Trivia Haji 2
Rutin harian, solat jemaah di masjid nabawi, yang mempunyai fadhilat 10000 kali ganda. Pergi masjid sejam awal daripada waktu. Contoh zohor pukul 12.30, pegi kol 11.20 ke, 11.30 ke. Ni semua untuk mengelak kesesakan samada semasa nak pegi masjid, mahupun semasa di dalam masjid. Dekat masjid, satu perkara yang tak boleh dilepaskan, minum air zam-zam. Di dalam masjid nabawi, ade banyak tong air zam-zam, hampir setiap tiang masjid ade tong. Dalam masjid jugak, selalu ada kereta pick-up kecik ke hulu ke hilir mengangkut tong-tong air zam-zam. Menggunakan cawan pakai buang, kita dapat minum seberapa banyak air zam-zam sejuk yang kita suka!
Madinah al-Munawarah, kota penuh cahaya. Bersesuaian dengan namanya, kota ini begitu indah dilimpahi lampu-lampu di waktu malam. Masjid Nabawi begitu gak disimbahi lampu. Di waktu siang, sebok dengan aktiviti-aktiviti jemaah beribadah, bermuamalah, melawat tempat-tempat penting sekitar madinah. Di hadapan masjid terdapat sebuah perkuburan lama, Perkuburan baqe'. Keluasan perkuburan ini amat besar. Kalau dekat muar perkuburan yang paling besar dekat bakri batu 6, perkuburan baqe' ni berkali ganda lagi besar. Mengambil masa setengah jam untuk menyusur separuh dari pada kawasannya. Dihadapan perkuburan ini terdapat sebuah perpustakaan, gerai-gerai, dan yang paling popular, pasar kurma. Terdapat beratus-ratus jenis kurma dijual di kedai ni. Harganya dikatakan yang termurah mengikut jenis. Dari 2 riyal sekilo, sehinggalah hampir 100 riyal sekilo.
Keadaan sekitar kota ini begitu bersih. Cuaca begitu nyaman, walaupun panas, tetapi kita tidak berpeluh. Tiada bau-bau yang tidak menyenangkan timbul. Ketika tahun 1998, terdapat berpuluh-puluh kedai menjual variasi barang di sekeliling masjid. Kawasan ini begitu sibuk dengan jemaah membeli belah. Kini Kedai-kedai tersebut telah diruntuhkan bagi memberi ruang pembinaan dataran sekitar masjid.
Ketika musim haji, para jemaah dapat menikmati pelbagai pakej melawat sekitar madinah yang dijalankan penduduk setempat. Bagi jemaah malaysia, mereka lebih istimewa kerana tabung haji juga menyediakan pakej melawat. Terdapat juga pelajar-pelajar kita di sana yang menganjurkan lawatan. Antara tempat yang dilawati termasuklah masjid qiblatain, masjid quba', pergunungan uhud dan sebagainya.
Bagi jemaah malaysia, biasanya mereka berada di madinah selama 8 atau 9 hari, bagi melengkapkan 40 solat fardhu berjemaah di masjid nabawi. Destinasi seterusnya, adalah kota Makkah al-Mukarramah di selatan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan