Cari Blog Ini

Sabtu, Januari 14, 2006

Juang Salina Ibrahim
Arjuna Hati Norzailina Nordin
Jibam Ujang
Enrique Mengundang Jauh HM Tuah Iskandar
ADAM Ramlee Awang Murshid

Kedudukan terbaru lima novel Melayu terbaik yang pernah aku baca. Yang terbaru 'Juang' hasil karya Salina Ibrahim. Nak tahu sejak bila aku mula baca novel ini? Semasa di tingkatan 2 di Maahad Muar. Hehe. Percaya? Betul. Tak tipu. Mula kenal dengan novel ini ketika menyelak majalah Dewan Siswa edisi April 1999. Berada dalam slot Novel Bersiri, 'Juang' menampilkan kisah yang menarik dengan mudah dan bersahaja. Plotnya pantas tapi padat, tiada yang tidak perlu di dalam isinya. Masa itu, pertama kali aku berniat hendak baca slot bersiri itu. Sebelum ini memang tak berminat nak baca. Tapi niat aku tak sia-sia. Inilah novel yang ku cari-cari selama ini, detik hati aku. Oleh kerana aku hanya melanggan Dewan Siswa melalui sekolah, maka apabila mula cuti sekolah, November hingga Februari aku terlepas siri novel Juang. Ditambah pula dengan cuti pertengahan semester sekitar Mei dan September. Selepas itu aku sudah tak berminat nak menyambung semula siri-siri seterusnya.

Semasa di matrikulasi UIA, aku teringat kembali novel Juang yang banyak melakar kisah suka duka seorang siswi UM. Aku cuba mencari himpunan Dewan Siswa di perpustakaan, tetapi hasilnya tidak seperti yang kuharapkan. Samada aku yang tak reti cari, ataupun memang tiada dalam simpanan. Kulupakan hasratku untuk membaca semula Juang.

Setelah setahun melanjutkan pelajaran di kampus utama UIA di Gombak, aku terkenang kembali Juang. Pasti ada di sini! Aku begitu yakin. Dan keyakinan aku telah menyokong hakikat betapa himpunan Dewan Siswa sejak edisi 1990an sehingga terbaru 2003 ada tersimpan di perpustakaan di sini. 1999, himpunan edisi pertama yang kugapai. April 1999. Edisi demi edisi kuselak sehingga Februari 2000 di mana tamatnya Juang. Baru semalam aku habiskan membaca Juang.
Juang memaparkan kisah seorang siswi bidang perundangan di UM, Aina. Suasana sekitar menara gading yang ditimbulkan dalam novel ini nyata hidup. Kesibukan sebagai seorang siswi yang aktif dalam bidang ko-ku menjadi latar cerita dengan tema persahabatan dan perasaan menjadi isu utama. Kisah Aina sebagai anak bongsu dari empat adik beradik dalam keluarga tanpa ibu kandung walaupun menjadi kisah selingan, kisahnya tetap menarik. Persahabatan Aina-Aryani yang akrab, perselisihan dan salah faham Aina-Aryani juga Aina-Farid, kisah kekeluargaan Aina yang turun-naik, isu-isu kampus, karenah siswa-siswi sekitar yang lain, semuanya diadun dengan bahasa yang mudah dan bersahaja.

Ada kritikan dalam novel itu yang kena tepat pada batang hidung aku. Ada juga kisah yang seakan sama dengan apa yang aku sendiri hadapi, samada sebagai seorang ahli keluarga mahupun seorang mahasiswa universiti, mahupun sebagai seorang kawan. Mungkin itu yang membuatkan aku begitu sukakan Juang. Maka dengan yakin, aku menolak Arjuna Hati, kisah epik sebuah keturunan Melayu di England, ke tempat kedua. Juang. Aku dapat merasakan, Juang akan memberikan impak dalam hidup aku sebagai seorang anak, seorang kawan dan seorang siswa.

Tiada ulasan: