ilmu, yang dulu selalu aku cari semasa di universiti. Menunggu jadual kuliah-kuliah di surau-surau Bangi dari Juan dan Nadiah masih belum kunjung tiba. Bila lagi nak mula ke kuliah itu? Ayuh kita mulakan!

Sekali sekala perlu tengok alam, tengok sekeliling. Dapat tenangkan hati. Dapat lapangkan minda. Dapat pahala.


Sabtu, Januari 09, 2010

Masa

Semalam sekitar jam 6.30 petang aku pulang ke rumah dari pejabat melalui Jalan Sungai Ramal Dalam. Hujan renyai-renyai. Baru sebentar tadi hujan lebat dan ribut. Keadaan jalan yang sempit itu sangat sibuk. Orang ramai berpusu-pusu pulang ke rumah dari tempat kerja. Dalam kesesakan itu, aku nampak seorang budak sekolah. Kecil saja badannya. Berjalan kaki di pinggir jalan raya sambil cuba mengelak kereta-kereta yang melalui di sebelahnya, maklumlah, jalan sempit. Dengan beg sekolahnya yang kelihatan lagi besar darinya, dengan baju yang basah dek hujan renyai. Kesian budak tu, detik hati aku.

Aku teringat dulu sewaktu kecil, aku juga seperti itu. Teringat dulu di Sekolah Ismail Dua, selalu Mak akan jemput aku pulang dari sekolah. Kadang-kadang, Mak ada meeting, dan terlupa nak beritahu aku yang dia akan jemput aku lewat sedikit, aku akan jadi tak keruan. Mana Mak ni? Mak lupa nak amek ke? Aku jadi cuak. Lebih cuak bila di sekolah dah tak ada budak lagi, semua dah balik. Satu saja perkara yang aku akan lakukan masa itu - berjalan kaki. Nak ke mana? Sekolah itu jaraknya 5 km dari rumah aku. Huh. Aku akan berjalan kaki ke sekolah tempat Mak mengajar - Sekolah Kebangsaan Convent. Jaraknya? Aku pun tak pasti, sebab setakat ini aku belum pernah berjaya jalan kaki ke sekolah itu kerana dalam perjalanan, pasti akan kelihatan Proton Saga '87 milik Mak berhenti di depan aku untuk menjemput aku.

Itu adalah 16 tahun dahulu. Tak sangka dah 16 tahun berlalu. Terasa masih segar dalam ingatan. Peluh menitis di dahi berjalan tengah panas ke Sekolah Convent itu masih terasa. Kini aku dah lama tak berpeluh. Jalan kaki pun kurang. Padanlah gemuk. Geleng kepala.

Macam-macam dah yang berlaku sepanjang 16 tahun itu. Terbaru, masuk ke tahun baru 2010. 31 Disember 2008 yang lalu aku sedang berada di bilik aku di UIA. Masih terkapai-kapai nak menyiapkan FYP yang tak kunjung tiba ke penamat, ketika itu. Aku tak kisah pun pada malam tahun baru 2009 itu, seperti bagi sesetengah orang lain, mereka perlu meraikan malam itu. Sama seperti tahun baru 2010 yang lalu. Aku seperti tiada apa. Hampir seperti hari-hari biasa yang lain. Perlukah aku kasihan pada diri sendiri? Aku pun tak tahu. Yang aku tahu, esok adalah sepatutnya menjadi hari yang lebih baik untuk aku, tak kira apa.

Terbaru lagi, isu kalimah Allah yang mahu digunakan oleh pihak gereja. Aku tak tahu secara mendalam apa tujuan sebenar mereka mahu menggunakan kalimah suci itu. Bagi aku, dulu pernah ke kursus Comparative Religion, belajar yang Allah adalah tuhan kepada seluruh umat manusia. Yang menjadikan Islam itu agama benar adalah aqidah kita percaya yang Allah itu Maha Esa. Aku kecewa bila dengar ada orang buat kenyataan di TV 'Allah adalah eksklusif untuk orang Islam'. Mungkin die tak bermaksud sedemikian.

Tapi, entahlah. Apa niat sebenar pihak gereja nak gunakan kalimah suci itu, aku pun tak pasti. Kalau tiada apa niat kotor, bagi aku, tak ada salahnya, malah, kita akan menemui perkara yang serupa dalam kedua-dua ajaran agama ini seperti semasa Raja Kristian Habsyah menyelamatkan golongan hijrah muslim, sedar agama yang dianutinya sendiri dan agama Islam adalah 'seperti satu sumber cahaya yang dipisahkan oleh dua lubang'. Kalau nak katakan kita takut generasi muda kita nanti keliru, kita tanya balik pada diri kita, kenapa kita perlu takut kalau kita selama ini dan tanamkan aqidah dan kepercayaan kepada anak-anak sejak kecil lagi? Kita orang Melayu cepat sangat melatah dengan perkara yang kita sendiri tak perlu takut. Kita cepat sangat menuduh meluru dan merusuh tanpa usul periksa dan tanpa memikirkan apa langkah bijak yang boleh kita ambil.

Tapi kalau ada niat kotor seperti nak memburukkan nama Allah, dan sebagainya, perkara ini harus dilarang dan ditentang. Pemimpin agama Islam negara harus bersikap tegas. Perkara ini memang tidak boleh dibiarkan dan harus disiasat. Pokoknya, kita harus bertindak berdasarkan fakta, bukannya berdasarkan perasaan memberontak.

Mungkin pendapat tiga pihak berikut dapat menjelaskan lagi apa yang harus difahamkan dan dilakukan:

  1. Allah untuk semua!
  2. ISNA Commends Malaysian Court Ruling that Affirms Religious Freedom of Christians
  3. Isu Nama Allah: Garis Panduan Penggunaan Nama Allah

Itu cuma pendapat aku. Mungkin salah, mungkin betul. Aku bercakap berdasarkan apa yang aku belajar dan fikir. Mungkin dulu pendapat aku lain. Mungkin masa depan nanti pendapat aku lain. Masa memberi banyak ruang kepada kita untuk menambah ilmu, menambah pengalaman. Gunakanlah semua itu dengan baik.

Oh, sudah masuk waktu Maghrib. Lebih baik aku solat dahulu. Jom!