Cari Blog Ini

Khamis, Jun 22, 2006

Emel Untuk Awak II

Lama sudah tidak menulis Emel Untuk Awak.

Kali ini pengalaman ke konsert pula ingin saya ceritakan, di sebalik kisah ke perkampungan orang asli di Kg Susu, Cameron Highlands, yang tidak perlu lagi saya ceritakan kerana telahpun puas awak dengar dari saya. Mungkinlah terlalu menarik sehingga tidak boleh diceritakan di sini? Oh.. tak mungkin. Paling tidakpun, akan saya ungkit kembali kisah pengalaman saya di Kg Susu dalam masa hadapan, mungkinlah kisah hadapan ada perkara yang boleh dikaitkan dengan Kg Susu? =)

Kisah saya kali ini bermula lewat pada hari itu. Saya ditinggalkan rakan-rakan lain dan saya bertolak sendirian ke PWTC kira-kira pukul 5 petang. International Islamic Fair 2006 telah berlangsung di situ sepanjang hujung minggu. Tiba di PWTC saya seolah-seolah berada di Hari Terbuka sebuah sekolah agama. Lebih separuh pengunjung lelaki berkupiah. Lebih tiga suku pengunjung hawa bertudung labuh. Sejuk mata saya sepanjang di pesta itu =)

Saya meninjau-ninjau sekitar pameran yang diadakan. Pelbagai firma berteraskan agama Islam mempamerkan keluaran masing-masing. Walau bagaimanapun, tidaklah nampak 'international' di pameran ini, pabila hanya ada dua, tiga gerai adalah dari luar negara, yang lainnya, gerai orang-orang Malaysia belaka.

'International' yang dikatakan itu mungkin terletak pada persidangan-persidangan yang diadakan. Banyak disertai oleh apa yang bahasa Inggeris sebut sebagai 'scholars' Muslim mahupun bukan Muslim dari seluruh dunia.

Pukul 8.15 malam. Saya, Firs dan Acap menuju ke Dewan Merdeka, tempat berlangsungnya konsert 'Sound of Islam' sempena dengan pameran antarabangsa itu. Di tingkat 3 PWTC. Kelihatan orang mula mengerumuni pintu masuk utama ke Dewan Merdeka. Rupanya, pintu masuk itu adalah untuk mereka yang memegang tiket RM200, di mana mereka akan dihidangkan makanan sambil menikmati alunan suara-suara persembahan nanti.

Kami perlu ke tingkat lebih atas, di tingkat 4 untuk masuk ke Dewan Merdeka, di mana kami tidak akan dihidangkan dengan apa-apa, kecuali santapan rohani yang akan dipersembahkan tidak lama selepas itu.

'Free Seating' kata urusetia yang bertugas di pintu masuk di tingkat 4. Kami berpeluang untuk duduk betul-betul menghadap pentas di tengah-tengah bahagian belakang, atas dewan. Tempat duduk yang jauhnya dalam anggaran 50-70 kaki..? Lebih kurang. Apa yang ingin saya katakan pada awak, muka penyanyi nanti akan pasti tidak dapat saya lihat dengan jelas. Tetapi dengan bantuan 3 skrin gergasi, dua di kiri dan kanan pentas, dan satu lagi di atas pentas, saya dapat menonton seperti apa yang akan dipertontonkan di TV9 tidak lama lagi (menurut maklumat yang tak pasti kesahihannya - siaran konsert di TV9). Mungkin awak tertanya-tanya, lebih baik saya tonton sahaja di TV nanti, tidak payah susah payah ke PWTC, membeli tiket RM50 untuk menonton persembahan yang sama sahaja dengan menonton tv sebab tak dapat nak duduk di hadapan sekali.

Mungkinlah bagi saya berbeza. Apa yang ditonton di tv dan apa yang saya RASA di situ. Suasana amat berbeza. Apabila penghibur nasyid tanah air kita, Raihan memulakan persembahan malam itu, rentak dan rythem muzik amat terasa. Menusuk ke dalam jiwa dan menggegarkan hati dan jantung. Rentak irama rancak 'percussion' yang dimainkan Steve Thornton membuatkan tangan saya menepuk-nepuk peha saya sambil mulut mengikut lirik-lirik lagu Raihan.

Raihan tidak hadir dengan Nazrey, penyanyi utamanya, atau boleh sekarang dipanggil, bekas penyanyi utama. Nazrey kini telahpun keluar dari Raihan. Dan digantikan oleh penyanyi utama kumpulan nasyid AlarmMe. Pada mulanya saya tidak menyedarinya kerana suaranya dan rupa dan tubuhnya seiras Nazrey.



Cheb Ali menjadi penghibur seterusnya. Satu-satunya penyanyi yang amat rancak pada malam itu dengan lagu-lagu Arab padang pasir. Semua lagunya adalah dalam bahasa Arab, tetapi, penyanyi Mesir itu bangga menceritakan perihal lirik lagu-lagunya. Antaranya, lirik mempertahankan Nabi kita apabila isu karikatur nabi mncetus kemarahan umat Islam dunia, 'bijaklah apabila memilih'.. tak pasti memilih apa yang dimaksudkan dalam lagu itu..(hee) dan banyak lagi.

Seterusnya Zain Bikha. Penyanyi dari Afrika Selatan yang agak terkenal juga di kalangan kami. Lagu-lagunya semua menenangkan. Mungkinlah disebabkan suaranya yang begitu lembut menjadikan lagu-lagunya mendamaikan. Sedikit kontra juga sebab baru sebentar sebelum itu lagu-lagu Cheb Ali yang rancak, disusuli pula dengan lagu tangkap menangis Zain Bikha =) Sedap lagu-lagu Zain. Persembahan secara langsungnya juga amat tidak mengecewakan. Saya amat berpuas hati.

Yang ditunggu-tunggu, Dawud Wharsnby Ali menjadi penyanyi terakhir membuat persembahan malam itu. Mula-mula saya agak terfikir, bagaimanakah Dawud akan menyanyikan lagu-lagu nya, kerana setahu saya, lagu-lagu dawud tidak ada percussion, bahkan suara-suara latar dalam lagunya, semuanya adalah suara Dawud sendiri. Persoalan terurai sedikit apabila Dawud dan Zain berduet menyanyikan dua buah lagu baru Dawud. Dengan Dawud memetik gitar sambil dialuni alunan muzik piano yang dimainkan rakan Dawud (saya tak ingat namanya). Baru saya sedari yang Dawud telah mengeluarkan album baru, yang saya rasa akan ada muzik kali ini dalam lagu-lagunya seperti gitar yang dimainkan sendiri oleh Dawud dan piano yang dimainkan oleh rakannya itu. Apapun, dua lagu duet itu menjelaskan kehebatan vokal kedua-dua penyanyi itu tidak boleh dinafikan, serta keindahan lagu-lagu itu tiada siapa boleh pertikaikan.

Apabila Zain turun dari pentas meninggalkan Dawud keseorangan, tanpa seorang pun dibelakang instrumen dan percussion, dan tanpa seorang pun dibelakang mikrofon penyanyi latar, telah menjawab persoalan saya - bagaimana Dawud akan menyanyi? Lagu 'Dust, Sunshine and The Messenger' didendangkan Dawud. Tanpa alunan muzik. Hanya suara Dawud yang kedengaran ketika itu. Penonton-penonton tiket RM 200 yang sedang enak makan, menghentikan seketika makan dan semua mata terpaku pada Dawud. MasyaAllah, sungguh senyap ketika itu (sebelum ini bunyi sudu dan pinggan berlaga kedengaran sepanjan konsert, sakit hati juga saya kadang-kadang.. bising.. isk). Hanya suara Dawud. Hanya suara dia bergema.

Lagu terakhir Dawud, 'Why Are The Drums So Silent?' membuatkan penonton bertepuk mengikut rentak. Dan akhir sekali, semua penyanyi malam itu naik ke pentas untuk menyanyikan Selawat dalam rentak lagu yang dipopularkan oleh Raihan. Semua orang mengikut berselawat. Semua orang bertepuk mengikut rentak. Semua orang gembira bernyanyi bersama.

Konsert berakhir pada jam 12.


Kemudian kami menunggu di luar pintu masuk utama. Kami bertemu penyanyi Imad dan berbual dengannya. Bergambar dengan Cheb Ali. Bertemu dengan seorang jurnalis Amerika Syarikat yang di culik Taliban di Afghanistan yang akhirnya memeluk Islam. Beliau antara yang menyertai persidangan awal hari itu. Ramai lagi yang ada, antaranya orang yang terakhir keluar daripada WTC NY sebelum menara itu runtuh, ahli bomba yang membantu menyelamat mangsa petaka WTC NY, dan ramai lagi.


Masuk ke dalam Dewan Merdeka semula selepas itu, kami bertemu Zain. Sebelum itu beliau sibuk melayan peminat, tapi akhirnya dapat juga mendapatkan beliau. Tak sangka antara topik perbualan kami dengan Zain Bikha adalah tentang perkembangan Piala Dunia yang sedang berlangsung =) Bertemu Dawud yang sentiasa dikerumuni peminat. Dan bertemu Raihan. "Bila pulak nak jemput Raihan pegi UIA? Balik-balik jemput Inteam.. Unic.. Jemput lah abang pulak.." gurau abang penyanyi utama baru Raihan =) Lama juga berbual dengannya, awak nak tahu, abang tu juga bekas pelajar UIA, banyak bercerita fasal UIA dengannya masa itu.

Kami pulang pada pukul 1 pagi. Penat, tapi puas dan seronok =)

Tiada ulasan: