Cari Blog Ini

Sabtu, Ogos 20, 2011

Sejarah Baru

Aku terbaca di dalam sebuah tulisan aku di blog aku ini yang entah tahun bila, aku menghadiri kuliah Ustaz Hasrizal. Ustaz Hasrizal yang sarjana di UIA beliau adalah di dalam bidang sejarah, ada menyatakan di dalam kuliah itu, 'Sejarah adalah subjek paling susah. Kerana setiap hari yang berlalu, akan menambahkan satu lagi hari untuk dikaji di dalam subjek itu,'. Aku rasa, memang benar sekali pendapat beliau itu. Lihat sahajalah apa yang jadi pada blog ini, telah beratus hari berlalu dari entri yang terakhir. Amat sukarlah bagi aku untuk mengkaji satu persatu hari. Malah ada peristiwa atau perkara yang aku sendiri telah lupa.

Kesempatan untuk membaca sebahagian daripada entri aku yang terawal baru-baru ini, membuatkan aku jatuh rindu. Jatuh rindu kepada keseronokanku menulis apa yang aku lihat dan apa yang aku rasa sehari-hari ketika itu. Ada sebahagiannya, bagi aku, dapat memberi panduan kepada diri sendiri, dan sebahagiannya menjadi antara kenangan yang terindah. Zaman aku belajar. Belajar tentang kejuruteraan. Belajar tentang berpersatuan. Belajar tentang rakan dan teman. Belajar tentang suasana. Belajar tentang hidup. Blog ini menjadi rekod. Rekod tentang langkah kehidupan aku yang pernah aku lalui suatu ketika dahulu. Rekod tentang sejarah diri yang boleh dibaca dan dikaji pada masa hadapan.

Diam tak diam sudah hampir lapan tahun aku menulis (walaupun setahun terakhir ini amat sedikit yang aku nukilkan). Pelbagai yang telah kulalui sepanjang lapan tahun itu. Pelbagai jua yang bakal dilalui untuk tahun-tahun yang akan datang, jika umur panjang. Semua itu adalah sejarah. Termasuk yang bakal dilalui. Itupun bakal menjadi sejarah apabila kita telah tempuhinya.

Sepanjang setahun yang lalu, aku telah bekerja di PETRONAS sebagai jurutera pesawat terbang tanpa pemandu, antara yang pertama di Malaysia. Aku telahpun berhenti atas banyak sebab. Antaranya kerana aku tidak senang dengan keperluan tugasku untuk ke seluruh Malaysia bagi memastikan dari udara, saluran paip gas PETRONAS selamat untuk rakyat sekitarnya. Aku tidak tahan, penat. Ramai yang pelik dengan tindakanku berhenti dari salah sebuah daripada 100 syarikat terbesar di dunia itu. Tapi, aku ada cita-cita aku sendiri, dan aku yakin dengan cita-citaku itu.

Kini aku seorang jurutera di sebuah syarikat yang memastikan struktur pesawat selamat untuk terbang nun jauh di udara.

Aku juga telah bertunang awal tahun lepas dengan dia. Aku menikahi dia 7 bulan selepas itu. Sangat banyak yang telah kami lalui bersama. Suka dan duka bersama. Banyak lagi yang akan dilalui bersama. Tak sabar untuk sama-sama menempuhinya. Segala-galanya bersama

Kini dia sedang sarat mengandung anak pertama kami yang dijadual lahir kira-kira sebulan lagi.

Aku juga sedang berusaha untuk melanjutkan pelajaranku di peringkat lebih tinggi, atau sekurang-kurangnya itu cadangan aku. Banyak cadangan yang pernah ternukil di blog ini. Ada antaranya yang telah tercapai, termasuk menikahi isteriku. Ada juga cadangan yang hangat-hangat tahi ayam. Tapi, buat masa ini, itulah sasaranku sejak setahun yang lalu. Untuk melanjutkan pelajaran walau sesusah mana.

Kini aku sedang berusaha untuk isteriku yang juga ingin melanjutkan pelajarannya.

Begitulah sejarahku ringkas sepanjang setahun yang lalu.

Masa lalu hanyalah untuk dikenang dan diambil pengajaran. Masa akan datanglah yang akan membentuk diri kita berdasarkan tindakan kita. Walaupun kita tak tahu apa yang bakal datang, kita harus sentiasa bersedia. Perjalanan masih jauh. Kita harus laluinya. Moga Allah memberi kita panduan.

Mari membina sejarah baru!




Perjalanan Masih Jauh
Aras 86, Menara 2, Menara Berkembar PETRONAS
20 Jun 2011






Selasa, Ogos 16, 2011

Seperti Itu


Kenapa...?
Kenapa ..?

Aku tak paham dengan hidup aku sendiri
Kenapa aku seperti ini?
Kenapa aku begitu senang seperti ini
Sedangkan hakikatnya aku tidak inginkan seperti ini?
Kenapa aku begitu gemar seperti ini?
Dari dulu lagi gemar seperti ini?
Bilakah akan habis gemarku terhadap seperti ini?

Perlukah aku teruskan seperti ini?
Apakah natijahnya jika aku teruskan seperti ini?
Natijahnya pada diri aku?
Natijahnya pada hidup aku?
Akan gembirakah aku di akhir nanti?
Akan sedihkah aku di akhir nanti?
Aku sendiri tidak pasti

Kenapa jua aku ingin menjadi seperti mereka?
Apakah aku tidak seperti mereka?
Ya, mereka lain, aku lain
Sedarlah, sesungguhnya mereka adalah sama
Sedarlah, yang membezakan hanyalah cara
Mereka di sana ikut cara di sana
Aku di sini ikut cara di sini

Ah..
Benarlah jua garapannya sebelum ini*
Aku keseorangan sendiri
Aku hakikatnya sepi
Barang bagaimana dapat kulupakan 'seperti ini'?
Sedang tiada yang tampil menolak jauh 'seperti ini'
Atau aku yang tidak sedari?
Mungkin jua aku yang tidak sedari

Ah...
'Seperti ini' itu dapat digugurkan
Seperti gugurnya daun-daun kekeringan
Bersama kisah-kisahnya
Bersama fiil-fiilnya
Terima kasih tidak terhingga kepada seorang teman
Kupasti dengan sentuhannya
Yang tidak jemu-jemu menemani aku

Dapat menjadikan aku Seperti Itu.


Azimin Elias
ITD, IIUM
26 Januari 2005