Cari Blog Ini

Rabu, Jun 02, 2004

Kecoh di dada-dada akhbar tabloid tentang isu kemasukan ke IPTA dalam 4,5 hari ini. Antaranya, kecoh dengan sentimen perkauman yang dikatakan masih lagi wujud dalam sistem meritokrasi yang masuk tahun kedua perlaksanaannya. Lebih hebat, isu kegagalan 128 pelajar cemerlang untuk meneruskan pelajaran dalam bidang perubatan.

Kenapa kegagalan 128 pelajar ni nak dijadikan isu? Dah puas penulis membaca rencana setiap hari di akhbar tentang perkara ini. Akhbar tabloid berkenaan mendakwa, pelajar-pelajar tersebut, yang cemerlang, apabila gagal untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang perubatan, mereka juga gagal untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang-bidang lain berkaitan dengan perubatan seperti farmasi. Begitu hebatnya implikasi apabila gagal untuk menyertai mahalah perubatan!

Walau bagaimanapun, telah dijelaskan awal-awal sebelum ini oleh Pengarah Jabatan Pendidikan Tinggi, Dr Hassan Said, bahawa terdapat 128 calon STPM/Matrikulasi sememangnya gagal dalam permohonan mereka dalam bidang perubatan, kerana terdapat pelajar yang lebih cemerlang dan layak berbanding mereka. Mengapa tidak sahaja akhbar tabloid berkenaan membangkitkan 33000 calon gagal untuk mendapatkan sebarang tawaran ke IPTA sebagai isu?

Keduanya, adalah isu berkaitan standard matrikulasi KPM. Dikatakan standard matrikulasi kurang berbanding STPM menyebabkan calon STPM mendapat saingan yang terlalu kuat daripada calon matrikulasi untuk ke IPTA. Kementerian mendakwa, standardnya sama. Selama ini pun calon matrikulasi diterima oleh universiti seluruh dunia, dakwa kementerian. Bagi penulis, semasa matrikulasi di bawah kendalian universiti, benar. Tetapi setelah kendalian diambil alih oleh kementerian, isu ini bermula.

Semasa matrik dikendalikan oleh universiti, silibus dan kualiti pelajaran dikawal oleh pensyarah universiti sendiri. Oleh itu, keputusan peperiksaan calon benar-benar berkualiti, walaupun tidak mendapat CGPA 4.00. Pada awal kendalian kementerian, keputusan calon matrik tidak begitu memuaskan (hakikatnya memuaskan dan layak untuk ke IPTA, hanya ibu bapa yang tidak senang dengan keputusan anak-anak mereka - tanggapan ibu bapa untuk memastikan anak-anak mereka mendapat terbaik [4.00], tetapi berapa calon sahaja yang dapat 4.00? lihat sahaja di konvokesyen IPTA, berapa ramaikah yang mendapat 1st class?).

Untuk memuaskan ibu bapa, dan desakan sebagai kerajaan yang menerajui negara, kementerian, pada pandangan penulis, telah sedikit sebanyak meringankan/memudahkan sistem peperiksaan. Hasilnya, memuaskan ibu bapa. Ramai yang mendapat 4.00. Kini, tidak hairan lagi apabila terdapat ramai pelajar mendapat 4.00. Implikasinya? Inilah yang terjadi ketika ini. Persaingan yang begitu sengit, sehinggakan pelajar yang cemerlang pun gagal untuk ke IPTA dalam bidang perubatan. Pelajar tersebut mungkin mendapat 4.00. Tetapi, itulah hakikat yang perlu mereka terima, terdapat ramai lagi yang mendapat 4.00.

Implikasi jangka panjang? Tidak mustahil, tidak lama lagi pihak universiti juga akan terpengaruh dengan pendidikan dan sistem peperiksaan di peringkat matrikulasi, seterusnya di peringkat universiti juga akan menjadi serupa di peringkat matrikulasi. Ini akan mengakibatkan pertambahan graduan yang menganggur. Tidak mustahil suatu hari nanti, jika perkara ini berterusan, graduan perubatan juga akan menjual kacang putih seperti yang biasan kelihatan di India.

Kenapa kita tidak mencontohi sistem kemasukan universiti di UK? Sistem A-level mereka begitu berkualiti dan begitu sukar (STPM dikatakan hampir setaraf dengan A-level) sehinggakan tidak ramai yang lulus dengan cemerlang. Tahapnya juga sentiasa dikawal - tidak terlalu mudah samada peperiksaan atau penandaanya. Oleh itu, calon yang diplih ke universiti mereka, benar-benar mempunyai asas pendidikan yang kuat, hasil lepasan A-level itu. Mereka mempunyai beratus-ratus universiti awam, tidak termasuk lagi universiti swasta. Tetapi, kadar pengangguran di sana masih lagi kurang. Ini semua bermula daripada peringkat akar, iaitu sebelum kemasukan ke universiti.

Akhir sekali, yang paling penting ada dalam diri pelajar adalah sikap dan usaha...

Tiada ulasan: