Cari Blog Ini

Rabu, Januari 11, 2006

Aidul Adha, Di Sini Kubermula


8 pagi.

"Din, takbir raya arab ni tak ada lagu-lagu ek? Tak macam melayu,"

"A ah, tak ada lagu. Tak sayu!"

"Hehe.. Kalau sayu, mau menangis aku agaknya pagi ni..."

Kali pertama beraya di perantauan Sebelum ini pernah juga beraya di perantauan. Lebih khusus, beraya korban. Raya puasa belum pernah lagi sambut di perantauan. Tapi, inilah kali pertama sambut hari raya tanpa keluarga. Kali pertama sambut hari raya dengan kawan-kawan. Pagi-pagi, solat sunat aidiladha di masjid UIA. Terasa seperti bukan di Malaysia.

8.30 pagi.

Takbir raya yang tiada lengguk lagu (macam orang melayu biasa takbir) disambut dengan begitu pantas oleh solat sunat aidiladha. Agak keliru juga pada mulanya, sebab sebelum ini, dekat masjid-masjid melayu, sebelum solat, akan diterangkan dulu kaifiat-kaifiat solat, dan kemudian memberi ruang masa kepada makmum untuk memenuhkan saf-saf di hadapan. Tetapi tidak di masjid UIA. Makmum masih lagi sebok hendak mengisi saf-saf yang kosong di hadapan, imam telahpun 2 kali takbiratul ikhram. Termasuklah aku. Tekejar-kejar juga nak menyamai bilangan takbiratul ikhram imam.

8.40 pagi.

Seperti khutbah-khutbah Jumaat, khutbah aidiladha ini juga disampaikan dalam dua bahasa berturut - bahasa arab dan bahasa inggeris. Ketika bahasa arab ke udara, terleka aku menonton gelagat seorang kanak-kanak melayu (5 @ 6 tahun) yang lengkap berbaju melayu dan sampin di samping ayahnya yang duduk betul-betul di depan aku. Memandang ke kiri dan ke kanan. Bertanyakan sesuatu kepada ayah dan kemudian ayah membuat isyarat senyap. Bermain dengan tangan dan jari. Membongkok. Memusing-musing badan. Ayah membetulkan songkok. Ayah meyisirkan rambut. Duduk di atas riba ayah. Duduk kembali di sisi ayah. Bergeleng-geleng bermain dengan kepala. Wah. Comel sungguh! Entah apa yeh yang difikirkan (diangankan?) olehnya? Aku teringatkan anak buah aku. Apa khabar agaknya dia? Sudah besar kah dia? Sudah pandai buat apa pula dia? Sudah pandai solat kah dia? Sudah boleh ikot ayahnya solat di masjid kah? (Dulu masa raya puasa, kami solat bersama. Salah aku juga, letak cermin mataku di atas sejadah. Masin mulut maknya, 'boleh ke nak bawak die solat? aus ni belum ade disiplin nak solat..', memang die tak tahu apa tentang solat - sekurang-kurangnya duduk diam semase orang solat. Sebok bercakap sorang-sorang itu ini, bergerak ke sana ke mari, akhirnya cermin mataku jua yang dipijaknya.. Dapatlah rezeki aku pakai cermin mata baru. Hehe).

Mungkin sekarang ayahnya dah mengajar dia disiplin mengikut orang solat. Mungkin lah aus sekarang sudah pandai solat? Ah. Rindu aku padanya. Teringat jua pada semua kanak-kanak lingkungan umurnya yang pernah aku jumpa dan kenal. Suka aku melihat gelagat mereka! Seronok. Sungguh comel. Teringat juga pada diri sendiri semasa lingkungan umur itu. Comel kah? Hehe. Sudah berubah kah? Apa yang sudah pandai aku lakukan sekarang berbanding ketika itu? Banyak kah yang aku dapat? Ah! ingin saja aku memeluk kanak-kanak di depan aku itu! 'Semoga kau membesar menjadi orang yang berjaya!' mau saja kukatakan padanya.

9.00 pagi.

Susana begitu warna-warni. Riuh. Jemaah dengan pakaian kebangsaan masing-masing kebanyakannya bersalaman dan berpelukan sesama sendiri. 'Eid mubarak!' kedengaran silih berganti. Sekali lagi terasa seperti bukan di Malaysia. Terasa seperti di negara arab. Susah untuk aku mencari jemaah melayu yang ada selepas solat sunat itu. Ingin juga untuk berada lama dalam suasana itu. Tapi arep menggesa untuk cepat mengikutnya ke Setapak, ada korban (anjuran bersama COMRAD) di rumah anak yatim di situ. Dapat juga aku mencapai beberapa keping poster kalendar 2006 palestin. Sempat juga bergambar dengan mat! Mat? Huhu. Mat roommateku yang kupergi rumahnya raya puasa lalu (tak buat pun liputan raya rumah mat kat terengganu, tak sempat, huhu)! Kini telahpun mula bekerja di Putrajaya sebagai PTD. Huhu. Dasat, dasat. Bertugas di kementerian ape tah, tak ingat. Yang penting, dasat! Rindulah kampung bari kecil, Setiu. Hehe.


Bermain 'Ku, Ci, Pa!' (permainan dari Sabah - anak-anak buah Mat ni duk Sabah) dengan anak-anak buah Mat kat rumah Mat raya hari tu. Huu.. Seronok.. Rindu kat korang!

10.30 pagi.

Setelah melilau-lilau, akhirnya jumpa juga rumah anak yatim itu. Ada dua khemah didirikan. 3 ekor lembu untuk disembelih (Seekor telah pun tumbang semasa kehadiran kami - aku, arep dan husen) dan seekor kambing biri-biri. Lama dah tak tonton penyembelihan qorban. Nak tolong potong-potong tulang? Huhu.. sila, sila. Hehe. Dijamu ketupat dan lemang. Sedap! Sikit-sikit arep kenalkan komponen-komponen COMRAD yang hadir. Lepas ni memang kena kenal pun mereka - insyaAllah aku akan ikot COMRAD ke perkampungan orang asli di Cameron cuti midterm ini.

Kanak-kanak. Lebih ramai di depan mata aku kali ini. Warga-warga Baitur Rahmah itu begitu ceria. Gembira. Mungkin ada di antara mereka pengalaman pertama melihat lembu disembelih. Mungkin juga pengalaman pertama menerima kunjungan begitu ramai orang. Comel sungguh mereka! Semoga membesar menjadi orang yang berjaya, adik-adik!

2.30 petang.

"Nilah mak, budak yang tanye-tanye pasal ikan hari tu.."

Begitu cara arep memperkenalkan aku pada emaknya. Huhu. Raya puasa yang lalu beraya juga di rumah arep. Makan ikan kerapu. Pertama kali makan ikan kerapu. Sedap! Sedap! Sedap! "Ni ikan ape ni makcik? Kerapu yeh? Sedaaaap, makcik!". Paling banyak makan hari tu, aku dengan aiman. Huhu. Dasat, sedap!

"Oooh.. yang ni eh? Ha ah, ingat, ingat. Hari ni takde ikan, ketupat ade.."

Hehe. Rendang, sambal yang amat pedas. Semuanya tak menghalang untuk aku melantak. Tambah lagi dengan nasi bukhari. Kemudian sup daging qorban dan sambal kicap pedas. Huhu. Sekali lagi aku makan paling banyak. Kan acap kan? Hehe.



Ini aku dah berubah. Dulu ketika umur baru 5,6 tahun, aku kurus, tak banyak makan. Sekarang? Malas nak cerita. Inikah yang aku berubah? Ini sahajakah? Apakah kata-kata 'Membesarlah menjadi orang yang berjaya' tidak pernah ditujukan kepada aku ketika kecil? Aku berjayakah sekarang? Jika aku tidak rasa berjaya, di sinilah aku harus mulakan langkah baru yang lebih baik. Di sinilah kubermula. Harus bermula. Dengan berkat aiduladha ini, mudah-mudahan kita boleh terus maju, insyaAllah. Semoga menjadi orang yang berjaya.


Ulangtahun hijrah yang ketiga Jom Ke Depan. Aiduladha kumulakan blog. Aiduladha kumulakan kembali blog yang lama ditinggalkan. Aiduladha kumulakan langkah untuk menjadi orang yang lebih berjaya, insyaAllah =)

Tiada ulasan: