Cari Blog Ini

Jumaat, Februari 03, 2006

Emel Untuk Awak


Assalamualaikum

Awak..
Apa khabar awak di sana? Harap awak sihat belaka. Saya sekarang ini keletihan dan kepenatan setelah seminggu tinggal di dalam hutan. Maaf juga kerana seminggu sudah tidak menghantar emel langsung, tidak menghantar khabar berita saya. Mungkinkah awak rindukan saya? =) Saya menyertai program di dua buah kampung orang asli seminggu ini. Banyak yang saya ingin kongsikan bersama awak.

Program yang saya sertai bermula pada 23 haribulan dan tamat pada 29 haribulan lalu. Mula-mula kami - saya dan acap berkumpul di tangga besar di UIAM seawal 9 pagi. Nyata tiada seorang pun yang saya kenali dalam berpuluh-puluh orang yang duduk di atas tangga menunggu bas. Saya terfikir-fikir, yang saya kenal hanyalah acap dan munzir. Bolehkah saya berseronok dalam program yang saya tak kenal dan tak dikenali?

10 pagi kami bertolak dari UIAM, dengan dua buah bas dan sebuah lori Jabatan Hal Ehwal Orang Asli (JHEOA) yang mengangkut barang-barang keperluan, singgah di hentian Tapah, sekali lagi di hentian antara Gerik-Jeli, saya hanya bercampur dengan acap dan munzir dan beberapa lelaki yang baru saya kenali. Di hentian Gerik-Jeli, saya tidak mempercayai deria saya. Apa tak nya, matahari sedang memancar terik petang jam 5 itu, tapi, suhu nya sungguh dingin, mungkin sekitar 18 - 20 darjah. Tak sangka sungguh saya. Ditambah pula dengan pemandangan gunung-ganang yang cukup indah. Subhanallah, tak terkata indahnya. Tak sangka sekali lagi saya. Tak sangka saya di Malaysia ada juga pemandangan macam ini. Mungkinlah pemandangan dan suasana ini sama seperti yang awak alami di tempat awak? =)





7 petang kami sampai di pekan Jeli. Berehat sebentar di pejabat JHEOA. 9 malam kami teruskan perjalanan untuk ke kampung orang asli. Jauh ke hulu bas mendaki sedikit bukit, ke Kampung Sg Rual hala tuju kami. 10 malam kami sudah mula memunggah barang turun dari lori. Suasana kampung orang asli itu tidak seperti yang saya jangkakan. Di sini, kemudahan eletrik sudah ada. Sekolah pun ada. Air pun ada. Terdapat juga beberapa rumah batu di sini. Apa pun, malam itu saya belum sempat lagi meninjau sekitar kampung kerana sibuk memunggah barang. 11 malam kami mulakan taaruf. Kami bertaaruf satu persatu seramai kira-kira 70 orang. Ramai di antara kami adalah dari tahun kedua dan ke atas. Ramai di antara kami adalah dari kuliyah ilmu wahyu dan sains kemanusiaan. Ramai di antara kami berasal dari pantai timur. Malam itu juga baru saya tahu apakah sebenarnya kelab yang menganjurkan program ini.

COMRADE. Community Research For Aboriginal Development lah kelab yang menganjurkan program ini. Saya juga baru tahu malam itu, nama program di Jeli ini adalah DRIC - Dakwah and Research Induction Course. Jadi, jelas lah saya, sepanjang 3 hari di Jeli ini, saya akan didedahkan kepada kehidupan masyarakat orang asli, dan juga didedahkan kepada perjuangan COMRADE.

Subuh keeseokannya, saya berpeluang untuk mandi di sungai yang mengalir lembut. Di sungai yang ada banyak batu. Di sungai yang air nya amat jernih. Di sungai yang amat indah. Sejuknya air subuh itu tak perlu diceritakan. Dan hari-hari seterusnya sejak itu, memang sungai lah tempat kami membersihkan badan. Sungguh seronok. Sungguh. Sungguh tak terkata keseronokan menikmati alam semula jadi ciptaan Ilahi itu. Subhanallah.


Sungai yang mengalir indah..Sejuk.Mendamaikan



3 hari kursus itu kami dibahagikan kepada 10 kumpulan. Oleh kerana tidak ramai lelaki yang menyertai program ini, setiap kumpulan hanya terdapat 2, atau mungkin seorang sahaja lelaki. Saya berpeluang berkumpulan dengan p-jan, intan, miela dan kak nas. P-jan, intan dan miela semuanya tahun pertama dalam jurusan teknologi maklumat kecuali p-jan dari jurusan sains kemanusiaan. Dan kak nas pula tahun kedua jurusan undang-undang. Fasilitator kami ialah mok ana, tahun kelima, perundangan syariah. Amat matang tetapi kelakar. Juga merupakan jawatan kuasa modul dalam DRIC.

Kami didedahkan kepada COMRADE pada mulanya. Berumur 14 tahun. Sudah amat dikenali di kalangan pegawai atasan JHEOA. Juga amat dikenali di kalangan orang asli sendiri, sehinggakah apabila ada pelajar dari UTM ziarah kampung mereka, mereka akan katakan 'Hari tu, ada pelajar UIA Johor datang jenguk kami'. Pelajar USM datang, mereka katakan 'Pelajar UIA Pulau Pinang ada datang hari tu'. Perjuangan utama COMRADE adalah menyebarkan dakwah Islamiah kepada masyarakat orang asli dengan perjuangan sampingan untuk memperjuangkan hak pembangunan masyarakat pribumi itu dan beberapa lagi perjuangan lain.

Seterusnya didedahkan pula kehidupan masyarakat orang asli secara am. Cara hidup yang kebanyakannya mencari hasil hutan, agama yang kebanyakannya Islam tetapi dengan pengetahuan yang cetek tentang Islam, isi hati yang selalunya amat sensitif kepada kata-kata, ciri-ciri mengingati sesuatu sampai bila-bila, sifat peribadi yang kebanyakannya pemalu, semuanya dipelajari di DRIC. Melalui pembelajaran ini juga awak, kami didedahkan akan cara untuk berdakwah dengan orang asli. Latihan menziarahi rumah orang asli juga diadakan. Saya sukakan pendekatan yang dilakukan oleh COMRADE untuk berdakwah - menangi hati orang yang ingin didakwahi, mesra kan hubungan, tunjukkan contoh yang baik sebagai seorang Muslim, sambil menyeru ke arah kebaikan. Antara yang dikatakan mesra itu ialah mengadakan acara sukaneka besar-besaran yang melibatkan semua isi kampung. Seperti yang diadakan di Jeli ini, dari kesuraman suasana kampung yang sunyi, sukaneka begitu memeriahkan suasana. Kanak-kanak berlarian menyertai sukaneka, orang muda bertanding sukan, ibu bapa bersorak memberi sokongan. Ukhuwah dapat dijalin di sini. Tak kira ukhuwah pelajar-orang kampung mahupun orang kampung-orang kampung, kedua-duanya dapat dijalin. Kenduri besar juga diadakan. Ramai orang kampung yang hadir. Sekurang-kurangnya, mereka dapat melihat indahnya Islam melalui ukhuwah yang dijalin di sini.






Ukhuwah yang terjalin antara peserta program sendiri menjadi begitu rapat. Antara jawatankuasa dengan peserta juga rapat. Awak nak tahu? Saya belum pernah jumpa program yang mana ukhuwah antara semua jawatankuasa dan peserta begitu rapat seperti dalam TRIP ini. Baru petang tadi semasa saya sedang menikmati santapan petang, munzir datang kepada saya dan mengatakan 'Rindu lah kat korang semua. Rasa macam tak seronok hidup dah dua hari takde korang. Rasa macam nak pegi je balik kampung orang asli dengan korang'. Terharu saya diperdengarkan sedemikian. Bukan senang lelaki nak cakap rindu pada lelaki. Itulah hakikat ukhuwah kami.

Lepas 3 hari berkursus dekat Jeli kan awak, kami teruskan perjalanan kami ke program yang sebenar. Bermula di sini, kami terbahagi kepada 3. Ada yang pulang terus ke rumah. Ada yang pergi ke program TRIP (Training and Induction Program - program dakwah dan latihan Fardhu Ain orang asli) di Kampung Husin, Sg Siput. Ada yang pergi ke program AEC (Aboriginal Educational Clinic - program motivasi kanak-kanak orang asli) di Kampung Kenang, Sg Siput. Saya mengikuti TRIP.

Dalam program TRIP ini, saya ditugaskan sebagai jawatankuasa katering. Tugas utama semestinya menyediakan dan menguruskan makanan kepada para jawatankuasa lain. Bersama saya dalam jawatankuasa ini ialah hazrul selaku ketua saya, tahun pertama kejuruteraan, dan juga salah seorang kembar (kak adlia atau kak adlina) selaku penolong hazrul. Sampai sekarang sebenarnya, saya tak pasti mana satu yang bersama saya dalam katering, kak adlia atau kak adlina, mereka kembar seiras, tiada ciri-ciri yang dapat saya bezakan. Pakaian pun selalu sahaja sama. Yang saya tahu, mereka berdua dari jurusan ilmu wahyu.

Walau apapun, tidak banyak yang dapat saya tolong untuk katering ini. Kerana, sudah ramai yang turun menolong - jawatankuasa lain yang perempuan banyak menolong jawatankuasa katering, mengupas bawang, memotong, menumis, semuanya mereka lakukan bersama. Membasuh pinggan mangkuk saja lah yang boleh saya lakukan. Awak pun tahu memang saya sukakan kerja itu, bukan? =)

Kampung Husin. Terletak di kaki Gunung Korbu. Dikatakan kampung orang asli yang paling digemari oleh COMRADE atas kemesraan dan kerjasama yang diberikan oleh penduduknya sebelum ini. Tidak mempunyai kemudahan elektrik, kecuali mereka yang mempunyai generator di rumah masing-masing. Kemudahan air yang boleh tahan mewah. Suasana yang nyaman dan bersih. Pemandangan gunung-ganang yang begitu menggamit. Tak terkata indahnya.





Kami lelaki, bermalam di balai sewang. Perempuan pula di surau. Oh! Terlupa saya hendak cerita pasal sewang. Awak tahu apa itu bersewang? Sewang adalah hiburan bagi kaum orang asli. Bersewang ialah sebuah tarian yang dialuni irama ketukan buluh disertai nyanyian dalam bahasa masing-masing. Kalau awak nak tahu, ada berpuluh-puluh kaum orang asli, kesemuanya mempunyai bahasa masing-masing. Di Jeli, mereka terdiri dari kaum Jahai, berkulit gelap dan amat pemalu. Di Kampung Husin, mereka terdiri dari kaum Temiar. Menyerupai Melayu dan amat mesra.

Di sini, kami dibahagikan kepada beberapa kumpulan kecil terdiri dari 3 orang. Kalau awak nak tahu, hanya 26 orang yang mengikuti program di Kampung Husin ini. Kali ini, saya berpeluang untuk sama-sama satu kumpulan pula dengan mok ana dan nurul. Saya tak berkesempatan untuk berkenalan sangat dengan nurul. Yang saya tahu, dia sebaya dengan kita. Kumpulan kami diberikan dua buah keluarga angkat.

Kami menziarahi rumah keluarga angkat yang pertama. Tak silap saya, teh binti anjang nama mak kami. Saya tak pasti. Kejamnya saya tak ingat nama mak angkat! Mak seorang nenek. Mungkinlah berumur sekitar 70an. Tinggal bersama rakannya, anaknya, amek mida dan dua orang cucunya. Mungkin patut saya beritahu awak, amek bermaksud makcik dan abe pula pakcik. Rumah mak sama seperti rumah-rumah lain di kampung ini, rumah Program Pembangunan Rakyat Termiskin (PPRT). Ada sebuah ruang tamu kecil, sebuah bilik tidur, sebuah dapur dan sebuah beranda. Walaupun tidak bercakap banyak semasa kehadiran kami, saya amat yakin mak begitu gembira dengan kedatangan kami. Air mukanya begitu berseri. Kalau awak nak tahu, kebanyakan orang asli, semesra mana pun mereka, mereka tetap pemalu. Selagi kita tak bercakap, selagi itu mereka diam. Kita yang perlu pandai merancakkan perbualan. Oh! Mak ada padi bukit tak jauh dari rumah mak. Semasa kami datang, kawan mak dengan amek mida sedang menampi beras huma. Kalau awak nak tahu, kebanyakan penduduk kampung sebanyak kalau tak silap saya 25 buah rumah ini, masing-masing ada dusun dan padi huma.

Rumah keluarga angkat yang kedua. Abe md dali dan isterinya mek sitijan bersama 3 orang anak kecil, firdaus, ayu dan.. dan.. tak ingat lah lagi seorang siapa nama. Kejam nya saya tak ingat nama adik angkat! Saya ingat ayu saja =) dia comel. Suka bergurau dengan abang angkat dia yang seorang ini =). Di rumah abe, ade berguni-guni beras huma di ruang tamu. Memang baru lepas musim menuai kata abe. Setahun lagi lah baru dapat tuai lagi selepas ini. Antara selang mase setaun ini, akan ditanam pelbagai tanaman seperti buah-buahan di tanah padi huma yang telah dituai itu. Abe juga selalu masuk ke hutan mencari kayu gaharu dan pelbagai lagi hasil hutan. 'Abe pun tak berapa reti sangat dengan hutan, belum berani lagi nak amek daun-daun ke, pokok-pokok ke, sebab ada yang tak boleh makan..' abe kata.

Sesuai dengan nama program TRIP, diadakan sebanyak 3 kali sesi kelas Fardhu Ain. Dibahagikan kepada 3 kumpulan, untuk abe, untuk amek, dan untuk kanak-kanak. Sambutan yang amat menggalakkan dari kalangan amek dan kanak-kanak. Tetapi amat hambar dari kalangan abe-abe. Sebenarnya jawatankuasa katering dikecualikan untuk mengajar kelas fardhu ain, tapi oleh sebab dah tak ada kerja sangat di dapur, ada satu sesi saya pun turut membantu menjadi tutor. Rezeki saya hari itu, saya ditugaskan menjadi tutor tok batin Kampung Husin, tok adnan.

Tiga helai kertas soalan yang diberikan kepada saya untuk melatih tok adnan semuanya dijawab dengan cemerlang oleh tok. Dari syahadah, solat, rukun Islam, rukun Iman, sehingga tayamum dan hukum kifarah semuanya tok tau. Soalan tambahan yang saya berikan pun cemerlang dijawab tok. Bagi mengisi masa yang banyak terluang sebab semua soalan tok boleh jawab, tak perlu saya ajar lagi, kami berbual bersama tentang agama Islam dalam Kampung Husin ini.

Dengan gaya percakapan yang sedih, mata yang sayu, jelas menunjukkan kepiluan yang terbuku dalam hati tok. Kecewa dengan sikap sesetengah penduduk yang hanya memeluk Islam hanya pada nama dan enggan untuk solat dan melakukan ibadah lain. Kecewa dengan sikap sesetengah penduduk yang mengatakan tidak perlu menunaikan solat kerana mereka mendakwa tanpa solat mereka juga boleh hidup senang. 'Macam mana lagi kita nak bayar pada Allah, Allah dah kasik kita tanah, kasik kita hasil tanam pokok, macam mana lagi kita nak bayar? Solat lah yang dapat bayar. Tunjuk kita terima kasih'. Bagus tok. Saya amat menghormati tok! Hampir sejam kami duduk berbual. Kalau nak diceritakan dekat awak, memerlukan lagi satu emel =).

Selepas itu, saya berpeluang lagi duduk berbual dengan tok. Awak nak tahu, tok pernah mengIslamkan lebih 120 penduduk di sebuah kampung orang asli. Mungkin kerana itu, tok pernah dianugerahkan tokoh Maal Hijrah peringkat negeri Perak. Apa yang membuatkan saya rasa kagum terhadap tok, tok tak pandai membaca tulisan jawi, tak pandai membaca tulisan rumi, memang tak pandai membaca. Tetapi tok mampu untuk menghafal beberapa surah lazim, mampu menghafal bacaan dalam solat, mampu menghafal beberapa doa, malah pernah mengimamkan solat di luar kampungnya. Bayangkan betapa sukarnya untuk menghafal jika nak membaca pun tak boleh. Tok cerita, pernah sekali ada ustaz mengajarnya menghafal sebuah doa sebanyak lebih 50 kali, sehingga tok sendiri dah menyerah kalah, tak sanggup lagi menghafal. Tapi, dengan rahmat Allah, selepas lebih 50 kali, tok boleh membaca doa itu dengan baik. Saya dapat kongsikan dengan awak, betapa usaha yang amat penting. Pepatah melayu kata, 'Usaha Tangga Kejayaan', bukan nya 'Pandai Tangga Kejayaan'. Kita sama-sama usaha yeh awak? Em. Saya dengar awak pun dah habis menghafal? Iye? =) Berusaha lah lagi yeh? Berusaha untuk segala-galanya.

Seperti biasa, sukaneka diadakan. Antara acaranya, membaling dart, memakan epal yang digantung, meiup belon, membaling belon dan pelbagai lagi. Saya pun masuk juga. 'Kita mesti provoke orang kampung, baru die orang nak masuk' arep pengurus program cakap. Saja suka-suka masuk, lagi ramai, lagi meriah =).






Kenduri juga diadakan. Tapi bezanya kali ini, lauk-lauk yang kami masak, di bawa ke rumah keluarga angkat masing-masing untuk dimakan bersama mereka. Mok ana dengan nurul makan dekat rumah mak. Mok ana minta saya makan dengan abe. Mok ana kata kak shariah akan menyertai saya. Dulu kak shariah anak angkat lama abe. Katanya dia memang rapat dengan mek sitijan sampai pernah 2,3 kali kak shariah sewa kereta datang sendiri Kampung Husin nak jumpe mek.

Tapi kak shariah juga ada keluarga angkat baru kali ini. Maka akhirnya, saya yang kena gantikan kak shariah makan dekat rumah keluarga angkat dia, kak shariah pula makan dengan mek sitijan. Di rumah mek suria pertama kali saya makan nasi huma bersama dengan hazrul yang merupakan adik beradik angkat kak shariah dalam program ini. 'Cara masak dia lain sikit, kena letak air banyak' kata mek. Kenyang sungguh saya walaupun makan hanya sepinggan nasi huma. Lazat juga, ditambah pula dengan sayur pucuk ubi yang dimasak bersama sedikit bihun. Memang selepas itu saya tanya rakan yang lain, memang ada lauk sayur itu di rumah keluarga angkat mereka. 'Kalau nak buat dengan meggi pun boleh..' kate mek, ibu kepada normadiah, pelajar yang boleh saya katakan bijak dan berani sama seperti abangnya shazri, darjah 5 =). Selepas menjamu nasi, ubi goreng yang ditanam di belakang rumah mek pula menjadi santapan. Kenyang yang amat.

Oh! Terlupa pula nak cerita pada awak macam mana perjalanan naik ke Kampung Husin ini. Susah ke tak susah? Awak rasa? Alhamdulillah, ada sedikit kemudahan semasa naik ke kampung. Kampung Husin ini terletak di atas Kampung Kenang. 6 petang kami baru selesai menolong memunggah barang di Kampung Kenang,setelah selesai barulah meneruskan perjalanan ke Kampung Husin. 7 petang lori yang kami naiki tersekat di tengah jalan. Lori itu tidak boleh naik lebih lagi kerana jalan yang sempit lagi curam menanti di hadapan. Di tambah pula dengan berat lebih 20 orang dengan beg masing-masing serta keperluan dapur dan makanan. Hari semakin gelap. 2 buah jip JHEOA ditugaskan untuk mengangkut barang-barang dan para pelajar. Memerlukan beberapa trip kerana barang yang banyak, sampai trip yang terakhir, saya, munzir, abang amil, kak nas dan kak shariah berhimpit dengan barang-barang dalam jip bergerak pada jam 8.40 malam. Sampai di Kampung Husin 9 malam. 20 minit mengharungi kepekatan malam mendaki jalan yang begitu curam dan mengerikan. Kancil 660 pasti tak boleh lepas. Alhamdulillah, ada juga kemudahan jip JHEOA. Kalau tiada, memang kena jalan kaki 2 jam. Angkat barang yang bergondong-gondong itu sendiri. Harungi malam gelap gelita itu sendiri. La haula wa la quwwata illah billah. Tak dapat nak bayangkan macam mana. Alhamdulillah dipermudahkan oleh Allah perjalanan kami.


(Picture cannot be displayed. Please visit the blog again one week from this date to view the picture)


Oh! Memandangkan Kampung Husin terletak jauh di atas bukit, maka suasananya dingin di waktu malam dan subuh. Bermula 7 petang, angin sejuk mula menghembus badan-badan kami yang sedang menyediakan makan malam di bangsal belakang surau. Suhu malam yang rendah memerlukan kami memakai berlapis baju dan sweater untuk tidur. Tak lupa stokin. Itu pun belum memadai untuk menahan kesejukan kerana setiap kali bangun tidur, saya akan menggigil kesejukan. Apabila memijak lantai balai sewang yang diperbuat daripada buluh itu, terasa seperti memijak air batu. Paling awal boleh mandi ialah pukul 9 pagi. Lebih awal dari itu, tiada siapa yang mahu mandi. Itu pun sekarang ini adalah musim kemarau. Kata mek suria kalau musim sejuk, kabus akan menebal di sekitar rumah 'Dah jadi macam salji' mek kata.

Di mana kita tadi? Oh. Kenyang yang amat. Selepas itu, makan pula di rumah keluarga angkat kak shariah yang kedua. Tak ingat saya nama mek itu. Yang pasti, satu-satunya keluarga bukan Islam di Kampung Husin. Sekali lagi nasi huma. Nak menolak, saya pula yang segan. Bertambah lah kenyang nya saya. MasyaAllah, tak pernah kenyang macam ini. =)

Dalam keadaan kenyang itu, selepas kenduri, saya diajak arep untuk berlakon sketsa bagi mengisi malam penutup malam itu. Cerita sedih. Arep pernah membawa cerita ini katanya, ketika di Langkawi. Khabarnya ramai yang menonton di Langkawi menangis. Seorang ayah yang mempunyai 3 orang anak, bekas penagih, ketika menjadi penagih, dia mengabaikan keluarganya, juga merupakan penyebab kematian isterinya. Dibebaskan setelah 5 tahun dipenjarakan. Pulang ke rumah anak sulungnya, arep. Arep tidak menerima ayahnya dan mengatakan ayah nya sudah lama meninggal dunia. Walau ditegah isterinya, sal, dan dua orang adik yang tinggal bersamanya, jaie dan jimin, arep menghalau ayahnya keluar. Arep mengungkit kembali siapa yang membesarkan kedua orang adik nya setelah ayahnya membunuh ibunya kerana dadah. Jaie dan jimin tidak melawan kerana mengakui memang abang mereka yang membesarkan mereka. Malam itu sal menegur perbuatan suaminya menghalau bapa mentuanya. Pertengkaran berlaku. Pada masa yang sama, jimin mengajak kakaknya jaie mencari ayah. Ayah ditemui di lorong-lorong sepi. Jimin menyembunyikan ayah di suatu tempat lain sebelum merancang untuk membawa kembali ke rumah arep. Keesokannya tok ketua kampung sebelah datang membawa bersama anaknya, rozaidi. Hajat mereka untuk meminang Jaie. Persoalan wali ditimbulkan. Apakah masih hidup ayah si jaie itu? Arep berdalih dan mengatakan ayahnya telah lama meninggal dunia. Ketika ini, jimin masuk ke rumah membawa ayah bersama. Arep menghina ayahnya dan ingin menghalau lagi. Jimin melawan maka terbongkarlah rahsia di hadapan tok ketua. Tok ketua membatalkan hasrat meminang dan keluar dari rumah. Arep menuduh ayahnya merosakkan rancangan kahwin jaie. Pertengkaran besar berlaku sehingga ayah menampar muka arep sehingga arep terjatuh. Rasa tercabar, arep mencapai akhbar dan menghempaskan pada dada ayah. Ayah jatuh rebah diserang sakit jantung. Jimin meninggi suara kepada abangnya dan mempersoalkan kematian ibu, dan kini kematian ayah pula yang mungkin terjadi. Arep cuba meminta maaf dari ayah, tapi tak sempat kerana ayah terlebih dahulu pergi. Arep menjadi gila. Cerita tamat. Mungkin yang membuatkan air mata berlinang apabila lagu sudirman 'Salam terakhir' dinyanyikan ketika jimin dan jaie meratapi pemergian ayahnya. Sepanjang lakonan, kebanyakan penonton ketawa. Tak tahu apa yang kelakar. Kak adlia (atau kak adlina, tak pasti mana satu) kata dia terharu menonton sketsa itu. Eh? Cerita pasal lakonan pula saya, lupa pula kisah orang asli =)

Sebelum lakonan ada persembahan dari kanak-kanak orang asli. Dua lagu dipersembahkan. Yang saya perasan lagu seroja. Sebuah lagi saya tak perasan kerana sibuk membuat persiapan lakonan. Selepas lakonan giliran abang-kakak UIAM pula menyanyi. Lagu 'keluarga bahagia' didendangkan. Seronok rasa menyanyi di atas pentas ramai-ramai malam itu. Rasa seperti tak mahu turun =).
Tamatlah malam penutup. Jamuan ringan disediakan. Abang-kakak UIAM menjadi pelayan. Seronok malam itu melayan masyarakat kampung.






Tengah malam itu, beberapa jawatankuasa dibahagikan kepada dua kumpulan. Kumpulan pertama ditugaskan untuk membahagikan 'ration' yang terdiri daripada pakaian yang dibekalkan oleh JHEOA untuk dibahagikan kepada penduduk kampung. Kumpulan kedua dikerah untuk membersihkan dan mengemas keperluan dapur kerana esoknya kami akan berangkat pulang. Kumpulan kedua juga ditugaskan membahagikan ration makanan seperti beras, gula, bihun dan sebagainya. Alhamdulillah segalanya berjalan dengan pantas dan pada 2.30 pagi saya sudah boleh nyenyak tidur.

Keesokannya, selepas bersarapan bihun goreng, kami bersiap sedia untuk ekspidisi masuk ke dalam hutan. 9 pagi kami mulakan ekspidisi yang diketuai oleh tok sendiri yang membawa selaras senapang patah kemas disangkut di bahunya, bersama beberapa anak menantu tok termasuk ade dali. Kami masuk ke dalam hutan dengan satu barisan panjang. Menuruni bukit. Sekali sekala ditemani hilai ketawa gembira kanak-kanak orang asli yang turut serta, mungkin mentertawakan kami kerana mereka semuanya kelihatan bertenaga menuruni bukit manakala kami sudah kelihatan letih.

24 minit menempuh hutan, kami ketemu dengan air terjun yang begitu indah. Begitu jernih airnya. Begitu sejuk. Tidak didedahkan banyak kepada pelancongan, jadi air nya memang sungguh asli. Tidak puas bermandian di atas, kami lelaki, turun ke bawah sedikit di tempat perempuan mandi. Di situ lagi indah. Awak jangan salah faham yeh? Lagi indah itu maksud saya, air terjun dia yang lagi indah. Sungguh. Sungguh indah air terjun. Tinggi dan besar air nya yang jatuh ke bawah di situ.Menambahkan lagi indah apabila kelihatan pelangi yang terbit di celah air terjun yang disinari suria pagi. Subhanallah. Rasa puas bermain dengan air terjun di situ.

Berkelah pantas di situ dengan makan sedikit sandwich yang dibawa katering. Bergambar-gambar sedikit, kemudian bergegas keluar dari hutan. Masa perlu dikejar kerana ingin menepati janji bas yang akan menunggu kami di Kampung Kenang pada 3 petang.


(Picture cannot be displayed. Please visit the blog again one week from this date to view the picture)


Berjalan keluar dari hutan lebih mencabar. Kalau masuk tadi kami menuruni bukit. Kali ini keluar, kami perlu mendaki. MasyaAllah, penat tak terhingga. Lebih memenatkan apabila melihat kanak-kanak orang asli yang berlari-lari memotong satu persatu dari kami mendaki ke atas. Bertenaga sungguh mereka. Mungkinlah mereka dah minum tongkat ali sebelum masuk tadi? Tapi, secara serius, memang letih memanjat bukit itu. Mengeluh juga, memikirkan bagaimanalah kalau saya nak menyertai ekspidisi mendaki gunung? Mampukah saya? 'Entah, akak pun baru terfikir nak join naik gunung korbu. Boleh ke agaknya yeh?' kak adliah (atau kak adlina, tak pasti mana satu) pun setuju dengan saya.

Sampai di Kampung Husin, yang laki kebanyakannya terbongkang di balasi sewang, kepenantan.

Pukul 12 tengahari, kami menziarahi keluarga angkat kami sekali lagi, ziarah wida'. Sambil memberikan ration kepada keluarga angkat, kami saling berpesan supaya menjaga diri. 'Ada rezeki, boleh jumpa lagi, insyaAllah..'. Sedih juga ingin meninggalkan keluarga angkat walau hanya 2 hari bersama. Mak ada memberi kami beras huma seorang satu. Terima kasih Mak! =) abe dali dan mek sitijan pun memberi kami beras dan sebungkus aneka akar kayu dan daun, 'Rebus ini semua, lepas tu minum, kalau ada sakit-sakit badan, sakit pinggang, boleh minum' abe kate. Terima kasih abe, mek! Abe ajak makan tengahari di rumah bapa mentuanya, tok. Di rumah tok, jumpa mek suria. Dia tak lupa saya awak =) Walaupun saya bukan anak angkat dia, cuma menggantikan tempat makan kak syariah, mek beri saya beras huma sebungkus juga =) terima kasih mek! Tok bagi saya isi buku tetamu Kampung Husin. Ramai dah isi buku itu, bukan melayu pun ramai juga. Nama saya dah ada dalam buku tetamu. Kalau awak, adik awak, kakak awak ada nak datang melawat Kampung Husin, carilah nama saya! =)

1.30 tengahari kami sedang memunggah barang-barang masuk ke dalam lori JHEOA untuk dibawa ke Kampung Kenang. 2.45 petang kami bergambar kenangan di Kampung Husin dengan seluruh penduduk kampung. Saya mendukung ayu dalam gambar itu =) Kemudian kami berdoa dan berselawat sambil bersalaman dengan penduduk kampung. Berlinang air mata. Sedih untuk meninggalkan dan ditinggalkan. Ada rezeki, insyaAllah bertemu lagi.


(Picture cannot be displayed. Please visit the blog again one week from this date to view the picture)


3 petang kami tiba di Kampung Kenang. Suasana yang sama seperti setengah jam sebelum itu di Kampung Husin. Suasana sibuk memunggah barang. Suasana kanak-kanak mengerumuni abang-kakak UIAM di Kampung Kenang itu. Suasana bergambar beramai-ramai. Akhirnya 3.30 petang baru kami berangkat pulang ke UIAM dengan seribu satu kenangan dan pengalaman berharga yang tak mungkin akan dilupakan..


(Picture cannot be displayed. Please visit the blog again one week from this date to view the picture)


Wah! Panjang sungguh saya bercerita! Lupa pula sedang menulis emel untuk awak. Berapa besar agaknya sudah emel ini? Mungkin sudah jejak 100kb? =) Apa yeh awak buat sepanjang seminggu lebih kita tidak berhubung ini? Ada aktiviti menarik yang awak lakukan? Balas yeh emel saya? Balas dengan 100k juga. =) Mesti awak banyak juga nak ceritakan pada saya kan? Saya tunggu emel awak =). Da yeh? Awak jaga diri baik-baik. Jumpa lagi dalam emel seterusnya. Wassalam =)
Hikmah Kembara

Album : Hikmah Kembara
Munsyid : Mirwana
LirikNasyid.com


Di sini kau berdiri
berpijak di bumi
menjunjung langit yang luas

Pernahkah kau berfikir
alam penuh rahsia
anugerah yang maha esa

(CHORUS)
Berjalan,bermusafirlah
melihat kebesaran tuhan
yang diciptakan untuk
mereka yang berfikir
dan bersyukur di atas nikmat
dan kurnianya
nilai harganya,
iman dan taqwa
bagi hamba yang setia

Tiada beza warna,
kulit atau rupa
yang ada hanya insan yang lemah
dengan satu tujuan
mencari keredhaan
dan berbudi di bumi tuhan

Fikirkanlah..(dimana arah kita)
Renungilah..hikmah kembara
menuju kasih
buktikan cinta kita..
kepadanya..
ini kembara kita

Berjalan dan bermusafirlah
untuk melihat kebesarannya
lantas berfikir dan bersyukur
diatas nikmat dan kurnianya
nilai harganya
iman dan taqwa
bagi hamba yag setia . . .





Kembaraku melihat alam
Kembaraku menikmati keindahan
Subhanallah

Kembara yang telah kulalui. Bakal kugarapi. Dalam sebuah nukilan untuknya.