Cari Blog Ini

Sabtu, Julai 08, 2006

'Bless In Disguise'

Hari tu baca Berita Harian. Ada kenyataan Ronaldinho (sebelum perlawanan suku akhir menentang Perancis). Katanya 'Mendapat tempat kedua bagi Brazil adalah seperti mendapat tempat tercorot dalam Piala Dunia'. Mereka (Brazil) akhirnya kalah kepada Perancis dalam perlawanan tersebut. Aku tonton perlawanan itu. Sampai minit terakhir pukul 5 pagi. Sanggup aku tak tidur mengharap Brazil sekurang-kurangnya menjaringkan gol penyamaan Thiery Henry lewat babak pertama bagi membawa perlawanan ke masa tambahan. Kecewa. Kecewa dengan persembahan Brazil yang begitu hambar. Mungkin semangat yang ditunjukkan sebelum perlawanan oleh Ronaldinho memang menakjubkan seperti kenyataannya itu. Ada semangat yang mantap, tetapi tewas. Kenapa?

Pepatah melayu ada mengatakan 'USAHA Tangga Kejayaan'. Bukannya 'PANDAI Tangga Kejayaan', ataupun 'SEMANGAT Tangga Kejayaan'. Sebelum ini, aku ada mengikuti kursus BTN peringkat UIA semasa tahun pertama dulu. Dalam salah satu ceramahnya, penceramah, yang juga bekas pensyarah bahasa dan sastera Melayu di UM ada membuktikan bahawa pepatah Melayu banyak betulnya. Beliau mendakwa beliau mengkaji banyak pepatah Melayu dan terbukti pepatah-pepatah itu TEPAT.

Perenggan pertama ada persoalan.
Perenggan kedua ada jawapan.

Ada semangat yang bersemarak macam mana sekalipun, belum tentu boleh membawa kepada kejayaan. Yang penting? Yang penting? USAHA. Ya? USAHA. Semangat? Perlu juga. Tapi, yang pentingnya, USAHA. Mungkin pemain Brazil sudah berkobar-kobar semangat mereka, tetapi usaha mereka tidak mencukupi untuk memenangi perlawanan itu.

Sebelum ini, sejak masuk UIA Gombak, aku sentiasa memperbaharui semangat untuk belajar bersungguh-sungguh setiap semester. Setiap awal semester, ada sahaja janji-janji yang aku angkat dalam hati untuk berjaya dalam semester itu. Ada sahaja teknik-teknik baru yang aku lakukan. Belumpun sampai pertengahan semester, teknik entah ke mana, semangat entah ke mana.

Tiga semester panjang dan dua semester pendek telah kulalui sepanjang di Gombak. Bermula dengan agak baik pada semester pertama di sini, namun CGPA aku jatuh, jatuh dan jatuh setakat ini. Belum ada semester yang mampu mengangkatnya semula. Terbaru, semester pendek yang baru tamat 3 minggu lalu. Seperti biasa, aku berkobar-kobar pada awal semester. Semester itu, aku berangan-angan untuk mendapatkan 4.00 flat yang boleh mengangkat sedikit CGPA. Dengan hanya dua subjek yang aku ambil, aku begitu bersemangat untuk mendapatkan A bagi kedua-dua subjek itu. Dua minggu awal aku masih demam, 'demam semangat'. Minggu-minggu berikutnya 'demam' itu semakin kebah, semakin pulih - belumpun sampai pertengahan semester, aku telah pulih sepenuhnya dari 'demam semangat' itu. Seperti biasa, aku 'demam' semula ketika peperiksaan akhir hampir tiba, di mana semuanya telah terlambat. Keputusannya telahpun keluar awal minggu ini. Dan sekali lagi, CGPA aku jatuh.

Aku anggap kejatuhan CGPA empat kali itu sebagai tragedi. Sesiapapun akan beranggapan seperti ku. Empat kali aku mendapat peluang untuk menaikkan CGPA aku. Empat kali jua aku hanya berakhir dengan menjatuhkannya. Jatuh. Jatuh. Jatuh. Jatuh. Empat kali. Tragedi bukan? Aku menonton siri Misi XX Ray cuti baru-baru ini. Ada satu babak, Nur Aliah Lee yang membawa watak doktor psikologi dalam siri itu berkata 'Jangan menganggap kejadian buruk yang berlaku itu sebagai tragedi. Mesti ada perkara baik di sebaliknya. Anggaplah ia sebagai 'blessing in disguise'...'.

Bless in disguise. Rahmat disebalik kejadian. Empat kali gagal menaikkan CGPA, aku berharap semester kali ini dapat menaikkannya semula. Berharap semester ini aku akan sedar. Aku telahpun sedar, cuma aku harap 'demam semangat' aku tidak akan kebah sepanjang semester ini. Semoga berjaya.