Cari Blog Ini

Selasa, Disember 28, 2010

Sabtu, Jun 12, 2010

Bahagian Ketiga

Oktober

Workstation aku di PPO

Di pejabat, aku diberikan sebuah tugas yang nampak mudah pada awalnya, aku bertungkus-lumus di pertengahannya, dan akhirnya aku berpuas hati dan gembira dengan tugas itu. Tugasnya adalah untuk mengenal pasti dan mengira bilangan rivet dan jenis-jenisnya di bahagian lantai atas dan bawah ekor Boeing 747 di atas drawing sebesar 12 keping A3 yang dicantum-cantum. Senang aja kan bunyinya?

Tapi susah siot. Nak kira rivet satu hal, nak tau diameter dia satu hal, nak tau panjang dia satu hal, nak tau jenis dia satu hal, nak tau yang mana satu yang client minta SMEA buat satu hal lagi. 12 kertas A3 yang tercantum itu aku tampal di dinding, bagaikan penyiasat FBI yang sedang menjejaki penjenayah di peta, aku menanda-nanda drawing itu dengan pelbagai warna. Aku perlu bertemu dengan ramai jurutera lain meminta nasihat. Pak Deni selaku jurutera yang pernah meng-assemble ekor F-16 (literally meng-assemble) semasa di Bandung, Kak Aishah di Sheet Metal Working bagi mengenal pasti sheet metal yang dirivet itu, En Mahzan Assembly Engineer yang membantu aku memberikan bayangan bagaimana proses riveting itu bakal dijalankan nanti.

Besar, komponen itu bakal didirikan lebih dari satu tingkat bangunan. Bos aku pula dah awal-awal cakap, lepas siap kira rivet, aku bakal diberikan tugas untuk menyusun proses riveting bagi projek ini. Aku semakin teruja. Kerana akhirnya, aku berasa sangat selesa dan suka dengan kerja yang diberikan kepada aku. Banyak sangat benda aku belajar, dan banyak lagi benda yang harus dipelajari.

Tapi keselesaan bekerja itu tak lama. Apabila aku menanti kehadiran kegembiraan yang lebih daripada Petronas yang menghubungi aku untuk melapor diri pada 16 November 2009 di PERMATA. Seronok tak terkata ketika itu. . . . . . . . . Memang tak terkata. Hehe. Alhamdulillah.

Aku tender resignation tidak lama selepas panggilan itu. Banyak urusan yang perlu diselesaikan sebelum aku berhenti dengan notis 2 minggu.


November

Antaranya, selesaikan masalah heat treatment dalam projek Hawker Beechcraft. Masalah itu telah ada sejak Hafzil memegang penuh projek itu. Aku membantunya setelah 4 bulan bekerja. Tak banyak yang boleh aku lakukan pun, memandangkan fasiliti yang ada di SMEA ketika itu memang tidak boleh menampung spesifikasi yang klien mahukan. Banyak juga belajar dari projek ini. Tentang besi d
an cara-cara untuk menguatkan besi itu. Secara asasnya, sesetengah komponen kapal terbang yang kritikal dan terdedah kepada vibration dan load yang sangati tinggi, sesuatu perlu dilakukan kepada bahan mentah komponen itu sebelum dan selepas dimesin menjadi bentuknya. Oh. Cukup dengan kata-kata teknikal!

Aku tinggalkan projek itu dengan sebuah laporan penuh tentang perjalanan projek itu yang nampaknya menemui kegagalan demi kegagalan. Akhirnya aku dengar dari Hadi yang juga mengendalikan projek itu dari segi pengurusan, projek itu telah pun dibatalkan oleh CEO.

Di hari terakhir aku di SMEA, aku diraikan dengan jamuan ringkas oleh pejabat aku yang disertai beberapa rakan dari pejabat lain juga. Beberapa jam terakhir di SMEA, aku ke seluruh kilang untuk bertemu dengan seramai mungkin pekerja yang kukenali (sekurang-kurangnya, pekerja yang aku kenal mukanya) dan mengucapkan salam terima kasih, kemaafan, dan selamat tinggal. Sebak juga bila mengucapkannya kepada orang-orang yang sering membantu aku ketika menjalankan tugas. Terima kasih semua di SMEA! Banyak yang aku belajar di situ.

Sebelum Hafzil pulang pada hari terakhir aku itu, aku serahkan kepadanya hasil kerja mengira rivet aku. Hasilnya, lebihkurang 2000 rivet pelbagai jenis diperlukan untuk projek itu. Ini cukup mengajar aku untuk menghargai, betapa jurutera itu bukan hanya duduk di depan komputer dan membuat analisis struktur atau pun design, malah, lebih dari itu. Untuk rivet juga memerlukan jurutera untuk dikira dan disusun. Keduanya, 2000 rivet itu adalah hanya untuk sebahagian kecil lantai atas dan bawah bahagian ekor pesawat. Jadi, keseluruhan pesawat ada berapa rivet? Oh. Sungguh banyak.

Warga PPO di hari terakhirku di SMEA

Terima kasih semua di SMEA yang banyak memberi pendedahan awal dunia pekerjaan kepadaku. Terima kasih juga teman-teman serumah di Bukit Saga, Shah Alam.

Bersambung di Setahun Bekerja, Bahagian Keempat
(Kini dah pun 14 bulan bekerja)

Ahad, Mei 16, 2010

Bahagian kedua

Pada bulan Ogos juga aku telah menghadiri Ujian Penilaian PTD di SMK TTDI Jaya, Shah Alam. Suatu pengalaman yang mengerikan apabila mengenangkan diri perlu duduk seharian menghadap kertas peperiksaan. SPM pun tak dahsyat macam ni, detik hati aku. Kali terakhir aku menduduki peperiksaan rasmi adalah semasa Final Exam di UIA, bulan 11 2008, hampir setahun ketika itu.

Tapi hakikatnya, seronok juga bila tangan tidak henti-henti menulis, mengira, menconteng untuk menjawab soalan. Terdetik lagi, ah, seronoknya jadi student macam dulu-dulu. Haish.

Alhamdulillah, kira-kira sebulan selepas itu, aku dapat tahu aku lulus peperiksaan itu.

Hujung bulan Ogos, seperti yang telah panjang diceritakan di blog ini, aku dan beberapa orang kawan aku telah berkembara Ramadhan di Bandung. Suatu pengalaman yang rasanya tidak jemu-jemu untuk diraih, teringin untuk ke sana lagi untuk kali keempat.

September

Hari Raya Aidilfitri. Apabila pertama kali menyambut Aidilfitri setelah bekerja, perkara pertama yang tertuju di minda aku adalah duit raya yang nak diberi pada sesiapa yang patut. Berapa nak bagi? RM 1? RM 2? RM 5?? Mujur di pejabat aku semasa itu, Kak Ida kerani pejabatku menawarkan untuk menukar wang melalui kakaknya yang bekerja di CIMB Bank. Aku tukar RM 150. RM 50 dan tamba lagi sendiri RM 10 untuk 6 anak buah aku, selebihnya untuk sepupu sepapat yang ada nanti. Sehingga kini, masih lagi ada baki (ramai saudara mara yang tidak dapat pulang ke Muar tahun itu) banyak juga, ada dalam RM 30 macam itu. Boleh simpan untuk tahun ini pulak! Yay!

Balik kampung untuk hari raya. Selama ini dah berpuluh kali aku balik kampung, termasuk 3, 4 kali balik beraya di kampung menaiki kereta aku dari KL. Tapi kali ini, sungguh terasa seperti suasana di dalam lagu Sudirman, 'Balik Kampung'. Mungkin kerana ini pertama kali aku balik kampung betul-betul sehari sebelum hari raya. Semangat.

Semangat di mana pada awalnya aku bertekad mahu pulang seawal jam 3 pagi bagi mengelak kesesakan. Tapi akhirnya aku tertidur malam itu, dan terjaga jam 5 pagi. Jam 6.30 pagi aku solat Subuh di Masjid Sg Ramal Dalam setelah menagih perhatian Nadiah untuk menyiapkan 80 biji muffin coklat sebelum Subuh itu. Berkain pelekat Juan keluar pagi-pagi buta itu untuk menyerahkan muffin yang masih panas yang aku tempah buat disajikan di rumah sempena hari raya. Terima kasih banyak la yeh. Tahun ni boleh tempah lagi. Or is it? Ke, tahun ni tak payah nak tempah, sebab ada orang pun boleh buat.... lagi sedap?? Haaa.

Dengan keadaan hujan renyai-renyai mengiringi separuh perjalanan aku hari itu, terasa sungguh teruja hendak pulang ke kampung halaman. Alhamdulillah, keadaan ketika itu tidak terlalu sesak, malah lebih seronok dari biasa memandu sambil melihat kenderaan di kiri dan kanan, ada yang bekeluarga, ada yang dengan anak-anak kecil, ada yang pasangan muda, ada juga yang bujang keseorangan, semuanya dengan satu matlamat murni - pulang beraya bersama keluarga. Oh, sungguh berbeza pengalaman pulang beraya ke kampung kali ini!

Di hari raya pula, seperti tahun yang sebelumnya, hanya satu soalan yang kerap ditujukan kepada aku, 'Bila lagi?'. Haish. Aku hanya menjawab dengan senyuman...

Pulang kembali ke Shah Alam, aku mendapat panggilan dari nombor KLCC. Oh, mereka memanggilku untuk menghadiri Structured Interview (SI), susulan daripada Technical Interview yang telah aku hadiri lebih 5 bulan sebelum itu. Alasan apa lagi mahu aku beri pada bos aku untuk cuti interview? 'Urusan di pejabat kerajaan'. KLCC ada pejabat kerajaan juga kan? Huhu!

SI terdiri daripada Case Study seperti biasa, dan Role Playing di mana kita perlu berlakon mengikut beberapa situasi yang diberikan, contohnya berlakon sebagai Manager yang mengendalikan masalah pekerja di bawahnya. Setelah SI, diberikan pula sekeping kertas untuk ditulis esei tentang kejayaan/kegagalan yang kita pernah alami. Dan selepas itu, aku duduki sekali lagi ujian online yang pernah aku duduki sebelum ini dari rumah, tapi kali ini, di bawah pemerhatian pemeriksa.



Bersambung.

Rabu, April 07, 2010

Setahun Bekerja

Bahagian 1

1 April lalu genap setahun aku bekerja. Walaupun singkat, pelbagai kenangan telah aku lalui. Bak kata Chief (gelaran yang diberi kepada penyelia pejabat aku di SMEA, En Akram) 'You are all more of family to me than my own family. I spend 2/3 of my day in the office with you guys,'. Memang betul. Dari pagi hingga ke petang, dan banyak juga hingga ke malam kita bekerja di pejabat. Itukah kehidupan kita yang dicari-cari sejak dulu? Yang masa di universiti dulu kita bertungkus-lumus belajar? Tak tahu?

Apa-apa pun, saja aku nak sorotkan apa yang telah aku lalui sepanjang setahun bekerja ini. Jom.

April 2009.

Hari pertama bekerja. Takut. Tak dapat nak bayangkan apa yang akan aku lalui selepas bergelar 'jurutera' ini. Memang itu cita-cita aku sejak darjah 1 - jurutera. Tapi aku memang tidak ada banyak idea akan apa yang bakal aku lakukan sebagai Jurutera Perancang Proses di SMEA, kilang memproses komponen kapal terbang di Sungai Buloh.

Sebelum hari melapor diri itu, aku tercari-cari, oh, di mana patut aku menginap sepanjang aku bekerja di Sungai Buloh nanti? Tercari-cari aku bilik kosong di Damansara Damai. Ada. Murah. Tapi takut jugak. Orang tak kenal. Tempat tak biasa. Macam mana nih?

Mujur ada kawan-kawan seperjuangan di UIA dulu duduk serumah di Shah Alam, kira-kira 30 km dari SMEA. Kenal lama. 30km pun 30 km lah, detik hati aku. Terima kasih warga rumah Taman Bukit Saga yang telah memberi tumpang aku selama 6 bulan.

Berbalik kisah di pejabat. Alhamdulillah, aku telah ditempatkan di Process Planning Office (PPO) di mana semua pekerjanya sangat-sangat hangat dan peramah. Tak perlu lama aku untuk menyesuaikan diri di pejabat itu. Aku berasa selesa.

Hari ketiga bekerja, aku ke Bangi - menghadiri temuduga di PRSB. Tempat aku bekerja sekarang. Masa itu, aku sendiri tidak tahu bagaimana peluang aku untuk bekerja di PRSB.

Minggu keempat bulan April aku sekali lagi menghadiri temuduga kerja (kita dah dapat kerja baru orang lain nak interview kita kan?). Kali ini di ADC. Aircraft Design Centre. Dari websitenya aku faham yang ADC ini menawarkan perkhidmatan analisis struktur bagi ubahsuai pada pesawat. Aku meminta bantuan Lemek yang berkerja di CAE (Computer Aided Engineering) Proton yang sememangnya bidang tugas Lemek. Lemek dengan penuh minat mengajar aku, malah memberi pinjam aku buku teksnya pada malam sebelum aku temuduga yang entah bila sempat ke tak aku nak membacanya.

Hari temuduga, adalah hari bersejarah, kerana temuduga itu adalah yang paling ringkas dan pantas pernah aku lalui - sepuluh minit. 10 minit. Temuduga bersama CEO ADC. Aku rasa bila dia melihat aku telah pun bekerja di SMEA (yang merupakan sister company dengan ADC), CEO itu terus tidak berminat nak mengambil aku. Agaknya lah. Selepas memperkenalkan diri masing-masing, aku ditanya mengapa aku berminat nak bekerja di ADC, temuduga diakhiri dengan soalan dibuka kepada aku dan aku pun setelah bertanya sedikit sebanyak, dah tak tahu nak tanya apa lagi. 10 minit. Itu sahaja.

Hujung bulan April, tatkala aku masih terkial-kial mencari rentak menyiapkan tugas-tugas RFQ (Request For Quotation) aku, aku diserang demam teruk. Demam viral, kata doktor. Aku sangat risau, gundah gulana. Yalah, masa itu sedang hangat isu penularan wabak H1N1. Siapa tak risau kalau masa tu kena demam teruk? Aku disuspek denggi. 3 hari aku MC, terlantar di rumah Bukit Saga. Nasib baik jugak ada Astro, tak la kebosanan. Alhamdulillah, setelah diperiksa darah aku, demam itu hanya demam viral biasa.

Mei 2009

Gaji pertama. Seronok juga ya dapat duit sendiri. Apatah lagi bila tengok di ATM duit anda adalah sebanyak 4 digit. Wah!Alhamdulillah.

Aku semakin mula merasa seperti berada di dalam keluarga di PPO. Walaupun kadang-kadang aku agak bosan dengan kerja aku menyiapkan RFQ, tapi setiap hari aku tidak sabar untuk ke pejabat kerana dapat bersama dengan rakan-rakan sekerjaku. Macam masa di sekolah dulu, seronok nak ke sekolah sebab boleh main-main. Macam itulah rasanya. Alhamdulillah.

Jun 2009

Dipanggil temuduga sekali lagi. SCOMI, propulsion engineer. Tempatnya adalah di ibu pejabat SCOMI di Bangunan Shell di Damansara Utama. Aku memang tak reti nak ke sana. Sesat teruk. Aku akhirnya lambat 40 minit tiba. Malu. Penemuduga dari HR SCOMI dah pun meninggalkan bilik temuduga. Hanya juruteranya sahaja yang menunggu aku. Soalan-soalan sangat teknikal. Nyata aku perlu memerah otak aku untuk mengingatkan kembali asas-asas elektrik, statik dan dinamik ketika tahun pertama di universiti dulu. Alhamdulillah jurutera itu berpuas hati dengan aku. Tapi nyata first impression aku - datang lambat; tidak akan memberi impresi yang sempurna. Tiada jawapan sehingga sekarang - boleh dianggap gagal.

Aku dah masuk bulan ketiga bekerja. Tapi aku masih merasa ketinggalan. Aku takut. Takut tak dapat menepati sasaran bos aku. Kadang-kadang aku rasa, betulkah Puan Zuraida memilih aku? Sesuaikah aku bekerja di kilang pembuatan ini yang mementingkan membuat keputusan pantas?

Walaupun aku belum lagi setakat ini turun ke line production, tapi aku dah terasa bahangnya bila kadang-kadang ada masa aku mengikut senior-senior ke meeting-meeting, memeriksa komponen dan sebagainya. Dimarah, dituduh, ditengking, disuruh, macam-macam. Ah, aku harus cepat bersedia!

Julai 2009

Pertama kali keluar bersama rakan sekerja hujung minggu - menonton Man U menentang Malaysia di Bukit Jalil. Seronok. Macam ni rupanya keluar dengan officemate, detik hati ku.

Kadang-kadang waktu rehat tengahari, makan juga bersama di luar. Tapi biasanya aku memilih untuk makan pagi di pejabat. Itu tradisi PPO, terutamanya bagi kakak-kakak kerani. Pukul 9.45 pagi - 10.00 pagi adalah waktu rehat SMEA. Biasanya itu waktu yang ditunggu-tunggu setiap hari. Jam 9.20 pagi hati dah mula malas nak buat kerja. 9.30 pagi kepala mula memanjang-manjang menjenguk workstation orang lain sambil mengangkat kepala tanda bertanya 'Gi kantin tak?'.

Tapau dan makan berjemaah di dalam PPO. Biasanya tempat Syakilla. Kadang-kadang tempat Kak Ida. Tarik kerusi buruk beramai-ramai, kadang-kadang tak muat nak duduk, duduk atas meja. Ada yang bawa bekal sendiri. Ada yang beli di luar semasa datang kerja tadi. Aku pun kadang-kadang bawa bekal - roti telur goreng di rumah Bukit Saga. Makan sambil bergosip-umpat sana sini. Selalunya Arni dengan Ita tak habis. Hafzil dan aku suka habiskan. Aimi pula jarang sekali terlepas bawa bekal ibunya dari rumah, setiap hari makanan menarik. Wah. Mat Kentang, mereka panggil aku sebab aku suka ambil kentang bekal Aimi. Sedap gile. Kadang-kadang sampai ke 10.30 pagi hingga boss-boss lain datang lalu menjenguk, baru nak berhenti.

Itulah makanan kami hingga ke petang. Tengahari kami rehat. Tidur. Melayari internet. Duduk bersandar.

Jam 1.45, maka mulalah kembali kerja menyiapkan RFQ (masih lagi, saat itu. Belum ke bidang tugas yang lain bagi aku sehingga ke petang.

Ogos 2009

5S. Selalu melihat poster-poster 5s di pejabat aku. Aku cuma tau yang 5S bertujuan memastikan perjalanan kerja yang lancar dengan mengekalkan tempat kerja yang bersih. Saat ini, pengurusan SMEA sedang bertungkus-lumus cuba memberi wajah baru kepada SMEA. Mereka bermula dengan 5S.

Aku antara angkatan awal yang dipanggil untuk mengikuti kursus Toyota Production System. Kursus yang menyedarkan betapa pentingnya mengamalkan 5S dalam menjana keuntungan syarikat. Aku masih ingat contoh mudah yang diberikan; seorang pekerja tertumpah beberapa titis minyak pelincir di atas lantai. Tiada siapa yang membersihkannya. Pekerja lain datang dan memijak minyak itu. Kotoran minyak tersebar. Datang pekerja lain pijak. Makin tersebar. Datang pekerja lain pijak, tergelincir jatuh. Akibat: Orang cedera; ambil masa nak membersihkan. Kan bagus kalau lepas tumpah terus bersihkan?

Contoh lain; Aku nak ke meeting dengan Business Development membincangkan RFQ Airbus. Aku perlu membawa dokumen yang diterima dari Airbus. Ada 5 fail di depan aku. Tiada label. Aku terpaksa mencari satu persatu. Aku menghabiskan masa setengah jam mencari tak jumpa. Rupanya dokumen itu pada orang lain. Akibat: membuang masa setengah jam; perjalanan dokumen tak diketahui. Kan bagus kalau ada label, dan borang yang membolehkan kite mengetahui ke mana dokumen itu pergi?

Bulan Ogos juga aku menempuh Ramadhan pertama kali sebagai pekerja. Seronok juga. Balik awal setengah jam (di atas kertas. Hakikatnya balik macam biasa juga. Ya lah, awal lah sedikit dalam 10 minit). Berbuka beramai-ramai di rumah Bukit Saga, teringat berbuka beramai-ramai di universiti dulu. Mana lagi beli makanan kalau tak di bazaar Ramadhan. Sana sini bazaar kami cuba di sekitar Shah Alam. Kadang-kadang masak juga di dapur. Sedap ke? Sedap tak sedap, yang pasti habis juga. Hehe.

Bahagian 1 berakhir di sini...



Ahad, Januari 10, 2010

Kerja dan Kehidupan Seharian

Bulan Januari 2010 ini adalah bulan kesepuluh aku dalam bidang kerjaya. 7 bulan setengah di SMEA, dan memasuki 2 bulan setengah di PRSB. Dunia kerjaya tak seindah seperti yang aku impi-impikan semasa aku masih di universiti. Aku saat itu hanya impikan saat-saat indah menerima gaji. Saat-saat indah menimba pengalaman dan ilmu. Aku masa itu belum lagi memikirkan jerit perih menyelesaikan masalah. Belum memikirkan bebanan kerja yang sangat banyak seperti memegang tiga projek sekali gus. Belum memikirkan keadaan mendesak di sana sini yang mahu kerja disiapkan segera seperti 'Siapkan kerja sekarang!'. Aduh. Banyak betul cabarannya.

Tapi, itulah kehidupan kerjaya. Dua syarikat aku telah dan sedang lalui. Secara kasarnya, hidup yang dilalui sama sahaja. Pagi ke pejabat seawal antara jam 7 - 7.30 pagi. Menjalani kerja di pejabat sehingga jam 6 ataupun 7 petang. Pulang ke rumah hari dah pun gelap. Bersihkan diri, solat, makan, jam dah pun pukul 10 malam, dah tiba masa untuk tidur. Begitulah sehari-hari selama 5 hari seminggu.

Sabtu, biasanya diisi dengan tidur sehingga tengahari, kononnya balas dendam tidur kurang 5 hari bekerja. Petang, aktiviti membasuh baju, mengemas apa yang patut. Malam, berehat, menonton movie kalau ada. Ahad, keluar ke mana yang dirasa patut, melihat alam dan orang, sekali dalam seminggu itulah masanya.

Nah, itulah kehidupan aku seharian sepanjang 10 bulan ini. Sangat orang kata, 'tak ada live', kan? Itu sebab aku kadang-kadang akan ajak teman-temanku untuk makan bersama, berborak apa-apa, bagi melengkapkan tanggungjawab sosial, sekaligus menghilangkan rasa bosan minggu itu. Teman AeroAwesomeness, selalunya malam hari kerja seperi Rabu. Teman serumah dulu di Shah Alam biasanya hujung minggu. Kini nak mula ajak teman-teman UIA di Bangi-Kajang pula.

Itu tanggungjawab sosial. Bagaimana dengan tanggungjawab untuk melihat alam dan berfikir? Bagaimana dengan tanggungjawab untuk memenuhi ilmu selain ilmu kerjaya di dalam dada? Aku rasa, 2 minggu sekali aku perlu lapangkan minda, melihat alam, melihat hijau. Dan sekali sekala, perlu mencari ilmu, yang dulu selalu aku cari semasa di universiti. Menunggu jadual kuliah-kuliah di surau-surau Bangi dari Juan dan Nadiah masih belum kunjung tiba. Bila lagi nak mula ke kuliah itu? Ayuh kita mulakan!

Sekali sekala perlu tengok alam, tengok sekeliling. Dapat tenangkan hati. Dapat lapangkan minda. Dapat pahala.


Sabtu, Januari 09, 2010

Masa

Semalam sekitar jam 6.30 petang aku pulang ke rumah dari pejabat melalui Jalan Sungai Ramal Dalam. Hujan renyai-renyai. Baru sebentar tadi hujan lebat dan ribut. Keadaan jalan yang sempit itu sangat sibuk. Orang ramai berpusu-pusu pulang ke rumah dari tempat kerja. Dalam kesesakan itu, aku nampak seorang budak sekolah. Kecil saja badannya. Berjalan kaki di pinggir jalan raya sambil cuba mengelak kereta-kereta yang melalui di sebelahnya, maklumlah, jalan sempit. Dengan beg sekolahnya yang kelihatan lagi besar darinya, dengan baju yang basah dek hujan renyai. Kesian budak tu, detik hati aku.

Aku teringat dulu sewaktu kecil, aku juga seperti itu. Teringat dulu di Sekolah Ismail Dua, selalu Mak akan jemput aku pulang dari sekolah. Kadang-kadang, Mak ada meeting, dan terlupa nak beritahu aku yang dia akan jemput aku lewat sedikit, aku akan jadi tak keruan. Mana Mak ni? Mak lupa nak amek ke? Aku jadi cuak. Lebih cuak bila di sekolah dah tak ada budak lagi, semua dah balik. Satu saja perkara yang aku akan lakukan masa itu - berjalan kaki. Nak ke mana? Sekolah itu jaraknya 5 km dari rumah aku. Huh. Aku akan berjalan kaki ke sekolah tempat Mak mengajar - Sekolah Kebangsaan Convent. Jaraknya? Aku pun tak pasti, sebab setakat ini aku belum pernah berjaya jalan kaki ke sekolah itu kerana dalam perjalanan, pasti akan kelihatan Proton Saga '87 milik Mak berhenti di depan aku untuk menjemput aku.

Itu adalah 16 tahun dahulu. Tak sangka dah 16 tahun berlalu. Terasa masih segar dalam ingatan. Peluh menitis di dahi berjalan tengah panas ke Sekolah Convent itu masih terasa. Kini aku dah lama tak berpeluh. Jalan kaki pun kurang. Padanlah gemuk. Geleng kepala.

Macam-macam dah yang berlaku sepanjang 16 tahun itu. Terbaru, masuk ke tahun baru 2010. 31 Disember 2008 yang lalu aku sedang berada di bilik aku di UIA. Masih terkapai-kapai nak menyiapkan FYP yang tak kunjung tiba ke penamat, ketika itu. Aku tak kisah pun pada malam tahun baru 2009 itu, seperti bagi sesetengah orang lain, mereka perlu meraikan malam itu. Sama seperti tahun baru 2010 yang lalu. Aku seperti tiada apa. Hampir seperti hari-hari biasa yang lain. Perlukah aku kasihan pada diri sendiri? Aku pun tak tahu. Yang aku tahu, esok adalah sepatutnya menjadi hari yang lebih baik untuk aku, tak kira apa.

Terbaru lagi, isu kalimah Allah yang mahu digunakan oleh pihak gereja. Aku tak tahu secara mendalam apa tujuan sebenar mereka mahu menggunakan kalimah suci itu. Bagi aku, dulu pernah ke kursus Comparative Religion, belajar yang Allah adalah tuhan kepada seluruh umat manusia. Yang menjadikan Islam itu agama benar adalah aqidah kita percaya yang Allah itu Maha Esa. Aku kecewa bila dengar ada orang buat kenyataan di TV 'Allah adalah eksklusif untuk orang Islam'. Mungkin die tak bermaksud sedemikian.

Tapi, entahlah. Apa niat sebenar pihak gereja nak gunakan kalimah suci itu, aku pun tak pasti. Kalau tiada apa niat kotor, bagi aku, tak ada salahnya, malah, kita akan menemui perkara yang serupa dalam kedua-dua ajaran agama ini seperti semasa Raja Kristian Habsyah menyelamatkan golongan hijrah muslim, sedar agama yang dianutinya sendiri dan agama Islam adalah 'seperti satu sumber cahaya yang dipisahkan oleh dua lubang'. Kalau nak katakan kita takut generasi muda kita nanti keliru, kita tanya balik pada diri kita, kenapa kita perlu takut kalau kita selama ini dan tanamkan aqidah dan kepercayaan kepada anak-anak sejak kecil lagi? Kita orang Melayu cepat sangat melatah dengan perkara yang kita sendiri tak perlu takut. Kita cepat sangat menuduh meluru dan merusuh tanpa usul periksa dan tanpa memikirkan apa langkah bijak yang boleh kita ambil.

Tapi kalau ada niat kotor seperti nak memburukkan nama Allah, dan sebagainya, perkara ini harus dilarang dan ditentang. Pemimpin agama Islam negara harus bersikap tegas. Perkara ini memang tidak boleh dibiarkan dan harus disiasat. Pokoknya, kita harus bertindak berdasarkan fakta, bukannya berdasarkan perasaan memberontak.

Mungkin pendapat tiga pihak berikut dapat menjelaskan lagi apa yang harus difahamkan dan dilakukan:

  1. Allah untuk semua!
  2. ISNA Commends Malaysian Court Ruling that Affirms Religious Freedom of Christians
  3. Isu Nama Allah: Garis Panduan Penggunaan Nama Allah

Itu cuma pendapat aku. Mungkin salah, mungkin betul. Aku bercakap berdasarkan apa yang aku belajar dan fikir. Mungkin dulu pendapat aku lain. Mungkin masa depan nanti pendapat aku lain. Masa memberi banyak ruang kepada kita untuk menambah ilmu, menambah pengalaman. Gunakanlah semua itu dengan baik.

Oh, sudah masuk waktu Maghrib. Lebih baik aku solat dahulu. Jom!