Kembara Ramadhan di Bandung
Lima hari di Bandung semasa Ramadhan hari itu terasa sangat padat dan penuh dengan aktiviti. Pagi pukul 7 dah pun keluar, balik malam dah pun waktu berbuka, setiap hari. 'Capek (penat), tapi bahgia, kan?' kata Adan.
Hari pertama kami tiba pagi pukul 10.30 pagi waktu Indonesia Barat (WIB). Khabarnya Juan dan Nadiah yang telah tiba sehari lebih awal telahpun sedang di Pasar Baru sendirian menaiki angkot, atas tunjuk ajar Adan. 'Wah, laju betul die orang nak shopping,'. Tiba di asrama Salman, Institut Teknologi Bandung di sebelah utara bandar, kami di bawah ke lantai tiga, tempat aku dan dua rakan yang lain tinggal semasa program pertukaran pelajar di sini dua tahun dulu. Sangat rindu dengan tempat ini. Suasananya. Persekitarannya. Sampaikan baunya pun dapat menggamit.
Tengahari itu aku membawa rakan-rakan aku yang sebahagiannya baru pertama kali ke Bandung, melawat sekitar kampus ITB. Diperkenalkan dengan Mukmin, pelajar Malaysia yang sedang menuntut ilmu farmasi di ITB ini. Kelmarin dua tahun lepas Mukmin masih belum ke ITB lagi. Alhamdulillah, bertambah lagi kenalan.
Berjalan di kampus bersama Mukmin
Menuju petang, kami ke Dago Bawah, melawat Gedung Merdeka, satu lagi gedung FOS, dan juga ke pasaraya BIP (Bandung Indah Plaza) membeli bekalan air mineral sepanjang kami lima hari di Bandung.
Di dalam angkot Kalapa-Dago menuju ke BIP
Nadiah tenang duduk di hujung pintu angkot yang sedang bergerak menikmati suasana di Kota Bandung
Malam itu kami berbuka puasa western. Cadangnya nak ke Javan Steak, tapi oleh sebab masalah tempahan, kami terpaksa ke Waroeng Steak. Alhamdulillah, Mukmin berjaya mengumpulkan hampir 30 orang pelajar Malaysia (dalam notis yang begitu singkat) untuk sama-sama memeriahkan saat berbuka puasa bersama kami. Bertemu kembali dengan Afifi, Ayraf, Syazzni, yang pernah kami saling bantu membantu sepanjang 2 bulan kami di Bandung 2 tahun lepas. Oleh kerana terlalu ramai pelanggan lain di Waroeng Steak itu, aku turut membantu mengambil pesanan dari lebih 30 orang antara kami. Hehe. Kami solat Maghrib dulu sambil menunggu meja kosong. Sebahagiannya solat di Hotel Sawunggaling yang terletak di depan Waroeng Steak itu. Rindu makanan di sini. Rindu suasana ukhwah seperti malam itu. Penat, tapi bahagia.
Tenderloin Double. Terbaik.
Kami di Waroeng Steak. Dua meja Brothers. Dua meja Sisters di belakang. Dah buat macam kedai sendiri dah, ramai orang Malaysia berkumpul.
Malam itu kami sahur murtabak. Di Indonesia, murtabak manis itu sama dengan apam balik kita. Kami beli di tempat biasa kami beli murtabak saat kami di Bandung 2 tahun dulu. Di sebelah warong murtabak itu adalah warong nasi goreng mawut (mawut = complicated), tempat makan rutin kami setiap malam. Hehe.
Esoknya kami ke Jakarta. Menaiki kereta sewa (MPV) dengan harga Rp. 275 ribu (Sekitar tak sampai RM 100) bersama dengan Supir (pemandu kereta) seharian. Kami tiada plan yang baik sebenarnya untuk ke Jakarta, kerana Aiman, orang yang beria-ia nak ke Jakarta tidak dapat bersama kami ke Indonesia waktu itu. Aku sendiri tidak mahir dengan Jakarta, tidak tahu ke mana yang harus dituju, ke mana yang boleh dituju, bila yang sesuai untuk menuju bagi mengelak macet (jalan raya sibuk). Jadi, kami serahkan kepada Supir. Tapi, yang pasti, kami mahu ke Taman Mini Indonesia Indah (TMII). Di TMII, perasaan seronok dan kecewa bercampur. Seronok kerana boleh ke seluruh Indonesia di TMII ini - rumah budaya seluruh Indonesia ada di sini. Kecewa kerana masa terlalu singkat (rasanya perlu sekurang-kurangnya seharian nak melawat semua rumah budaya di sini).
Pintu masuk ke Rumah Jawa Timur di TMII.
Kami solat Jumaat di Masjid at-Tin, masjid agung TMII. Gah masjid ini. Cantik dan besar. Setelah solat, kami tertanya-tanya, ke mana kita selepas ini? Kalau ada Nadiah, pastinya kami nak ke Tanah Abang, pusat penjualan barang. Kami bertanya kepada Supir, Kang Dudi boleh tak kami ke Kota Jakarta (TMII ini di pinggir kota) untuk melihat-lihat suasana kota. Kang Dudi menolak kerana tak sanggup menghadapi kemacetan Jakarta yang maha dahsyat. Aku memahami Kang Dudi. 3 tahun dulu aku pernah ke Jakarta dan pernah tersekat dalam kemacetan selama hampir 3 jam. Kang Dudi mencadangkan kami ke Puncak, kawasan peranginan di perbukitan dalam perjalanan pulang ke Bandung dari Jakarta. Kami setuju.
Puncak
Pulang ke Bandung kami melalui jalan biasa (berbanding jalan lebuhraya yang kami lalui untuk ke Jakarta dari Bandung). Kami melalui kawasan pergunungan yang indah. Struktur dan contour tanah yang aku belum pernah jumpa di mana-mana kawasan yang aku pernah pergi di Malaysia. Subhanallah, cantik. Cianjur nama kawasan yang kami lalui. Kalau dua tahun dulu, kami pernah ke Cianjur juga, ke rumah Teh Rateh di majlis pernikahannya dengan Masri. Aku tidur sepanjang perjalanan itu dan tak sempat nak menikmati keindahan Cianjur. Kali ini, aku mencelikkan mata aku yang sangat mengantuk dan letih ketika itu.
Landasan keretapi yang melintasi kawasan padi bukit dapat dilihat dari lebuhraya Jakarta-Bandung, melalui tol PadalarangKawasan Cianjur yang mempunyai banyak lembah dan gunung.
Kami singgah di sebuah tasik, Situ Ciburuy namanya. Dalam bahasa Sunda (Sunda adalah kaum majoriti di Jawa Barat, wilayah terletaknya Bandung), Situ adalah tasik, Ci adalah air, dan Buruy adalah berudu. Kalaulah ada masa lebih banyak, sudah pasti akan aku luangkan untuk menikmati kawasan-kawasan pergunungan di sekitar Bandung ini. Cantik. Kawasannya asli. Orang-orang Sundanya pun masih asli Sunda, cantik-cantik. Hehe.
Situ Ciburuy, banyak diadakan pesta air di sini, menurut Kand Dudi.
Malam itu kami berbuka di BR. Black Romantik di Jalan Gelap Nyawang. Tempat makan rutin kami semasa 2 bulan kami di ITB 2 tahun lepas. Tempat yang dulu, pada awalnya kami amat takut untuk cuba kerana keadaannya yang sangat warong. Tapi makanannya memang sedap-sedap. Rindu makanannya! Rindu saat makan sambil diiringi alunan petikan gitar dan gesekan biola pengamin yang silih berganti! Hehe.
BR
Malam itu kami berjalan kaki sekitar Dago. Bersahur di Roti Bakar Madtari, satu lagi specialty Bandung. Makanan khas Bandung. Roti bakar yang dihidangkan dengan pelbagai cara. Ada dengan keju. Ada dengan coklat. Ada dengan pisang. Ada dengan macam-macam lagi.
Hari ketiga kami ke kawasan pergunungan lagi. Bandung, sebahagian orang mengatakan di'jaga' oleh 2 penjaga; Gunung Tangkuban Perahu di utara dan Ciwidey di Selatan. Memang kota Bandung ini diibaratkan seperti sebuah kota yang terletak di dasar sebuah mangkuk seperti lembah, kelilingnya adalah dinding mangkuk, di kelilingi kawasan pergunungan tinggi. Pada sebelah pagi kami ke selatan, ke Ciwidey.
2 tahun dulu, semasa kami belajar di ITB, Cordova dan rakan-rakannya telahpun membawa kami ke Ciwidey, tapi malang bagi kami di pertengahan jalan mendaki ke Kawah Putih itu, salah satu kereta kami mengalami kemalangan serius tapi alhamdulillah tiada yang cedera fizikal, cuma trauma bagi Wika, pemandu kereta malang itu, dan juga penumpang-penumpang wanitanya. Kami pulang semula ke kota Bandung setelah kemalangan itu tanpa ke Kawah Putih. Cordova dan rakan-rakannya itu aku kenal semasa mereka menyertai lawatan ke universiti kami anjuran fakultinya di ITB pada Januari 2007.
Kereta yang dipandu Wika terjerumus ke pinggir jalan lantas tersangkut di atas batu besar. Harga memperbaiki keretanya selepas itu: +/- RM 2,000. Harga pengalaman sewaktu itu: tidak ternilai.
Tapi alhamdulillah, kali ini kami berjaya jua sampai ke Kawah Putih. Hehe. Kalau ke Kawah Putih lagi, pasti aku akan teringat Cordova dan kawan-kawannya itu. Saja nak tampal di sini kata-kata Wika di Facebook aku bila dia tahu akhirnya aku ke Ciwidey juga baru-baru ini, 'haha...ke ciwidey ya..bad experience :( kalo ingat itu sekarang jadi ingin ketawa haha...' dan bila aku berpesan kalau ke Ciwidey lagi, ajaklah aku, katanya 'ya, asal bukan aku yang nyetir (memandu)...haha... eh kalo ke bandung lagi kasi tahu dong'. Hehe. Pasti dia tak akan mahu memandu lagi ke Ciwidey. Wika kini telahpun berkahwin. Hehe. Cordova? Tak tahu cerita. Entah-entah dah kahwin juga. Eh, dah jauh menyimpang cerita nih...
Kawah Putih. Kalau di Tangkuban Perahu, bak kata Syazzni, sangat ramai orang. Ditambah pula dengan penjual-penjual cendermata yang agak anoying mengejar dan memaksa kita membelinya. Tapi di Kawah Putih, orang tak ramai, tiada langsung penjual dan penjaja. Yang ada cuma sebuah kawah gunung berapi, seperti sebuah tasik, tasik sulfur berwarna putih kebiru-hijauan. Di Tangkuban Perahu, kita cuma boleh melihat kawahnya dari suatu jarak, tetapi di Kawah Putih, kita sampai boleh merasa, mencicah, memercik cecair sulfur di kawahnya.
Sulfur bagus untuk kesihatan kulit. Tapi kalau banyak, sulfur boleh membahayakan kesihatan. Di Kawah Putih ini pernah menjadi tempat untuk mengilang barangan kesihatan kulit semasa pendudukan Belanda dan Jepun di Bandung. Sulfur juga katanya berupaya untuk menghilangkan warna fabrik?? Betul, tak betul, kena cubalah sendiri di Kawah Putih ini. Caranya; celupkan kaki anda bersama kasut dan seluar berwarna anda ke dalam tasik itu. Keputusannya; lihatlah dalam masa seminggu lagi. Hehe.
Lumpur sulfur.
Dari Kawah Putih, kami bergerak menuju ke utara pulang ke Bandung. Dalam perjalanan, kami singgah lagi di sebuah tasik, Situ Petengan namanya. Terdapat sebuah lagenda di sebalik nama tasik ini;
'Situ Patengan; Berasal dari bahasa Sunda bermaksud 'Pencarian' (Situ = tasik, patengan = pencarian). Mengisahkan cinta Putra Prabu, kiSantang dengan Putri Titisan Dewi Rengganis. Setelah sekian lama berpisah, mereka bertemu juga di sebuah tempat. Dewi Rengganis pun meminta kiSantang membina sebuah tasik dan sebuah perahu untuk berlayar bersama. Perahu inilah kini telah menjadi pulau berbentuk hati di tasik ini, Pulau Asmara. Menurut lagenda, sesiapa yang mengelilingi Pulau Asmara ini, pasti akan menemui cinta abadi, sama seperti cinta Dewi Rengganis dan Putra Prabu.'
- Dipetik dan diterjemah dari batu asas pelancongan di Situ Patengan.
Memang banyak bot dan sampan disediakan di tasik ini. Khas untuk sesiapa yang nak mencari cinta. Hehe. Buat yang nak menikmati alam pun boleh. Cantik tempatnya. Sejuk. Luas mata memandang. Tasik luas, dan tiba-tiba ada sebuah pulau kecil comel berbentuk hati (kalau dilihat dari udara) di tengah-tengah tasik. Aku berseloroh 'Kalau macam tu, bapak yang tukang bawak bot dengan sampan tu hari-hari la jumpa cinta abadi, dah dia hari-hari bawa orang keliling Pulau Asmara tu,' Hehe. Jangan keliling pulau tu sebab nak cari cinta ya, keliling pulau itu sebab nak tengok alam aja. Tapi malangnya kami tak sempat nak bersampan di situ. Kami solat di situ, dan terus kembali menaiki kereta sambil melarikan diri dari ibu-ibu yang menjual dan menjaja strawberi segar dari ladang. Hehe.
Sebagai makluman, untuk memasuki Kawah Putih dan Situ Patengan ini, kita perlu membayar yuran masuk, untuk setiap seorang dan setiap kenderaan yang dibawa masuk. Tak ingat secara tepat harganya, tetapi tidak lebih dari RM 5 untuk setiap seorang dan sekitar RM 5 untuk setiap kenderaan.
Kami singgah berhenti di tepi jalan di kawasan pergunungan itu kerana tidak tahan melihat keindahan ladang teh yang seluas mata memandang. Indah! Dingin! Allahu Akbar.
Destinasi seterusnya adalah ke Lembang di utara Bandung. 3 jam perjalanan dari Ciwidey. Singgah sebentar di Salman ITB, Adan dan Mbak Dhani ingin menyertai ke rumah Pak Moedji. Kami melalui Jalan Sukajadi dan terus ke utara. Dalam perjalanan melihat ke kiri dan ke kanan sambil-sambil sekali sekala mencuri dengar sembang antara Mbak Dhani, Loli, Nadiah dan Syazzni tentang menutup aurat di Malaysia dan Indonesia. Aku dan Juan hanya diam dan mendengar. Hehe. Perbincangan dan perbandingan antara dua budaya yang sangat menarik. Bagus.
Tiba di Bosscha Observatorium Centre, Pak dan Bu Moedji belum ada di rumah. Melawat sekitar pusat mencerap ini. Alhamdulillah, sudah 4 kali aku ke sini. Kali pertama Disember 2006, dua kali dalam tahun 2007. Kali ini tahun 2009. Alhamdulillah, masih rasa senang dan seronok berada di sini. Rasa macam nak ada rumah dan tinggal terus di sini. Cuaca yang dingin, suasana yang aman, pemandangan yang cantik. Subhanallah.
Kami di Bosscha.
Pak Moedji dan Bu Moedji pulang hampir waktu berbuka puasa. Bergotong royong menyiapkan menyediakan makanan berbuka dengan Bu Moedji. Pak Moedji, seperti sebelum-sebelum ini apabila bertemu dengannya, pasti akan berbicara tentang aliran politik semasa di Malaysia sambil sekali sekala membandingkan dengan negaranya dan bercerita tentang kisahnya yang pernah sama-sama membesar dengan tokoh politik Malaysia. Kami berbuka dengan juadah Sunda malam itu - nasi timbel. Seakan nasi ambeng bagi orang Jawa, nasi timbel dihidangkan dengan ayam madu, tahu, tempe, sayur asem, lalab (ulaman). Sedap gile!
'Pak, mao liat teropong pak...' Mbak Dhani malu-malu meminta Pak Moedji membawa kami melawat sekitar pusat mencerap ini. Rupanya Mbak Dhani dan Loli juga belum pernah melawat sekitar pusat ini. Alhamdulillah, aku pun masih seronok nak jakun bila Pak Moedji tanpa jemu-jemu menjelaskan tentang teropong-teropong yang ada dan tentang bulan dan bintang. 'Supervisor saya semasa di Jepang sudah suruh saya berhenti membikin thesis, karena bilangnya, kalao tidak berhenti, emang tidak akan berakhir untuk mencari ilmu astronomi ini,' kata Pak Moedji yang pernah membuat sebuah thesis yang memakan masa bertahun-tahun untuk disiapkan; hanya untuk mengkaji sebutir bintang.
Pak Moedji dan salah satu teropongnya yang terletak di bawah kubah seperti gambar di atas. Ini teropongnya yang terbesar dari segi saiz fizikalnya.
'Wiluejeng enjing deui, Bu!' begitu yakin aku berkata sedemikian pada Ibu. Seingat aku waktu itu, Pak Dadang di pejabat aku pernah mengajar aku untuk mengucapkan 'Jumpa lagi' dalam bahasa Sunda ada perkataan deui deui macam tu. Tapi aku tak ingat ayat seluruhnya, lalu dengan yakin aku ber wiluejeng enjing deui dengan Ibu Moedji. Tercengang Bu Moedji mendengar aku. 'Kok wiluejeng enjing?'. Semua orang yang faham, gelakkan aku masa tu. 'Tependak deui' yang betulnya. Wiluejeng enjing = Selamat Pagi. Baru aku ingat yang Pak Dadang ajar aku 'Tependak deui enjing' = Jumpa lagi esok pagi. Aaaa. Malu. Malu. Ibu ada ajar aku malam itu, 'jumpa lagi suatu saat akan datang'. Tapi skarang aku dah lupa apa bahasa Sundanya. Hisk. Sejak tu, apa-apa bahasa aku belajar pun, aku akan teruss tulis di mana-mana agar tidak aku lupa.
Kami bersama Pak dan Bu Moedji. Rasa macam nak tiap-tiap tahun nak datang sini. Kalau dapat tiap-tiap bulan lagi best.
Malam itu, setelah pulang dari Lembang, kami sahur nasi goreng mawut. Tak habis. Banyak sangat.
Hari keempat adalah hari untuk shopping. Kami ke FOS di Jalan Dago melihat-lihat barangan. Dan berjaya menemukan dengan Raja Farah dan Mila AF yang sedang membeli belah di situ (Hehe. Mereka sedang ada show bersama Astro di Bandung). Kecil comel sungguh Mila. Hehe. Sebelah tengahari kami ke Pasar Baru di mana pemergian itu adalah yang ketiga buat Juan dan Nadiah sepanjang baru 4 hari di Bandung. Secara total mereka telah menghabiskan RM 1,500 di Pasar Baru. Syurga membeli-belah. Misi membeli belah di sini: mukena (telekung), baju batik Jawab baju koko (baju muslim, macam baju melayu, tapi cantik ada corak-corak di bahagian dada), kain batik, kain pasang, dan sangat banyak lagilah yang boleh dijadikan misi membeli belah di sini. Pastikan anda mempunyai tujuan membeli apa sebelum ke sini, jika tidak, akan habislah beratus-ratus, malah beribu ringgit anda di Pasar Baru.
Sampai ada di antara kami yang terpaksa berbuka di dalam angkot dalam perjalanan pulang ke ITB dari Pasar Baru. Pasar Baru tutup pukul 5 petang, dan sehingga pukul 5 petanglah kami masih di dalam Pasar Baru sejak pukul 12 tengahari. Itupun belum puas bagi kami. Best melampau shopping kat sini. Dah tak masuk akal dah dia punya best. Geleng kepala.
Malam itu, kami berbuka besar di Waroeng Bebek Borromeus. Borromeus adalah nama Rumah Sakit (hospital) berhampiran ITB. Waroeng Bebek ini terletak betul-betul depan hospital itu. Bebek adalah itik. Specialty di sini; nasi itik, yang sangat sukar ditemui dijual oleh peniaga muslim di Malaysia. Sangat warong. InshaAllah selamat untuk dimakan, yang penting, bagi yang kurang berani (kerana khuatir dengan kebersihan), ambillah suntikan typhoid sebelum ke Indonesia. Sekadar untuk pengetahuan, Mat Saleh dari Eropah yang melawat Malaysia pun ambil suntikan typhoid itu. Maknanya, di negara kita pun tak bersih, kita rasa OK sebab kita dah immune dengan keadaan sekeliling kita. Sama saja di Indonesia, inshaAllah selamat, yang penting kita jaga diet kita - cukup vitamin, cukup immuniti.
Nasi itik. Sangat sedap. Daging itik lembut, teksturnya berbeza dari ayam. Perlu pandai untuk menyediakan juadahnya, jika tidak, bau kurang menyenangkan dari daging itik masih kekal walau setelah dimasak. 'Kapan mao buka cabang di Malaysia?' seloroh aku pada Kang Ali, pemilik warong bebek itu. 'Tak kuasa euh,' selorohnya kembali. Hehe. Terbaik ah. Sedap! Harga = RP 11 ribu. Tak sampai RM 4.
Bersama Kang Ali, pemilik Waroeng Bebek Borromeus di hadapan warongnya.
Setelah selesai makan, kami menaiki angkot ke Kedai Kek dan Kue Amanda untuk membeli brownies Bandung. Tapi dah tutup. Baru sahaja tutup, kata Pak Guard di situ. Pukul 9 malam waktu itu. Kami terus jalan kaki menuju ke Simpang Dago di Dago Atas tidak jauh dari Amanda dan menaiki angkot menuju ke Cihampelas, bersiar-siar mengambil angin malam di situ.
Malam itu kami pulang, dan aku dan Adan menghantar Juan dan Nadiah ke Mass yang mereka tinggal berhampiran ITB. Mass itu kepunyaan himpunan mahasiswa di ITB. Sewanya adalah sekitar Rp. 175 ribu satu malam. Juan dan Nadiah sewa di situ, segan nak tinggal di asrama, katanya, yelah kan, orang dah berkahwin. Hehe. Juan dan Nadiah pulang ke Malaysia Subuh keesokannya.
Kami menghadiri Farewell selepas solat Subuh di Masjid Salman bersama anak-anak asrama sambil berkongsi pengalaman singkat selama 4 hari sudah di Bandung. Setelah itu kami langsung ke rumah Ibu Tatik, seorang lagi pembina asrama (bersama Pak Moedji) yang letaknya di Kebun Bibit, melalui Taman Pelisiran dengan berjalan kaki dari Asrama Salman. Hampir menitis air mata Ibu Tatik seronok melihat kehadiran anak-anak Malaysianya ke rumahnya itu. Ibu Tatik kini tinggal sendirian, bersama anak-anak kos (rumah/bilik sewa) miliknya. Anak dan cucunya kini berada di perantauan. Hanya anak-anak asrama menjadi pengubat rindu. Ibu Tatik juga adalah pembangun Lembaga Muslimah Salman, sebuah organisasi 'mencari jodoh yang baik' untuk ahli-ahlinya. Hehe. Harus ada 'Spirit of getting married' kata Bu Tatik. Iya Bu! Saya sahut saranan Ibu itu! Mohon doanya Ibu ya!
'Spirit of getting married'
Pulang dari rumah Ibu Tatik, masing-masing punyai misi hari terakhir masing-masing. Ada yang ke Pasar Baru lagi. Ada yang ke Cihampelas lagi. Aku memilih untuk ke Amanda dan ke Cihamelas sebentar, lalu mengambil masa untuk bersendiri di kampus ITB melihat suasana tempat belajar yang sangat aku suka. Pusing satu kampus aku hari itu sehingga sangat letih macam nak berbuka. Pulang ke asrama, dan berkemas, siap kirim kepada Petet untuk membeli extra beg. Dah penuh, tak muat. Huhu.
Petang itu selepas solat Zuhur kami ke Bandara (Bandar Udara) bersama Adan yang menghantar kami. Adan ajar, 'Mugi-mugi saget kepanggeh meleh. Titip salam kagem rencang-rencang teng mriko. Matur nuwun dumateng pitulunganipun!' Bahasa Jawa halus. Semoga bertemu lagi. Sampaikan salam kepada kawan-kawan. Terima kasih atas pertolongannya!
Terima kasih semua di Bandung. Datanglah ke Malaysia pula. Doakan kami akan ke sana lagi. Rasa macam nak buat acara tahunan ke Bandung. Silaturrahim sesama kita. Malaysia-Indonesia Mahabbah Intergration. Jom semua!