Cari Blog Ini

Ahad, September 18, 2005

5 Perkara Sebelum 5 Perkara

3 perkara telah datang kepada diriku. 3 perkara jua telah datang sebelum itu.

Sihat. Aku cukup bertenaga ketika cuti midterm 3 hingga 7 September lalu. Aku mampu memandu jauh setiap hari. Memandu ke Alor Gajah menghantar bob sepupuku yang bertunang. Berulang-alik ke rumah firs untuk beberapa hari. Membawa acap dan firs ke Melaka. Memandu balik ke UIA. Tetapi selepas itu, perkara lain datang kepadaku. Aku jatuh sakit. Aku tidak lagi sihat. Aku selsema. Aku demam. Aku menjadi lemah. Aku tidak lagi boleh melakukan perkara sesuka hati aku. Sehinggakan hendak selesaikan satu soalan Dynamics pun aku tak mampu. Rasa sungguh tidak selesa dengan keadaan aku seperti itu. Apa yang boleh aku lakukan sebagai persediaan menghadapi kertas Dynamics, hanyalah membelek dan membaca sekali lalu soalan-soalan dari buku teks dan penyelesaiannya. Hasilnya? Aku hanya mampu mengeluh dan kesal selepas menjawab kertas Dynamics tersebut - kesemua soalan yang telah keluar adalah soalan yang diceduk bulat-bulat dari buku teks. Aku ingat soalan itu. Tapi aku lupa penyelesaiannya. Kalaulah aku tidak demam... Mungkinkah aku boleh mengingati dan memahami dengan lebih baik?

Waktu senggang. Semasa cuti midterm 3 hingga 7 September lalu, aku tidak tahu hendak melakukan apa lagi kerana masa begitu pemurah untuk memberikan saat-saatnya kepadaku. Puas aku menonton anime berkeping-keping CD 'One Piece' versi 'the movie' yang kubeli di Kotaraya sebelum kupulang ke Muar. Puas sudah aku menonton kembali siri anime 'Naruto' yang telah kutonton berpuluh-puluh kali. Puas juga aku bermain boling di Mahkota Parade bersama firs dan acap. Puas kami berjalan-jalan bersama di Melaka. Puas jua ronggeng bermain 'Play Station 2' di rumah firs. Di manakah projek BM yang belum siap lagi? Masih kemas, tak terusik di dalam beg. Di manakah buku Dynamic untuk diulangkaji? Ada tertinggal ditinggalkan di bilik di UIA. Naik dari cuti, barulah aku sibuk hendak mengulankaji Dynamics. Barulah aku sibuk membaca balik bahan projek BM. Tambah pula dengan tugasan menyiapkan laporan makmal. Tambah pula dengan masa rehat yang aku perlukan kerana demam. Aku tidak mempunyai masa yang cukup. Kini, masa nampaknya begitu mencemburui aku, sedikit saat pun seolah-olah tidak mahu dipinjamkan kepadaku. Kalaulah aku tidak membuang masa berhibur ketika cuti... Mungkinkah aku boleh menjawab kertas Dynamics dengan lebih baik?

Kaya. Kaya dengan air. Memang selama ini, alhamdulillah, walaupun tinggal di bilik di tingkat 4, air di bilik air di sini masih kuat tekanannya, tekanannya seperti tekanan di tingkat 1. Apabila berlaku kemalangan lori dengan loji air di Gombak baru-baru ini, bukan sahaja di tingkat 4, bukan sahaja di tingkat 1, malah, seluruh UIA dan hampir seluruh Gombak ketiadaan air. 4 hari diperlukan oleh pihak JBA untuk membersihkan minyak yang tertumpah di dalam loji itu. 4 hari jua aku menjadi miskin. Miskin tanpa air. Tangki yang sepatutnya dihantar oleh pihak JBA pula lambat sampai ke kolej lelaki. Bagaimana? Tangki-tangki di seluruh UIA aku dengar kesemuanya tinggal tiada apa-apa. Bagaimana? Juan memilih untuk mengajak rakan-rakan ke rumah mak cik nya di Wangsa Maju. Tersipu-sipu aku mahu menumpang mandi di rumah orang. Tapi, aku tetap perlu bersihkan diri. Takkan 4 hari aku perlu ke rumah orang? Firs mendesak aku pulang ke Muar. Aku tidak mahu. Baru pulang ke Muar cuti midterm lalu. Tapi, aku memang lemah apabila didesak, aku cepat terpengaruh. Aku pulang ke Muar bersama firs dan din. Bersama kami, dua orang bukan Muar lemek dan usen bermalam di rumah firs. Jauh bukan aku bergerak untuk mencari air apabila ketiadaannya? 206 km nun ke selatan Gombak, di Muar, aku bersyukur dengan air yang melimpah ruah. Di Muar, siapa sangka aku akan menyiapkan kerja aku yang tertangguh sejak cuti midterm yang lalu? Siapa yang menyangka begitu, diingatkan, sangkaan anda tidak betul. Seperti cuti midterm yang lalu. Aku membuang masa. Kalaulah kejadian langgar itu tidak berlaku, dan bekalan air tidak terputus... Mungkinkah aku mampu menyiapkan kerja-kerjaku yang tertangguh?

Aku memang selalu lupa, atau boleh aku katakan lalai. Lalai dengan apa jua yang ada di depan aku kecuali yang berkaitan dengan akademik. Di depan laptop. Anime, game, semuanya boleh kulayan berjam-jam. Di depan gitar. Lagu yang sama tidak jemu aku mainkan berulang kali. Di depan katil. Lalai bersama bantal dan keempukan tilam berkurun-kurun lamanya pun aku boleh tahan. Di depan buku dynamics? Di depan soalan calculus? Paling lama aku boleh bertahan, setengah jam. Kenapa? Kenapa aku menjadi seperti ini? Kalau umur aku 13 tahun sekarang ini, pasti ayah dah membebel tak henti-henti memarahi aku yang menjadi begitu malas belajar. Kenapa aku begitu pasrah dengan kegagalan lalu? Kenapa aku menjadi lupa dan lalai setelah kegagalan itu? 3 perkara telah pergi (alhamdulillah telah kembali kepadaku) dariku dan telah datang 3 perkara lain ke diriku. Perlukah aku menanti sehingga datangnya lagi 2 perkara, baru aku memperbaiki diri aku?? Perlukah aku membiarkan 2 perkara yang masih aku miliki saat ini pergi meninggalkan aku, baru aku memperbaiki diri aku? Orang lain tidak boleh membantu. Mun cakap 'aku cuma boleh teman'. Benar katanya. Aku sendiri yang perlu bukan sahaja sedar, tapi bergerak dan maju ke hadapan. Bukankah 'Jom Ke Depan'? Aku masih dikurniakan masa oleh-Nya. Aku masih bernafas, selagi itu aku perlu bergerak ke hadapan. Yang lalu, jadikan..? Tauladan. Aku perlu berusaha!