Cari Blog Ini

Rabu, Mei 27, 2009

Indonesia?

Pernah beberapa kali aku mengikut Pak Deni, experto dari Bandung yang sudah 5 tahun bekerja kontrak di pejabat aku, ke merata tempat di kilang aku bekerja. Untuk makluman, di kilang itu terdapat lebih 80 orang experto dari Bandung yang kebanyakannya (aku rasa bukan setakat kebanyakannya, malah, semuanya) bekas pekerja di Indonesian Aerospace (IAe) di Bandung. Dan sambil itu, Pak Deni akan menerangkan fungsi-fungsi setiap bahagian yang aku dan dia lawati. Ada juga aku bertanya soalan-soalan teknikal yang sememangnya dapat dijawab dengan baik oleh Pak Deni yang mempunyai pengalaman lebih 20 tahun dalam bidang aeroangkasa ini.

Dan sudah biasa juga aku di'cop' sebagai orang Indonesia oleh rakyatnya di kilangku itu. Hehe. Mungkin muka aku mirip orang Jawa. Kerana dulu semasa berjalan-jalan dengan teman-teman di Jogjakarta, tour guide kami dengan yakin mengatakan aku adalah orang Jawa. Ya, memang betul aku ada darah Jawa. 'Pak Deni, yang ini dari Indonesia?' kata seorang experto di Assembly sambil merujuk kepada aku. Kadang-kadang Pak Deni bergurau dengan mengiakan yang aku dari Tanah Jawa.

Mungkin juga nama aku, sekiranya tidak disebut dengan betul, iaitu 'Ajimin' agak seperti kejawaan bunyinya. 'Azimin' kataku seraya bersalaman untuk berkenalan dengan seorang experto di Sheet Metal. Tersenyum dia sambil bertanya kepada Pak Deni 'Kok namanya kaya orang Jawa? Ajimin? Dari Indonesia ya?'. Huh.

Kenapa aku selalu dikaitkan dengan Indonesia sejak dari UIA lagi? Tapi bagus juga, alhamdulillah, terasa bahasa Indonesia aku semakin baik. Hehe.


Manohara Odelia Pinot


Terbaru anak sepupu aku, Adila mendaftar di UiTM Shah Alam hujung minggu lalu. Tahun Asasi Sains. Dapat biasiswa JPA ke luar negara sebelum ini katanya, tapi sepupu aku tak membenarkannya pergi. Bijak Adila ni. Masa dapat keputusan SPM baru ini dia duduk dalam bilik menangis tak mahu keluar bilik seharian, kerana dapat 1B, dan sembilan yang lainnya A. Huhu. Dulu masa aku masih di sekolah rendah, dan dia masih umur 4,5 tahun, dia suka datang peluk aku sambil senyum gembira 'Gewe! Gewe!' katanya. Aku masa itu manalah tahu apa itu 'gewe'. Aku terpinga-pinga aja lah. Sampailah sepupu aku, Abang Long menerangkan, 'Gewe tu bahase Kelantan, makwe maknenye'. Kak Long tersenyum aja. Dah besar dah Adila sekarang. Dah lagi tinggi dari aku, ikut macam emak dia. Hehe.

Kak Long, semasa aku menghantar mereka ke Subang Airport untuk mereka pulang ke Kota Bharu setelah menghantar Dila, bertanya kepada aku, 'Betul ke nanti Azi dengan orang Parit Bakar?'. Sebelum ini, Cik Zai dan Mak Ngah dalam nada bergurau mengatakan aku akan mencari orang kampung aku sebagai teman hidup. Dan aku juga bergurau mengiakannya. Hehe. Tapi untuk soalan Kak Long aku menidakkannya. 'Tak naklah orang Parit Bakar. Jauh sikit Kak Long, hehe'. 'Orang Kelantan, nak? Boleh kawan dengan Kak Long. Kak Long ada anak sedara. Comel orangnya, putih,'. 'Comel macam Manohara' sambung Abang Long. Oh? Comel? Putih? Manohara? Manohara siapa? Model remaja Indonesia yang menjadi isu besar antara perhubungan Malaysia-Indonesia ketika ini. Carilah beritanya. Macam Manohara ke? Isk. Sabar. Sabar. Orang jauh nun di selatan dunia sana, cepat-cepat la balik. Jangan tunggu lama-lama.

Tiada ulasan: